SharpShooter Followers

Wednesday, June 02, 2010

MIC bertambah parah

MIC bertambah parah apabila Ketua Pemuda MIC Kedah, L. Thiagarajan hari ini melepaskan jawatannya kerana membantah kepimpinan parti tersebut.

Thiagarajan, 33, berkata, tindakan itu diambil sebagai membantah tindakan pucuk pimpinan yang tidak mempedulikan suara golongan muda dalam parti.

"Selain itu, saya kecewa dengan Pengerusi MIC Kedah, S. Ananthan yang cuba sedaya upaya menghalang saya berjumpa dengan ketua-ketua di peringkat bahagian.

"Saya juga mendapati sejak kebelakangan ini, banyak hal yang dibuat tidak mendapat persetujuan bersama ahli termasuk daripada saya sendiri selaku Ketua Pemuda negeri. Saya percaya selepas ini, ramai lagi pemimpin pemuda akan melepaskan jawatan," dakwanya pada sidang akhbar di Jalan Sekerat, di sini hari ini.

Menurut Thiagarajan, tindakan pucuk pimpinan menghalangnya berjumpa dengan pemimpin peringkat bahagian jelas tidak adil dan dipercayai wujud komplot untuk menjatuhkannya.

"Selain itu, kita juga mendapati banyak campur tangan pemimpin peringkat negeri dan pusat dalam urusan Pemuda MIC Kedah sehingga menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan sempurna," jelasnya.

Ketika ditanya sama ada peletakan jawatan tersebut mempunyai kaitan dengan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS), Thiagarajan memberitahu, ia terpulang kepada persepsi ahli-ahli MIC.

"Saya tidak berhasrat mengulas perkara ini. Apa yang berlaku sekarang ialah, rata-rata masyarakat India masih menaruh harapan terhadap MIC.

"Namun, kebanyakan ahli juga kini berasa bosan dengan sebahagian besar kepimpinan parti dan mereka sedang menuntut pembaharuan dilakukan," katanya.

Bagaimanapun, Thiagarajan berjanji tidak akan meninggalkan parti tersebut dan akan terus berjuang sebagai pemimpin di peringkat cawangan.

"Saya tetap dengan MIC. Selepas ini saya akan bergerak di peringkat cawangan saya selaku Timbalan Ketua dan ahli cawangan Kolam Air Sungai Petani," katanya



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/