Sejarah sebenar mengenai Jamilah Abu Bakar, anak kepada seorang anggota polis marin dalam tragedi di Bukit Kepong yang diselamatkan oleh Mat Indera tidak boleh dinafikan lagi oleh sebarang pihak, walaupun kini sedang diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu.
Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat menjelaskan, kenyataan beliau sejak awal isu membabitkan Mat Indera tercetus sekarang menyebut Jamilah yang diselamatkan oleh Mat Indera, bukan keluarganya.
Menurut beliau, namun sesetengah pihak kini sedang berusaha menyelewengkan kenyataannya dengan mengatakan beliau berkata Jamilah dan keluarganya yang telah diselamatkan oleh Mat Indera.
Katanya, kenyataan itu ternyata tidak tepat dan menyeleweng dari fakta sebenar yang disebut oleh beliau sehingga menyebabkan timbulnya kekeliruan berhubung perkara itu.
"Saya mendapati terdapat sedikit kesilapan dalam laporan media perdana hari ini," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.
Akibat kesilapan laporan itu, menurut beliau, dibimbangi akan diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab terutama Umno untuk mempertikaikan kenyataan beliau dan dari pihak PAS.
Sehubungan itu, beliau berharap agar kenyataan beliau itu tidak diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu kerana ia berpijak atas fakta sejarah khususnya berhubung perjuangan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan tanah air.
"Jasa dan pengorbanan Mat Indera terhadap tanah air amat besar sesuai dengan kedudukannya sebagai pejuang kemerdekaan. Amat tidak patut sejarah mengenainya diselewengkan sehingga dituduh terlibat dengan perjuangan komunis, sedangkan Mat Indera itu sendiri adalah seorang yang kuat berpegang kepada agama, malah guru agama.
"Mat Indera sendiri telah menegaskan perjuangannya adalah untuk membebaskan negara dari penjajahan dan beliau langsung tidak terlibat dengan perjuangan komunis.
"Malah, dalam tragedi di Bukit Kepong itu sendiri, beliau telah menyelamatkan Jamilah. Turut diselamatkan juga termasuklah seorang anggota polis bernama Yusof Rono dari mati dibunuh dalam peristimwa itu dan ramai lagi mangsa-mangsa yang lain," tegasnya.
Dengan jasa-jasa besar yang telah dinyatakan itu sahaja sudah cukup membuktikan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan, bukannya pengkhianat seperti yang dituduh oleh British dan seluruh rakyat negara ini tidak sepatutnya dibiarkan terus terpengaruh dengan penyelewengan fakta mengenainya.
"Kepada ahli sejarah yang menafikan kajian ahli sejarah lain yang mengatakan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan, saya harap janganlah menolak kajian orang lain jika kita sendiri tidak membuat kajian semula mengenainya," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat, Dewan Pemuda PAS Malaysia berharap agar ahli-ahli sejarah di tanah air mengambil inisiatif mengkaji semula sejarah mengenai perjuangan Mat Indera khususnya.
"Dengan itu barulah mereka boleh mendedahkan kajian masing-masing mengenainya tanpa menafikan kajian yang telah dibuat terlebih dahulu oleh ahli-ahli sejarah lain, sehingga sanggup mengatakan Mat Indera bukan pejuang kemerdekaan dan bukan orang tempatan, tetapi dikatakan berasal dari seberang.
"Sedangkan ahli keluarga Mat Indera sendiri dan mereka yang mengenali beliau dan keluarganya juga mengakui Mat Indera sememangnya penduduk tempatan atau anak jati negeri Johor dan beliau sememangnya pejuang kemerdekaan," ujar beliau.
Turut hadir pada sidang media itu, adik kepada Mat Indera, Baharom Shah Indera yang juga merupakan seorang bekas tentera, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Johor, Mahadzir Mat Zili dan Exco Dewan Pemuda PAS Johor, Syazli Munir.
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment
Jadilah insan yang benar-benar 'MERDEKA'. Berani tampil menyatakan pandangan tanpa takut pada sesiapa kecuali Allah.
Tidak perlu gunakan nama samaran.
Yang baik itu datang dari Allah, yang tidak baik itu datang dari kelemahan kita sendiri.