SharpShooter Followers

Friday, September 25, 2009

Bukan salah saya - Guan Eng

Penang Port Sdn Bhd (PPSB) seharusnya tahu siapa yang perlu dirujuk dalam perkara berkaitan dengan laporan angka yang salah, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau berkata angka trafik kontena yang dipetiknya dalam kenyataan akhbar pada Selasa adalah mengikut laporan pada Julai, memetik penasihat khas maritim Kementerian Pengangkutan Datuk Kapten Abdul Rahim Abd Aziz.

"Jika PPSB tidak berpuas hati dengan angka itu, saya rasa mereka perlu membangkitkan perkara tersebut dengan Abdul Rahim kerana beliau merupakan orang yang menyediakan laporan tersebut dan ia tidak pernah dibetulkan secara terbuka olehnya," kata beliau kepada pemberita hari ini.

Guan Eng berkata demikian sebagai memberi reaksi kepada laporan hari ini yang memetik Pengarah Urusan PPSB Datuk Ahmad Ibnihajar bahawa pengendali Pelabuhan Pulau Pinang itu tidak pernah mengalami kerugian terutamanya dalam kuantiti trafik kontena, bercanggah dengan kenyataan Guan Eng.

Ahmad berkata Guan Eng memetik angka yang salah dalam kenyataan akhbarnya pada Selasa dan kenyataan itu akan menjejaskan imej PPSB.

Ditanya sama ada beliau merujuk kepada laporan salah semasa memetik angka trafik kontena dalam kenyataan akhbarnya, Guan Eng berkata:

"Tidak, saya mengeluarkan kenyataan berdasarkan kepada apa yang dinyatakan oleh Kementerian Pengangkutan.

"Angka itu tidak pernah dibetulkan oleh Abdul Rahim secara terbuka sehingga hari ini. Jika ada yang salah dalam laporan itu, orang yang berkaitan perlu bertanggungjawab membetulkannya.

"Jika beliau (Abdul Rahim) tidak membuat sebarang penjelasan, ia tidak membawa apa-apa kesan kerana beliau adalah pengawal atur daripada Kementerian Pengangkutan," katanya.

Bagaimanapun, selepas kenyataan itu muncul dalam akhbar, Abdul Rahim menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri Lim Hock Seng untuk menjelaskan mengenai angka tersebut.

"Abdul Rahim mengakui dalam SMS itu bahawa angka tersebut salah," katanya sambil menambah, pada masa itu kenyataannya telahpun dikeluarkan kepada media.
Guan Eng, dalam kenyataannya, menyatakan Pelabuhan Pulau Pinang mencatatkan kejatuhan 24 peratus dalam kuantiti trafik kontena pada suku kedua tahun ini tetapi Ahmad menjelaskan semalam bahawa PSSB mencatatkan kenaikan 13 peratus TEU (unit bersamaan 20 kaki) daripada 199,391 kepada 225,322 dalam suku kedua.

Ketua Menteri juga berkata kerajaan negeri dan orang ramai mahu mengetahui status projek menaik taraf Jeti Swettenham.

Beliau berkata terdahulu Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) berjanji projek itu akan siap bulan ini.

"Kami mahu tahu sama ada projek itu akan siap tepat pada masa atau jika ada sebarang kelewatan, PPC perlu menjelaskan mengapa projek itu terlewat sekali lagi," katanya

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/