Tuesday, November 23, 2010

Pakatan Rakyat P,Pinang sudah bersedia

GEORGETOWN, 22 Nov: Pakatan Rakyat Pulau Pinang bersedia berhadapan dengan jentera Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU 13) pada bila-bila masa sahaja.

Semua jentera Pakatan Rakyat yang menggabungkan tiga parti iaitu Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS telah menyatakan pergerakan dan persetujuan bersama dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan raya yang diadakan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) malam tadi sempena Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Pelancaran yang ditandatangani oleh Timbalan Keadilan Pulau Pinang, Law Choo Kiang yang mewakili pengerusinya, Datuk Mansor Othman, Timbalan DAP Pulau Pinang, Lim Hock Seng yang mewakili pengerusinya, Chow Kon Yeow serta Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man.

Law Choo Kiang dalam ucapannya mahukan kerajaan menonjolkan aktiviti menjurus kepada rakyat supaya program yang diatur menepati sasaran.

Beliau tidak mahu Pakatan 'syok sendiri' sebaliknya bersungguh-sungguh memperkemaskan sistem komunikasi untuk berkongsi maklumat bagi menjalinkan kekuatan menghadapi fitnah yang dilemparkan oleh BN.

"Kita kena jauhkan sindrom Mac 2008 yang menyaksikan kemenangan Pakatan Rakyat dan jangan terlalu yakin untuk mengulanginya tanpa ada usaha yang padu dilakukan oleh ketiga-tiga parti, sebaliknya rancang dan agendakan program terus ke dalam masyarakat," tegasnya.

Bagi Lim HockSeng pula, DAP kena bangun dan bingkas pada setiap pergerakan dan usah lagi melangkah secara perlahan kerana langkah sebegitu selalunya disekat oleh Umno dan BN.

Katanya, mereka melemparkan berbagai tuduhan palsu demi mendapatkan semula undi terutamanya masyarakat Cina yang telah berpatah arang ekoran terlalu banyak penyelewengan BN sewaktu berkuasa.

Mendampingi rakyat jelata tambahnya, merupakan jalan terbaik untuk Pakatan Rakyat menyalurkan maklumat secara terus, bukan menerusi media pro BN yang lidah bercabang dan tidak bersikap profesional.

"Semua tuduhan palsu kena dinafikan secepat mungkin kerana ia sedikit sebanyak memberi kesan pada kita.

“Apa pun, setakat ini semua yang dilemparkan terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya diatasi sekaligus memakan diri BN dan konco-konconya," katanya.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Saleh Man pula mahukan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat memperbanyakkan program kebajikan.

Bukan itu sahaja, malahan usaha mendaftarkan ahli atau pengundi hendaklah dicergaskan supaya Pakatan Rakyat tidak terlalu menaruh harapan kepada kelemahan pentadbiran dahulu.

"Kita kena cari sasaran kita sendiri dengan menengahkan sesuatu isu bukan mengharapkan isu nasional yang kadang-kadang tidak menimbulkan kemarahan penduduk," jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir.

Konvensyen Pakatan Rakyat bertemakan 'Kerajaan Berjiwa Rakyat, Memartabatkan Rakyat' yang pertama kali diadakan turut membincangkan lima kertas kerja.

Ucaptama yang disampaikan oleh Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri, Lim Guan Eng bertajuk ‘Kerajaan Berjiwa Rakyat: Memartabatkan Rakyat' turut menarik perhatian wakil Jepun, Tetsuro Kai dan wakil Indonesia, Chilman Arisman yang hadir sama pada majlis itu.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

1 comment:

  1. Kadang2 saya terfikir seandainya BN menang pilihanraya 2008 lalu...macam mana agaknya Penang hari ni.
    1. Menara berkembar 65 tingkat PGCC yang dicandangkan ke tapak lemba kuda batu gantung mungkin dah 40% siap...dan hilanglah pokok2menghijau disana;
    2. PORR dual carriageway yg menghubung Jln tengku kudin dengan Tanjong tokong mungking dah 50% siap..tak payah lah lagi bersesak-sesak di green lane.
    3. Project pelebaran jalan masjid negeri dengan pembinaan under-pass di persimpangan air item, lorong batu lancang dan traffic light lumba kuda mungkin dah 70% siap;
    4. Project lebuh-raya bukit menghubung bayan lepas dengan pekan genting di balik pulau mungkin dah 100% siap,
    5. Project jalan bawah tanah menghubung persimpangan weld quay ke persiaran gurney mungkin dah bermula.
    6. Project penempatan pejabat kerajaan negeri di bayan bay dengan pembinaan bangunan mirip putrajaya mungkin dah 20% siap
    7. Project jambatan kedua mungkin dah 90% siap,
    8. Project monorail / MRT menghubung air itam, bayan baru dan tanjong tokong dengan weld quay mungkin dah 70% siap.
    9. Projek dual carriageway menghubung Batu Maung dengan Teluk Kumbar mungkin dah start.
    10. Project pembesaran dan menambahan terminal LTA bayan lepas mungkin dah siap,
    11. Project Logistic Hub Pengkalan Tun Uda di butterworh mungkin dah 50% siap.

    Dan banyak lagi yg tak tersenarai disini.....Inilah pergorbanan rakyat PP bila mereka memilih untuk tukar kerjaan pada March 2008.

    ReplyDelete

Jadilah insan yang benar-benar 'MERDEKA'. Berani tampil menyatakan pandangan tanpa takut pada sesiapa kecuali Allah.
Tidak perlu gunakan nama samaran.
Yang baik itu datang dari Allah, yang tidak baik itu datang dari kelemahan kita sendiri.