Monday, August 29, 2011

Saya tak kata pun Mat Indera itu Komunis - Mat Sabu

"Saya tidak kata pun Mat Indera itu Komunis, saya tidak sebut pun nama beberapa-beberapa Cina yang dilaporkan dalam akhbar itu bahkan selepas membaca laporan akhbar Umno itu baru saya tahu nama mereka," jelas Mohamad Sabu Timbalan Presiden PAS, yang juga membuat sidang media khas di sini hari ini mengenainya.

Haji Mohamad Sabu mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah fitnah terhadap beliau dan PAS. Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu.

"Saya agak lambat menjawab isu ini kerana saya mahu melihat dan mendengar balik apa yang saya katakan di ceramah itu. Pagi ini saya melihat balik videonya dan mendapati apa yang dilaporkan oleh Utusan itu tidak benar sama sekali," kata Mohamad Sabu kepada Harakahdaily.

"Saya ceramah 21 Ogos, Utusan siar 27 Ogos...jadi saya lupa apa yang tepatnya saya cakap, jadi saya tunggu rakaman itu dan pagi ini saya mendengarnya," kata Mohamad.

Utusan dan pemimpin Umno menyerang Mohamad Sabu dengan tuduhan kononnya beliau menghina para polis Bukit Kepong dan membela Komunis yang menyerang balai polis itu. Peristiwa Bukit Kepong terkenal kerana ia telah difilemkan oleh Datuk Jins Samsudin dengan filem berjodol Bukit Kepong.

Rakaman video Mohamad Sabu ketika berucap di Pusat Pendidikan Islam Padang Menora, Tasek Gelugor baru-baru ini sampai ke tangan wartawan Harakah Pulau Pinang semalam. Video itu kemudiannya disampaikan terus kepada Mohamad petang semalam dan ia dilihat beliau pagi tadi.

Rakaman yang diperolehi daripada seorang peminat tokoh nombor dua PAS itu dan diberikan kepada Mohamad yang hadir pada majlis berbuka puasa di Surau Al Ghufron, Kuala Bekah, Penaga bersama Ketua Menteri, Lim Guan Eng petang semalam.

Mohamad dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan akan meneliti terlebih dahulu ucapannya dalam rakaman berkenaan dan sekiranya didapati Utusan Malaysia sengaja menokoh tambah cerita yang bukan-bukan, maka tindakan undang-undang akan diambil.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya baru-baru ini menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Selain itu, Utusan melaporkan, timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai British. (IH)

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

1 comment:

  1. salam...

    mereka mula bimbang apabila sejarah mula dicerahkan...

    sejarah tanah melayu harus lihat dari keseluruhannya... sejarah ini pon telah berulang dinegara2 dibawah pengusaan barat... ideologi kemerdekaan bangkit dari gerakan di mesir... komunis meresap apabila inggeris enggan belah dari malaya... siapa yang beri senjata dan melatih rakyat malaya berperang dengan jepun jika bukan inggeris... kenapa? sbb inggeris takkan mempertahankan tanah yg bukan tanahairnya dengan menggadai bangsanya sendiri... maka rakyat tempatan perlu pertahankan... perhatikan betul2... komunis tidak wujud sebelum dan semasa perang jepun...

    ramai rakyat malaya yg kecewa dengan inggeris dan ingin menghalau mereka keluar selepas melihat kezaliman mereka membunuh pejuang yg menentang british... nak tentang dengan parang dan keris?... dah tentu senjata api... mana nak cari... siapa yg ada? bukankah rejimen ke10 telah menyembunyikan senjata yg dibekalkan oleh inggeris... pejuang2 tanahair sudah tiada pilihan selepas semua parti dan pertubuhan yg menentang inggeris diharamkan...

    bacalah sejarah dari semua sumber... dan bukan bersumberkan pada satu pihak sahaja...

    ReplyDelete

Jadilah insan yang benar-benar 'MERDEKA'. Berani tampil menyatakan pandangan tanpa takut pada sesiapa kecuali Allah.
Tidak perlu gunakan nama samaran.
Yang baik itu datang dari Allah, yang tidak baik itu datang dari kelemahan kita sendiri.