SharpShooter Followers

Wednesday, December 10, 2014

Malaysia Perlu Lebih Ramai Fahmi Zainol

Tindakan Universiti Malaya menggantung Fahmi Zainol selama dua semester dan didenda RM600 dan menggantung Safwan Shamsuddin selama satu semesta dan didenda RM300 selain daripada tindakan disiplin ke atas beberapa orang mahasiswa berkait program "40 Tahun Dari UM ke Penjara" membuka mata rakyat Malaysia kepada krisis pentadbiran institusi pendidikan tinggi di negara ini.

Tindakan ke atas mahasiswa-mahasiswa ini wajar dikecam seluruh rakyat Malaysia dan para mahasiswa khususnya, kerana ia menjadi bukti para pentadbir universiti tidak menghormati hak asasi mahasiswa untuk berkumpul dan bersuara, malah menidakkan kebolehan mahasiswa untuk berfikir dan bertindak dengan matang.

Saya cukup kesal kerana dengan tindakan ini para pentadbir UM seakan mahu mahasiswa hidup di bawah tempurung, tidak berinteraksi dengan masyarakat dan realiti sosio-politik semasa dan hanya menjadi pak turut robotik dengan mengiakan apa sahaja yang diarah pemerintah, walaupun ianya salah atau zalim.

Adakah budaya fobia pentadbir ini mampu melahirkan rakyat Malaysia yang berupaya menghadapi cabaran dan krisis di peringkat antarabangsa? 

Adakah tindakan disiplin ini menyampaikan mesej yang baik kepada dunia akademik, bahawa institusi pengajian tinggi tertua di Malaysia begitu lemah dan takut akan mahasiswa sehingga ia tidak berani memberi ruang untuk pertentangan idea yang sihat?

Malaysia perlukan lebih ramai Fahmi Zainol dan Safwan Shamsuddin: anak-anak muda yang berani bangkit bersuara kerana kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku di depan mata. Anak-anak muda lah yang menjadi hati nurani (conscience) masyarakat dan menjadi penggerak perubahan.

Tatkala negara menghadapi pelbagai krisis - ekonomi, kepimpinan politik dan sebagainya - anak muda lah yang menjadi pencetus semangat "nahdah", yakni "kebangkitan" atau "renaissance", menuju Malaysia yang lebih baik. Mungkin inilah islah yang ditakuti para zalimun.

Universiti bukan kilang, Mahasiswa bukan robot!

Fahmi Fadzil
Naib Ketua AMK

10 Disember 2014‎

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.