SharpShooter Followers

Friday, June 26, 2015

QAZAF: PIHAK BERKUASA DIGESA AMBIL TINDAKAN

QAZAF: PIHAK BERKUASA DIGESA AMBIL TINDAKAN

26 JUN 2015 / 9 RAMADHAN 1436 HIJRAH

Kenyataan ini merujuk kepada laporan yang telah dibuat oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim mengenai satu kejadian Jenayah Syariah Qazaf di bawah Seksyen 36 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 di mana Tan Sri Shafee Abdullah telah menuduh Dato' Seri Anwar Ibrahim melakukan liwat (zina) dengan Saiful Bukhari Azlan tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh (Dato' Seri Anwar Ibrahim) sepertimana yang diwajibkan oleh undang-undang.

Laporan yang dibuat ini adalah demi menegakkan keadilan dan hak Dato' Seri Anwar yang telah dijadikan mangsa dengan niat jahat untuk menjatuhkan maruah dan peribadi Dato' Seri Anwar. Keadilan dan hak yang dituntut ini sejajar firman Allah dalam surah An-Nur ayat 4 dan ayat 13.

Firman Allah:

"Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik" (An-Nur: 4)

"Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta" (An-Nur: 13

Tan Sri Shafee Abdullah dalam satu program dialog terbuka anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI), Kelana Jaya pada 17 Februari 2015 lebih kurang jam 9.30 malam memfitnah secara terbuka bahawa Dato' Seri Anwar telah melakukan liwat ke atas Saiful Bukhari Azlan secara terbuka tanpa menampilkan mana-mana empat orang saksi.

Kami ingin menegaskan bahawa jumhur Ulama' termasuk dari Mazhab Imam Syafie berpandangan bahawa kesalahan Liwat adalah diqiyaskan termasuk di bawah kategori zina di mana tuduhan terhadap kesalahan liwat tanpa empat orang saksi merupakan satu Jenayah Qazaf.

Justeru, demi menegakkan hak dan keadilan serta memartabatkan perundangan syariah di negeri Selangor, kami menggesa agar kenyataan terbuka Tan Sri Shafee Abdullah di atas disiasat di bawah Seksyen 36 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

Pihak kami akan memberi kerjasama sekiranya pihak Penguatkuasaan JAIS memerlukan maklumat lebih lanjut.

Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail