SharpShooter Followers

Monday, February 29, 2016

TABUNG HAJI JANGAN SEMBUNYI DI BELAKANG PEGUAM NEGARA

💥💥💥

29 FEBRUARI 2016

LAPORAN POLIS:

PENGURUSAN TABUNG HAJI JANGAN SEMBUNYI DI BELAKANG PEGUAM NEGARA, JAWAB PRESTASI DAN RISIKO PELABURAN DI DALAM TH HEAVY ENGINEERING (THHE) DAN LAIN-LAIN

Bahagian I:

Laporan Polis

Saya tidak terkejut dengan tindakan pengurusan Tabung Haji yang membuat laporan polis terhadap saya mengenai isu "Corporate Guarantee" (CG atau jaminan korporat) berhubung pelaburan di dalam TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Tindakan itu tidak cermat seolah-olah pengurusan Tabung Haji lupa bahawa rakyat masih marah dengan perlantikan Tan Sri Mohamad Apandi Ali, Peguam Negara sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji baru-baru ini.

Jika Tabung Haji berpendapat bahawa isu yang saya timbulkan adalah fitnah dan telah menjatuhkan reputasi Tabung Haji, maka pengurusan Tabung Haji sepatutnya mengambil tindakan saman secara sivil di dalam mahkamah.

Sebaliknya, Tabung Haji membuat laporan polis dengan niat supaya saya didakwa di bawah akta jenayah (bukannya undang-undang saman sivil seperti biasa). Ini tidaklah mengejutkan kerana faktor-faktor berikut:

1.    Kuasa pendakwaan terletak di tangan Peguam Negara yang kebetulannya adalah seorang Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji. Jika pengurusan Tabung Haji berharap "kebetulan" ini akan memudahkan saya didakwa di mahkamah, sudah tentu ia akan dicabar oleh peguam saya kerana pendakwaan itu boleh ditafsirkan sebagai pendakwaan terpilih atau pendakwaan yang berpunca dari pertembungan kepentingan ("conflict of interest")

2.    Pendakwaan di bawah akta jenayah lebih mudah disabitkan berbanding dengan tindakan saman di bawah undang-undang sivil. Tindakan saman di bawah undang-undang sivil mengambil kira hak saya sebagai Ahli Parlimen untuk memberi komen yang munasabah ("fair comments") atau komen berdasarkan maklumat-maklumat yang saya ketahui ("qualified privileges").

Tambahan pula, tindakan saman oleh Tabung Haji di bawah undang-undang sivil perlu membuktikan bahawa komen-komen saya mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji adalah berniat jahat. Semua pembuktian dan hak memberi komen di bawah pembelaan "fair comments" dan "qualified privileges" tidak wujud di bawah akta jenayah. Pendakwa selalunya hanya membuktikan bahawa saya telah mengeluarkan kata-kata tersebut.

Sebab itu saya perhatikan ada kecenderongan oleh pimpinan Umno dan badan-badan kerajaan untuk membuat laporan polis supaya saya disiasat di bawah undang-undang jenayah sedangkan sepatutnya ia dibawa sebagai saman sivil sahaja.

Contohnya, komentar saya mengenai kesan permainan politik Umno terhadap hubungan antara kaum dan keharmonian agama di negara ini dalam tahun 2014 telah menyebabkan saya didakwa dan disabitkan kesalahan (lalu didenda RM1,800) di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas tuduhan "menimbulkan kemarahan ahli Umno". Sedangkan Seksyen 504 Kanun Keseksaan adalah untuk kes-kes yang mana seseorang memaki hamun satu kumpulan orang secara berdepan dengan niat menimbulkan kemarahan kumpulan orang itu lalu menyebabkan pergaduhan, kekacauan dan lain-lain.

Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada siasatan pihak berkuasa akibat laporan polis yang dibuat pengurusan Tabung Haji ini.

Saya juga mengulangi gesaan saya bahawa jika mana-mana fakta yang saya kemukakan setakat ini (berkenaan rizab yang negatif, pelaburan syarikat roti yang rugi RM90 juta, pelaburan saham FGV yang susutnilai RM933 juta dan pelaburan THHE yang susutnilai RM200 juta/terdedah risiko kerugian RM1.4 bilion) adalah tidak benar dan memfitnah Tabung Haji, wajarlah Tabung Haji mengambil tindakan saman sivil di mahkamah dengan segera.

Saya bersedia mempertahankan dan membentangkan fakta-fakta ini di mahkamah di bawah undang-undang sivil.

Bahagian II:

Prestasi Pelaburan Tabung Haji di dalam TH Heavy Engineering Berhad

Saya sebenarnya kecewa kerana pengurusan Tabung Haji seolah-olah mahu mengelak dari menjawab isu sebenar yang saya timbulkan berhubung pelaburan Tabung Haji di dalam TH Heavy Engineering Berhad, iaitu:

1.    Berapa kerugian yang telah dialami oleh Tabung Haji (melalui susutnilai saham) setakat ini apabila melabur di dalam syarikat bermasalah (dahulunya Ramunia Holdings Berhad) dan terus menyuntik dana ke dalam syarikat itu (kini dikenali TH Heavy Engineering Berhad) sedangkan unjuran prestasinya tidak baik?

2.    Berapa banyak lagi simpanan pendeposit Tabung Haji yang akan disuntik ke dalam THHE dalam keadaan harga minyak mentah dijangka kekal rendah bagi tempoh 5 hingga 8 tahun akan datang dan THHE mempunyai hutang tertunggak yang besar kepada kontraktor sedia ada?

Kedua-dua perkara ini timbul kerana dokumen-dokumen dalaman Tabung Haji sendiri yang bocor kepada orang ramai. Dokumen pertama ialah Laporan Risiko Pelaburan ("Investment Risk Assessment") dan dokumen kedua ialah surat dari Kementerian Kewangan kepada Tan Sri Ismee Ismail memaklumkan kelulusan permohonan Tabung Haji memberi "Corporate Guarantee" kepada THHE untuk mendapatkan pinjaman bank sehingga USD228.2 juta (bersamaan RM981.3 juta) untuk membiayai projek FPSO Layang.

Sehingga ke hari ini, pengurusan Tabung Haji tidak menafikan bahawa kedua-dua dokumen ini sahih. Dalam laporan polis terhadap saya pun, pengurusan Tabung Haji tidak menyatakan bahawa dokumen-dokumen ini palsu sedangkan jika saya menyebarkan maklumat berdasarkan dokumen palsu, itu sudah tentu menguatkan kes jenayah terhadap saya.

Maknanya kedua-dua dokumen ini adalah benar, lalu boleh disimpulkan ia mengesahkan perkara-perkara berikut:

1.    THHE memerlukan suntikan dana RM981.3 juta untuk menyiapkan kontrak FPSO Layang yang kini dibimbangi akan tersasar dari jadual yang telah dipersetujui dengan pemiliknya iaitu JX Nippon Oil. Jika THHE terus mengalami masalah aliran tunai dan tidak mampu membayar kontraktornya (sekarang ini pun ada tuntutan sebanyak RM109.7 juta yang masih tertunggak dengan kontraktor), maka kelewatan projek FPSO Layang ini akan menyebabkan THHE tidak dibayar (atau bayarannya dipotong) oleh JX Nippon Oil. Ini pernah berlaku bagi salah satu projek THHE sebelum ini melibatkan kontrak dengan Murphy Oil.

2.    Oleh kerana projek FPSO Layang ini adalah projek terbesar THHE setakat ini dan prospek industry minyak dan gas yang lembap akan menyebabkan tidak ada kontrak-kontrak baru, kelewatan FPSO Layang (atau pembatalan pembayaran) akan menyebabkan THHE berhadapan dengan kedudukan kewangan yang meruncing sekali lagi dan risiko muflis. Jika ini berlaku, pelaburan sedia ada oleh Tabung Haji sebanyak RM525 juta (kerugian harga saham sebanyak RM200 juta, pinjaman sukuk RM50 juta dan ICPS RM275 juta) akan hangus begitu sahaja.

3.    Sebab itu nampaknya Tabung Haji tidak ada pilihan lain kecuali memastikan THHE mendapat bantuan kewangan baru bagi membiayai kerja-kerja menyiapkan FPSO Layang. Atas sebab inilah, saya menyimpulkan bahawa pengurusan Tabung Haji TELAH BERSETUJU untuk memberikan Corporate Guarantee ("CG") kepada pinjaman baru THHE sebanyak RM981.3 juta bagi mengelakkan THHE berdepan risiko kewangan yang meruncing.

4.    Hasil dari keputusan itu, pengurusan Tabung Haji membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan dalam surat bertarikh 12 November 2015 kerana tindakan memberi CG kepada syarikat bersekutu (pelaburan Tabung Haji hanyalah 30%) adalah melanggar akta. Dalam surat bertarikh 8 Disember 2015, Kementerian Kewangan meluluskan permohonan Tabung Haji itu.

5.    Walau bagaimana pun, Bahagian Pengurusan Risiko Tabung Haji di dalam laporannya bertarikh 7 Januari 2016 telah menyatakan risiko-risiko kewangan yang besar jika Tabung Haji meneruskan hasratnya memberikan CG kepada THHE (walaupun diluluskan Kementerian Kewangan). Risiko terbesar ialah kerugian keseluruhan berjumlah RM1.4 bilion jika THHE gagal menyiapkan FPSO Layang tepat mengikut jadualnya.

6.    Pada 25 Januari 2016, surat Kementerian Kewangan dan Laporan Risiko Pelaburan bocor kepada orang ramai dan tersebar di Internet.

Sudah tentu dalam tempoh dari tarikh 25 Januari 2016 (bila mana dokumen-dokumen itu bocor) dan kenyataan media saya mengenai kerugian pelaburan Tabung Haji di dalam THHE pada 25 Februari 2016, ada beberapa kemungkinan yang berlaku mengenai CG kepada THHE ini:

i.        Perjanjian pinjaman bank di antara THHE dan bank terbabit belum dimuktamadkan walaupun CG telah diluluskan; atau

    ii.        Tabung Haji membuat keputusan membatalkan keputusan awalnya memberikan CG kepada THHE apabila perkara itu bocor kepada orang awam

Namun ini tidak menukar persoalan pokok yang saya ajukan mengenai pelaburan Tabung Haji di dalam THHE, iaitu bagaimanakah Tabung Haji mahu mendapatkan kembali dana pendeposit yang telah dilaburkan setakat ini mengambil kira kedudukan aliran tunai THHE dan jadual projek FPSO Layang yang berdepan risiko kelewatan?

Jika THHE membatalkan CG kerana bimbang dengan kemarahan rakyat, maka THHE berkemungkinan tidak mempunyai cukup dana untuk membayar kontraktor sedia ada dan kerja-kerja akan datang. Ini akan membawa kesan kepada kelancaran projek FPSO Layang yang membawa risiko JX Nippon tidak membayar THHE (kerana lewat), seperti mana Murphy Oil dilaporkan tidak membayar THHE sebelum ini. Dalam keadaan ini, pelaburan sedia ada Tabung Haji berjumlah RM425 juta akan hangus begitu sahaja (seperti Laporan Risiko Pelaburan).

Jika THHE meneruskan dengan keputusan awal memberikan CG, ini bermakna FPSO Layang berkemungkinan akan disiapkan mengikut jadual yang dipersetujui. Walau bagaimana pun, industri minyak dan gas sedang melalui zaman menguncup dan harga minyak mentah dijangka kekal rendah bagi tempoh 5 hingga 8 tahun akan datang. Dalam keadaan THHE hanya mempunyai projek FPSO Layang sebagai projek terbesarnya, bagaimanakah THHE akan kekal mencatatkan keuntungan tanpa perlu ada suntikan baru dari Tabung Haji. Jika THHE berhadapan dengan masalah kewangan lagi di masa akan datang, Tabung Haji terdedah kepada kerugian berjumlah RM1.4 bilion (seperti Laporan Risiko Pelaburan).

Ini adalah perkara-perkara penting yang perlu dijelaskan oleh pengurusan Tabung Haji dan pengerusinya Datuk Seri Azeez Abdul Rahim. Sebaliknya, pengurusan Tabung Haji mengambil tindakan kebudak-budakan dan bermain politik dengan membuat laporan polis terhadap saya dengan menuntut saya menamakan bank yang terlibat (tidak ubah seperti laungan cyber trooper UMNO sebelum itu).

Orang ramai kebanyakannya faham bahawa ada kemungkinan perjanjian pinjaman belum dimuktamadkan atau CG dibatalkan setelah dokumen-dokumen bocor. Kegagalan Tabung Haji memberi jawapan yang mudah dan jelas terhadap isu yang saya timbulkan (sebaliknya berselindung di sebalik laporan polis) akan melunturkan lagi keyakinan orang ramai terhadap pengurusan Tabung Haji dan pengerusinya Datuk Seri Azeez Abdul Rahim.

Saya akan terus mengeluarkan kenyataan yang memberi tumpuan kepada pelaburan Tabung Haji yang merugikan dan isu-isu tata kelola yang lain minggu ini dan minggu depan.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN