Nilai pegangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mark Zuckerberg dalam syarikatnya merosot AS$7.2 bilion (RM22 bilion) sejak penyenaraian awam awal (IPO) dua bulan lalu, ekoran penurunan harga saham sejak kelmarin.
Usahawan muda itu dilaporkan bernilai AS$19.1 bilion (RM59.2 bilion) berdasarkan pada harga tawaran IPO AS$38 sesaham pada Mei lalu.
Beliau menjual 30 juta saham pada hari penyeneraian untuk menjana tunai dan membayar cukai.
Zuckerberg masih memegang 503 juta saham ketika IPO dirumuskan.
Laporan CNN menyebut bahawa setakat tengah hari semalam, pegangan pengasas Facebook itu bernilai AS$11.98 bilion (RM37.2 bilion).
Pun begitu, meskipun hanya memiliki pegangan bernilai RM37.2 bilion, Zuckerberg masih berada dalam kategori 72 orang paling kaya di dunia, demikian menurut pemantauan Forbes.
Sejak disenaraikan dua bulan lalu, Facebook mengalami kemerosotan nilai saham tetapi ia menjunam semenjak dua hari.
Syarikat itu mengeluarkan laporan pemerolehan pertama sejak IPO, kelmarin.
Bagaimanapun para pelabur dilaporkan kecewa dengan laporan itu, sekali gus harga sahamnya merosot ke paras paling rendah setakat ini.
Pada Mei lalu, sahamnya dipasarkan di paras AS$22.28 sesaham berbanding AS$38 sesaham dua bulan lalu - penurunan sebanyak 41 peratus.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone