SharpShooter Followers

Friday, June 11, 2010

Pemuda PAS bahas isu lompat

Dewan Pemuda PAS menggesa parti itu mengkaji semula perjanjian pembahagian kerusi ekoran tindakan wakil-wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP keluar parit, perkembangan yang disaksikan sepanjang dua tahun ini. Usul itu dibawa oleh Dewan Pemuda PAS kawasan Balik Pulau, Pulau Pinang.

“Perjanjian pembahagian kerusi dikaji semula atas dasar isu melompat parti,” kata usul itu yang diluluskan lewat malam ini.

Usul yang diluluskan tanpa bahas ini menyebut, Dewan Pemdua PAS mengambil berat perkembangan terdapatnya ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti rakan-rakan Pakatan Rakyat melompat parti.

Malah menurut usul itu, tindakan melompat parti boleh menyebabkan imej Pakatan Rakyat terejas dan kesan melompat parti telah menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Perak, yang menteri besarnya ketika itu merupakan wakil PAS.

Jentera pilihan raya akan menjadi lemah akibat perbuatan lompat, kata usul itu lagi.

“Hanya Ahli Parlimen atau Adun daripada PAS sahaja yang tidak melompat parti,” kata usul itu menjustifikasikan keperluan tindakan tegas menangangi masalah lompat parti dalam Pakatan Rakyat.

Oleh itu, Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat mengambil ketetapan bahawa Pakatan Rakyat perlu ada mekanisme untuk mencari calon pilihan raya yang setia kepada parti.

Pakatan Rakyat perlu menampilkan calon-calon yang benar-benar berketrampilan dan berkualiti.

“PAS perlu memberi panduan yang bersesuaian kepada parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang mempunyai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan undangan Negeri yang melompat,” katanya.

Usul serupa juga diluluskan oleh Dewan Ulama PAS Pusat pada muktamar mereka di Machang semalam.

Dewan Ulama PAS berpendapat parti-parti komponen Pakatan Rakyat perlu berhati-hati dalam memilih calon mereka.

“Walaupun ia tidak melibatkan kami tetapi apabila ada wakil rakyat komponen Pakatan Rakyat keluar, ia menjejaskan imej kesemua parti dan menjejaskan tahap keyakinan rakyat terhadap Pakatan,” kata Naib Ketua Dewan Ulama Datuk Dr Mahfodz Mohamed kepada The Malaysian Insider di akhir muktamar mereka.

Kata beliau, komponen Pakatan Rakyat boleh menggunakan mekanisme kriteria ketat yang digunakan oleh PAS, yang membabitkan empat peringkat termasuk keputusan akhir oleh Majlis Syura.

“(Bagaimanpun) ini tidak boleh dianggap sebagai campur tangan PAS dalam hal ehwal parti komponen tetapi nasihat sebagai rakan komponen,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Suhaizan Kaiat memberitahu The Malaysian Insider bahawa walaupun masalah ini tidak membabitkan PAS, jelas beliau, adalah wajar pihaknya membuat pendirian itu atas semangat Pakatan Rakyat.

Sejak awal tahun lalu 10 wakil rakyat PKR, masing-masing lima Adun dan Ahli Parlimen PKR telah keluar parti itu.

Seorang lagi membabitkan DAP dari Perak.

Tiga Adun, masing-masing seorang dari DAP dan dua dari PKR telah keluar parti mereka, sekali gus membawa kepada jatuhnya kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat.

Selain kriteria pemilihan ketat, lazimnya PAS juga menggunakan pendekatan angkat sumpah baiyah bagi mengelakkan wakil rakyat yang terpilih keluar parti.

Perkara mengawal melompat parti menjadi tumpuan ketika kongres PKR dua minggu lalu.

Ketika ditemui wartawan pada sidang media semalam, Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hasan Al-Tantawi berkata, pihaknya mengambil sikap berhati-hati dalam membuat pemilihan calon untuk pilihan raya umum ke-13 dan berharap pimpinan parti memandang serius isu lompat parti yuang berlaku masa kini.

“Calon yang akan bertanding dalam pilihan raya adalah merupakan seorang bakal pemimpin dan ia semestinya melalui proses pentarbiyahan yang mantap terlebih dahulu dan berdasarkan merit,” ujar beliau lagi.

Beliau juga berkata, isu lompat parti berlaku kerana calon mahupun wakil-wakil rakyat tersebut tidak mempunyai prinsip perjuangan yang kukuh dan disebabkan ketiadaan tarbiyah yang kukuh.

* Hj Mohsin adalah ahli PAS yang bertanding atas tiket Keadilan...Semoga apa yang terjadi menjadi iktibar untuk masa depan....Takbir...

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/