Wednesday, October 16, 2013

Yayasan Islam P.Pinang umum bina Sekolah Islam Antarabangsa RM6 juta

KERAJAAN Negeri melalui Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) akan bekerjasama dengan Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad (Tunas Muda) bagi merancang pembinaan Sekolah Islam Antarabangsa Pulau Pinang di atas sebidang tanah berkeluasan 4.863 ekar dekat Sungai Ara, Bayan Lepas.

Tapak projek yang dicadangkan itu di Jalan Persiaran Relau berhampiran Sekolah Kebangsaan Relau, Sungai Ara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng membuat pengumuman sedemikian selepas menyaksikan Pengerusi Pemaju Ideal Property Group, Datuk Alex Ooi menyerahkan geran tanah kepada Kerajaan Negeri, melalui Pengerusi YIPP, Datuk Mansor Othman.

"Projek ini dijangka akan bermula pada tahun hadapan dengan kos pembinaan sebanyak RM6 juta yang akan ditanggung oleh pihak Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad.

"Sama ada, ada perubahan (mengenai status pihak yang menanggung kos pembinaan), saya serah kepada Datuk Mansor dan Datuk Abdul Malik lah," ujar Guan Eng di sini baru-baru ini.

Timabalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Datuk Abdul Malik Abu Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut hadir pada sidang media tersbeut.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, perancangan terbaru itu sekaligus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan syiar Islam di negeri ini.

"Projek ini juga nanti akan daat mempromosi Pulau Pinang sebagai hub pendidikan di rantau ini memandangkan inilah satu-satunya sekolah Islam bertaraf antarabangsa di kawasan Utara (Semenanjung) Malaysia," ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Sementara itu, Mansor berkata, YIPP masih dalam proses menyusun modul akademik bagi Sekolah Islam Antarabangsa Pulau Pinang dengan mengkaji beberapa modul pendidikan dari negara Singapura, Thailand (Patani) dan terbaru, dari Pakistan. 

"Di bawah bahagian pendidikan dan dakwah (YIPP), tanah ini kita perolehi hasil usaha Kerajaan Negeri juga untuk kita membangunkan kompleks ini (Sekolah Islam Antarabangsa Pulau Pinang).

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Alex kerana bekerjasama dengan Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad untuk membangunkan sekolah ini. 

"Selepas itu, perjalanan (akademik) sekolah ini akan kita (YIPP tetapkan) di bawah pengawasan Kerajaan Negeri," ujar Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal. 

Nada yang sama turut diperjelaskan oleh Abdul Malik.

"Ini merupakan antara sebahagian usaha kita (Kerajaan Negeri) untuk pendidikan Islam di Pulau Pinang, dari peringkat tadika (pra-sekolah) sehinggalah peringkat universiti," ujar Abdul Malik yang juga ADUN Batu Maung.

Manakala, Mohd. Rashid pula berkata, projek terbaru itu diharap dapat melonjak pada perkembangan dakwah Islamiah di negeri ini.

"Saya harap, ini menjadi satu lagi langkah kemajuan untuk perkembangan dakwah Islam di Pulau Pinang," ujar Mohd. Rashid yang juga ADUN Pantai Jerejak. 

Idea penubuhan Sekolah Islam Antarabangsa Pulau Pinang sebenarnya dicetuskan oleh Mansor sendiri semasa masih menjadi timbalan ketua menteri I, pada penggal pentadbiran Kerajaan Negeri lepas.


Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone