SharpShooter Followers


Thursday, January 12, 2012

Ratu Lynas @fuziah99 sedia berdebat dengan Menteri Besar

KUANTAN - “Saya tidak kisah siapa ahli panelnya, Menteri Besar (MB) atau sesiapa saja, saya akan tampilkan diri supaya rakyat dapat mengetahui dan mendapatkan maklumat lebih tepat dan telus,” kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berhubung debat umum Lynas yang diwar-warkan untuk dianjurkan.

Menurutnya, beliau tidak gentar berhadapan dengan mana-mana pihak untuk berdebat berhubung isu itu dengan syarat, lokasi dan masanya ditetapkan penganjur.

“Namun saya tidak mem­punyai kuasa untuk men­jemput siapa-siapa, sebaliknya ia tugas penganjur untuk mengundang ahli panelnya kerana saya tidak mahu masuk campur dan biarkan mereka yang neutral bertanggung­jawab melakukannya.

“Setakat ini, saya pernah mencadangkan tarikhnya pada 28, 29 dan 30 Disember lalu, namun masih belum dapat mencapai kata muktamad sehingga kini,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan dua tawaran Perhimpunan Hijau untuk menjadi moderator atau turut mempunyai wakil (pasukan) jika debat umum itu dilaksanakan.

“Setakat ini, saya tidak keberatan jika Perhimpunan Hijau ingin menjadi penganjurnya, namun bukan sebagai moderator kerana saya ingin mereka yang mempunyai kredibiliti, dikenali dan profesional untuk menggalas peranan ini.

“Selain itu saya ingin debat umum ini melibatkan semua pakar berkaitan, jika semuanya dapat dilaksanakan, saya hanya tunggu dan bersedia bila-bila masa saja untuk menyertai debat ini,” katanya.

Sementara itu Ketua MCA Bahagian Kuantan, Datuk Ti Lian Ker berkata, pihak yang mempunyai kredibiliti yang harus bertindak sebagai moderator dan Perhimpunan Hijau juga perlu mempunyai kredibiliti jika ingin mencabarnya selain menyangkal dakwaan mereka yang menyatakan pihaknya adalah pro-Lynas.

Sebaliknya, beliau memberitahu pihaknya berwaspada pada kemunculan kilang pemprosesan nadir bumi itu namun dalam masa sama bersikap terbuka dan akur dengan dengan piawaian antarabangsa yang diikuti kilang tersebut.

Menurutnya, Malaysia tidak boleh menjadi negara yang tidak tetap pendiriannya, iaitu sekejap menerima dan selepas itu menolak Lynas.

“Berhubung debat umum yang digembar-gemburkan itu, pendirian saya tidak mahu berdebat kerana ia lebih menjurus kepada kepentingan politik sebaliknya saya lebih berharap konsep bermusyawarah dianjurkan supaya dapat berkongsi maklumat, bertukar fikiran dan idea.

“Kita mahu mencari jalan penyelesaian dalam mengatasi kemelut ini dan tidak mahu ia terus berlanjutan menjadi isu,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak mahu terlibat dalam debat itu yang boleh dieksploitasi semata-mata untuk mendapatkan markah politik dan memancing undi sedangkan jalan penyelesaian tidak tercapai.

Sinar Harian


Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/