Lama tak dengar cerita Datuk Azalina Othman Said.Sejak digugurkan dari jawatan terakhirnya sebagai Menteri Pelancongan dua tahun lalu beliau nampak sepi dari arus perdana politik tanah air.

Ini lebih-lebih lagi beliau gagal mempertahankan jawatan Majlis Tertinggi UMNO dalam pemilihan lalu. Azalina cuma miss satu anak tangga saja.Beliau mendapat tempat ke 26 dari 25 orang yang terpilih.

Jawatan dalam UMNO paling tinggi disandangnya sekarang ialah Ketua UMNO Bahagian Pengerang,Johor. Beliau juga ialah ahli parlimen Pengerang,kerusi yang dimenanginya tanpa bertanding.

Azalina kini duduk di barisan backbencher di Parlimen,yakni Ahli Palimen BN yang tidak berjawatan dalam kerajaan.

Agendadaily berpeluang menghabiskan masa hampir sehari suntuk bersama Azalina apabila beliau mempelawa beberapa wartawan mengikutnya ke hutan hujan Tanah Aina yang teletak di Raub, Pahang minggu lalu.

Percaya ke tidak di situ Azalina dan para wartawan melakukan aktiviti lasak, iaitu meredah hutan dan sungai, serta membuat terjunan tinggi di air terjun Tanah Aina Farrah Soraya.

Program dengan media seperti ini belum pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin politik.

Dari Kuala Lumpur, perjalanan mengambil masa sejam untuk sampai ke Tanah Aina dan meredah hutan dan sungai selama 20 minit untuk sampai ke air terjun berkenaan.

Selepas merasa kengerian dan keseronokan membuat terjunan dan mandi manda di kawasan air terjun, para wartawan dibawa pula ke ladang durian seluas 20 ekar di Tanah Aina Farouq. Durian Musang King dan D24 yang dihidangkan di situ adalah yang terbaik dan paling sedap pernah kami nikmati.

“Inilah aktiviti saya apabila ada kelapangan, iaitu jungle-trekking, river-trekking, white-water rafting dan sekali sekala menyelam serta snorkeling,” kata Azalina semasa berbual dengan wartawan di situ.

Katanya, walaupun sudah tidak berada dalam kabinet, beliau masih aktif dalam politik selain mengisi masa terluang dengan hobi lasak.

Mereka yang laam kenal bekas Ketua Puteri UMNO ini berkata Azalina umpama tegang berjela-jela, kendur berdenting-denting. Luaran orangnya nampak keras tetapi lembut namun dalam kelembutan itu ada ketegasannya.

Azalina menjadi Ketua Penaja Puteri UMNO Malaysia pada April 2001 dan kemudiannya dilantik menjadi Ketua Puteri UMNO pada 1 November 2002 sehingga 2004.

Beliau memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan pada 31 Mac 2004 hingga 17 Mac 2008 sebelum memegang portfolio Menteri Pelancongan pada 18 Mac 2008 hingga 8 April 2009.

Dicelah bersembang di situ selain mengenai dirinya Azalina juga berdepan beberapa soalan politik.

Antara ‘soalan bonus’ yang menarik ialah mengenai desas desus mengatakan beliau telah diminta membantu “menyelamatkan” pergerakan Puteri UMNO yang kini dikatakan menghadapi konflik dan masalah,

“Tak mahu komenlah. Yang penting bagi saya ialah kita kena betulkan Puteri. Saya takut Puteri UMNO dibubarkan. Sebab kalau dia tak main peranan yang signifikan, tidak agresif dan tak jadi safe deposit pada UMNO… tutup ajalah Puteri UMNO. Itu mungkin penyelesaiannya.

“Kita perjuangkan Puteri pada tahap Naib Presiden ( mereka yang pegang jawatan Ketua Puteri secara automatik Naib Presiden UMNO)… maknanya tinggilah jawatannya, iaitu setaraf dengan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda ( juga Naib Presiden).

“Puteri UMNO bukan kelab. Bagi MCA, Puteri dia ialah Kelab MCA, begitu juga MIC. Bila kelab, dia tak ada kuasa, tak boleh lantang, bolehlah kita faham.

“Ini Puteri kena lantang selantang Pemuda dan Wanita, Kalau tak boleh lantang, macam mana? Masalah lah,” kata Azalina,

Soalnya apakah beliau kecewa dengan keadaan Puteri UMNO sekarang yang dikatakan kurang bermaya dan ibarat seperti kapal kehilangan Nakhoda?

“Saya bukan kecewa, tetapi terkilan sebab dia kena faham politik. Kalau kita nak orang puji kita sahaja, jangan masuk politik. Politik ni kejap ada jawatan dan kejap tak ada. Kejap ada kerja, kejap tak ada. Ada orang suka dan ada tak suka.

Azalina terkedu sekejap apabila ditanya siapakah “dia” yang dimaksudkannya itu sebelum berhenti sejenak memikirkan jawapan.

“Saya rasa “dia” itu semua Puteri UMNO. Saya tak cakap pasal Ketua Puteri UMNO Malaysia sahaja, Saya tak cakap Ketua Puteri bahagian atau cawangan.

“Masalahnya di bahagian saya sendiri (Pengerang), bukan semua cawangan ada Puteri UMNO. Yelah, macam mana nak gerakkan? Mentaliti UMNO ialah kalau ada acara, soalan yang ditanya ialah ada bas ke tidak? Ada tak duit makan? Inisifiatif sendiri tak ada. Ezam (Senator Ezam Mohd Noor) ada kata pada saya, dulu Puteri UMNO semua orang gerun. Keadilan pun gerun kat Puteri. Begitu juga PAS.

“Saya mintalah kalau boleh UMNO , terutama Majlis Tertinggi kena peka isu Puteri. Ini isu orang muda. Kalau tidak, sayang. Dasar umur 35 tahun kena ubah.. kita kena buat semua perempuan bawah 35 tahun ( yang masuk jadi ahli UMNO) masuk Puteri UMNO.

“Saya tengok macam ada double-standard dalam UMNO. PM dulu asalnya Ketua Pemuda UMNO. Naib presiden pun dari Pemuda, malah semua lahir dari Pemuda UMNO. Itulah factory kepimpinan. Kenapa Puteri UMNO tak boleh macam tu? Orang itu tak suka, orang ini tak suka. Saya kesian kat Puteri.

“Wanita UMNO lebih inklusif. Ini tidak. Wanita UMNO cuma terima Puteri UMNO hanya apabila dia jadi Wanita.

“Mungkin silapnya berada pada definasi nak menjadi ahli Puteri. Sekarang kalau umur 35 tahun ke bawah, dia boleh jadi ahli Puteri atau Wanita UMNO.

“Masa mula-mula semua bawah 35 tahun kena masuk Puteri UMNO dulu. Dah lepas umur itu terus masuk Wanita UMNO…tetapi perkara itu tidak berlaku.

“Seperkara lagi, had Ketua Puteri umur 40 tahun, had ahli Puteri pula berusia 35 tahun ke bawah dan ini menyebabkan masalah.

“Kita banding Puteri dan Pemuda UMNO. Kepimpinan Puteri apabila sudah sampai umur 35 tahun, kemudian nak jadi Ketua Puteri, peranannya daripada umur 25-35 akan berhenti setakat 35, lantas menyebabkan dia tidak relevan kepada UMNO, sebab tak semua Ketua Puteri Bahagian, bila keluar ( sampai had umur) dari Puteri diterima dalam bahagian atau Wanita UMNO.

“Saya tengok dari kajian, lebih kurang 70 peratus bekas Puteri yang tak ada peranan dalam UMNO. Jadi kemahirannya berpolitik… memimpin tak ada kesinambungan.

“Pemuda UMNO pula, boleh masuk bahagian, jadi ketua bahagian, naib ketua bahagian, timbalan ketua bahagian, setiausaha bahagian, ketua penerangan bahagian kalau dia kalah peringkat Pemuda.

“Peranan bekas Puteri dalam Wanita UMNO pun tak banyak. Bekas Puteri jadi Ketua Wanita UMNO bahagian cuma tiga orang sahaja, iaitu YB Suraya di Kedah, Habibah di Selangor dan Liza di Batu Pahat.

“Jadi, mereka yang nak jadi Ketua Wanita bahagian kena bertanding bila masuk umur 36 tahun. Kalau dia kalah, kemahiran dan pengalamannya selama dalam Puteri terbuang begitu saja.

“Jadi UMNO mesti mempunyai dasar inklusif, bukan sahaja kepada Puteri tetapi juga ketua-ketua cawangan atau bahagian yang bertanding tapi kalah, kita kena serapkan mereka dalam bahagian.

“Begitu juga Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri yang kalah bertanding, kita kena terima. Kalau kita nak relevankan UMNO pada orang Melayu, terutama orang muda, UMNO kena ada dasar yang lebih menerima.

“Tapi ini tidak, yang ada jawatan dan tempat, dihormati, yang tak ada jawatan atau tempat tak dihormati. Tapi kalau kita kira undi, undi tak kenal pada siapa. Orang pendek, gemuk atau cacat semua boleh undi. Kenapa dalam UMNO mesti ada dasar macam ini,” kata Azalina.

Azalina berkata, beliau melihat Puteri UMNO pada ketika ini ada kejanggalan. “ Macam rongak sebab dah ada macam jurang dalam kepimpinan. Harapan saya nak tengok Puteri kembali digeruni.

“Saya bersedia membantu mana-mana pihak sama ada Datuk Rosnah Shirlin (Ketua Puteri UMNO) atau Shahanim (Naib Ketua Puteri) mahupun peringkat negeri dan bahagian. Puteri tak boleh berfikiran dalam kotak. Kena fikir seperti bola. Ada rolling effect dan bukan stagnant effect.”

Azalina berkata beliau tidak mengharapkan apa-apa jawatan kerana ikhlas berjuang untuk UMNO. “Bagi saya, jawatan tak penting. Yang penting kita mesti berjuang.

“UMNO bukan tak kuat,,Cuma orang muda tak menerima UMNO. Tapi orang Cina pun tak terima MCA dan Gerakan. Orang india pun tak terima MIC. Ini bukan masalah UMNO tapi BN.

“Pembangkang pula gunakan media alternatif kononnya mereka hero kepada orang Malaysia. Ini tak betul, politik ini berubah-ubah. Tapi PM memang peka isu ini. Rakyat pula kena lihat secara menyeluruh,” katanya.

Sebagai pengasas dan bekas Ketua Puteri, Azalina sejarah pergerakan itu adalah berbeza dengan Wanita dan Pemuda UMNO..

“Wanita dan Pemuda semasa ditubuhkan berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan melalui menentang Malayan Union. Puteri pula peranannya berbeza. Kalau Puteri UMNO tak tahu sejarah Puteri dan dia tidak dapat memahami, menerima dan melaksanakan tugasnya untuk memberi keutamaan kepada UMNO, saya rasa Puteri UMNO gagal. Sejarah Pemuda dan Wanita UMNO berlainan.

Azalina turut mengulas mengenai desas desus mengatakan orang nombor satu dan dua yang menerajui Puteri UMNO tidak ngam.

“Mungkin masalah kematangan politik. Orang UMNO yang lama-lama, apabila dia tak suka, dia tak tunjuk kat depan. Ada masa dia suka dan ada masa tak suka, tapi kalau tiba piliihanraya dia berjuang bersama. Itulah cara orang UMNO lama.

“Orang muda sekarang lebih suka berpuak-puak Dia suka yang ini, tapi yang itu tak suka. Terlampau emosi. Masalah sikit. Dendam berdendam tak boleh diamalkan dalam politik,” kata Azalina yang baru sahaja membuka syarikat guamannya sendiri, Azalina & Associates.

Bagaimana pula tentang anggapan dulu pembangkang gerun pada Puteri tetapi tidak sekarang.

“Semasa saya jadi Ketua Puteri, hari-hari saya kena marah Tun Mahathir, Pak Lah dan Tengku Adnan. Itu masa baru-baru, Puteri selalu kena tegur dan media begitu peka. Pantang silap, macam macam-macam media nak komen. Hari ini saya tengok semua media diam saja.”

Apakah Puteri sekarang tak agresif?

“Agresif? Tak tahulah. Mungkin orang lain wataknya tak macam saya. It’s not fair to compare. Setiap pemimpin ada sifat dia sendiri. Tetapi bagi saya kita mesti berani dalam politik. Kalau tak berani nak wujudkan perubahan…kita jangan berpolitik.

“Sekarang kita cakap peranan puteri ialah IT, iaitu cyber war. Saya nak tanya berapa Puteri bahagian yang buat cyber war?

Dakwaan mengatakan Wanita UMNO kononnya menyekat bekas ahli dan pemimpin Puteri masuk ke dalam pergerakan mereka selalu kedengaran.Betulkah?

“Tak tahulah. Saya tak masuk Wanita, bertanding pun kalah. Noraini pun tak masuk Wanita. Nampak gayanya memang itu trend. Masalah UMNO kadangkala ia ada puak-puak. Dia nak puak dia ada berjawatan. Bagi saya pilihanraya mana ada kena mengena dengan puak. Kita kena terima hakikat bahawa tak semua orang suka pada UMNO dan tak semua orang Melayu suka pada UMNO. Begitu juga orang muda.

“Kalau kita nak menarik generasi Melayu muda dan wanita Melayu muda menyertai Puteri kita perlu gerak secara agresif. Saya tengok wanita muda di luar selalu bertanya, apa yang Puteri boleh buat? Apa perubahan yang Puteri nak bawa? Jadi Puteri UMNO kena ada keberanian,” tegasnya.

Bercakap mengenai firma guamannya, Azalina berkata beliau mengkhususkan kepada kes-kes berhubung alam sekitar.

“Saya mula terdorong membabitkan diri dalam isu ini apabila berlaku masalah tumpah minyak di kawasan saya. Saya juga mahu memperjuangkan masalah alam sekitar yang berpunca daripada kapal berlanggar, caj kapal berlabuh begitu rendah, agensi laut tak bagi caj yang tinggi, serta masalah Singapura buang sampah minyak di kawasan saya. Nelayan dan golongan yang hidup atas perniagaan pelancongan jadi mangsa.

“Saya merasa terkilan kerana kekurangan kepekaan di kalangan masyarakat mengenai isu ini. Sultanah Johor pun terperanjat dengan masalah ini apabila pergi kawasan saya baru-baru ini.

“Mungkin rakyat perlu bersuara dalam isu alam sekitar kalau kerajaan tak nak bersuara. Mungkin dengan menjadi peguam semula, saya akan memberikan lebih perhatian kepada isu ini. Terutama masalah kekurangan undang-undang, dasar yang memelihara alam sekitar.

“Contohnya, apa yang berlaku di Selangor baru-baru ini. Pasir ibarat emas kuning kerana ia sumber asli dalam tanah. Kita korek dapat duit. Di Selangor mereka menyalahgunakan kuasa dan perundangan itu jadi masalah.

“Masalah pasir bukan sahaja masalah politik tapi juga alam sekitar. Isu korekan menjanggalkan kemampatan bumi yang menyebabkan masalah air, sungai, laut, tanah dan orang nak tanam pokok.

“Kerajaan perlu ada agensi perlindungan alam sekitar yang bebas, tidak terikat dengan sebarang kementerian supaya isu tanah, air dan alam sekitar senang dipantau. Sekarang ini bila agensi kita yang berada di bawah Kementerian Sains dan Alam Sekitar, agensi nak bersuara, kerajaan negeri marah. Jadi dia tak besuara. Kerajaan kalau nak buat perubahan tak boleh cakap saja. Nak buat,kena buat betul-betul ikhlas”