SharpShooter Followers

Wednesday, January 13, 2010

Zulkifli sanggah Mr Netto

Saya merujuk kepada artikel yang ditulis oleh Mr. Nettoo yang disiarkan oleh media Malaysiakini semalam 11 Januari 2010 bertajuk "Anwar can no longer ignore the Zulkifli problem". Tulisan beliau menasihatkan DSAI supaya mengambil tindakan memaksa saya "bertaubat" dan menjadi "penyembah" kepada mereka, atau jika enggan, hendaklah dipecat daripada PKR.

Pada saya ini adalah rentetan dan kegelisahan dikalangan golongan anti-Islam yang melihat peluang mereka memperkudakan PKR untuk kepentingan sempit mereka terhalang kerana adanya pejuang yang bersedia berhadapan dengan karenah mereka tanpa khuatir dengan risiko yang dihadapi.

Saya ingin menegaskan kepada Mr. Nettoo dan yang sewaktu dengannya, saya bukannya jenis yang boleh diperas atau diugut dengan kedudukan, habuan atau jawatan. Buat pengetahuan Mr. Nettoo dan yang sewaktu dengannya, semasa semua rakan dan kawan lari bila DSAI dipecat, saya adalah antara orang yang kedepan bersama dengan beliau.

Saya hadapi risiko besar, karier guaman saya terjejas teruk, firma saya hampir tutup, saya dikenakan tahanan ISA, lokap menjadi rumah kedua saya, malah sehingga kini saya hidup dalam serba kekurangan. Dan kerana apa semua itu, kerana mempertahankan nilai kemanusiaan, membela yang dizalimi, dan memperjuangkan hak rakyat dan umat. Dan Islamlah yang mengajar dan mendidik saya untuk berjuang tanpa mengenal takut, mengharap habuan dan kedudukan.

Apakah Nettoo dan yang sewaktu dengan beliau fikir saya takut dan gentar dengan ugutan dipecat dari PKR?! Malah saya orang yang pertama menawar mengosongkan kerusi Parlimen Kulim Bandar Bharu untuk ditandingi oleh DSAI sebaik beliau layak bertanding, tetapi beliau menolak atas alasan yang beliau ketahui. Dan siapa yang sehingga hari ini terus mempertahankan DSAI termasuk dalam Parlimen? Malahan esok pagi saya akan ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur untuk terus membela dan mempertahankan beliau dalam kes pertuduhan qazaf Mohd. Saiful.

Dan saya tidak meminta walau satu sen habuan daripada perjuangan itu, sebagaimana saya dan rakan peguam lain tidak mengambil satu sen pun dari DSAI semasa membela beliau 12 tahun lepas. Dan semua itu saya lakukan atas nama Islam. Islam yang mengajar saya membela manusia yang dizalimi tidak kira siapa. Islam yang mendidik saya bahawa berkata yang haq dihadapan pemimpin yang zalim itu adalah jihad!

Cuma apa yang saya hairan, Mr. Nettoo memilih untuk memutar belitkan fakta dalam mengemukakan pendapatnya. Saya tidak berapa ambil kisah kalau pandangan beliau itu berdasarkan fakta yang benar, tetapi apabila beliau mengambil sikap memutarkan fakta, saya perlu mempertahankan perkara yang sebenar.

Pertama, beliau mendakwa saya menyatakan "Islam sedang diserang" atau "under siege" apabila Mahkamah membenarkan akhbar Herald menggunakan nama ALLAH sebagai gantinama "God" dalam istilah Kristian. Saya tidak pernah menyebut Islam sedang diserang.

Apa yang saya pertikaikan ialah keputusan Mahkamah itu adalah bercanggah dengan perlembagaan, terutamanya Artikel 3 dan Artikel 11. Malahan keputusan Mahkamah itu akan mendorong segelintir puak Kristian melakukan jenayah kerana penggunaan perkataan ALLAH dikesemua negeri (kecuali 4) adalah menjadi suatu kesalahan jenayah mengikut undang-undang.

Atas sebab itulah Paduka Sultan Selangor mengharamkan bukan Islam menggunakan perkataan ALLAH dalam negeri Selangor. Pandangan saya itu telah saya ulas dengan panjang lebar didalam blog zul4kulim.blogspot.

Saya pun sendiri tidak faham dengan segelintir puak-puak Kristian ini. Mereka berkeras mahu menggunakan perkataan ALLAH sebagai gantinama "god", sedangkan dalam Bahasa Melayu gantinama 'god' adalah "tuhan".

Apakah terjejas kepercayaan mereka jika mengguna perkataan "tuhan"? Bukankah Kristian Euro-Amerika sendiri menentang penggunaan nama ALLAH saperti yang berlaku di Belanda sekarang? Apakah Pope di Vatican bersetuju dengan tindak-tanduk mereka?

Sehingga ke hari ini saya belum mendengar sebarang komen daripada Pope mereka sendiri. Apakah mereka tidak menghormati pandangan Pope mereka?

Kedua Mr. Nettoo menyatakan saya tidak berkata apa-apa berkaitan pembakaran beberapa gereja beberapa hari ini. Ternyata Mr. Nettoo memilih untuk membutakan mata dan memekakkan telinga tentang fakta bahawa saya antara orang yang terawal melawat Gereja Terbanacle yang mengalami kerusakan serius.

Dan saya antara orang yang terawal mengecam tindakan pembakaran tersebut melalui kenyataan dalam blog saya. Tetapi orang seperti Mr. Nettoo bukan berminat kepada kebenaran, hanya pandangan perkauman dan chauvinist yang sempit bagi mengisi agenda kecil beliau!

Beliau juga mengungkit kejadian di program haram anjuran Majlis Peguam. Saya hadir dalam perhimpunan hari itu bersama ribuan umat Islam lain yang tidak puas hati dengan sikap chauvinist dan perkauman yang di amal oleh Majlis Peguam, yang sentiasa mengambil sikap anti Islam.

Saya bukan baru dengan Majlis Peguam, saya pernah menjadi ahli Exconya. Saya tahu sikap anti-Islam yang tebal dikalangan mereka. Mereka menyokong penubuhan IFC, mereka menuntut anak Melayu Azlina Jailani dibenarkan murtad dan banyak lagi sikap yang biadap terhadap Islam. Mereka berdegil mahu meneruskan forum membincangkan isu masuk Islam secara terbuka walaupun umat Islam dari segala lapisan, daripada pemandu teksi hingga ke Raja-Raja Melayu membantah.

Hinggakan DSAI dan Perdana Menteri sendiri menasihatkan mereka tidak meneruskannya, tetapi mereka dengan sikap ego dan bongkak mereka meneruskannya juga. Pada saya , Majlis Peguam adalah golongan yang bersikap tidak mengerti hidup bertamaddun dan tidak mengerti menghormati hak orang lain.

Mr. Nettoo juga mendakwa saya dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Disiplin PKR atas insiden itu. Saya tidak tahu siapa yang menyumbatkan berita palsu itu ke telinga Mr. Nettoo, tetapi apa yang saya tahu Jawatankuasa Disiplin tersebut tidak ada buat sebarang cadangan pun. Malahan isu itu tidak sempat sampai ke peringkat Lembaga Disiplin pun. Apa yang saya tahu, Pengerusi Lembaga Disiplin pada masa itu telah meletak jawatan dan keluar daripada PKR!

Mr. Nettoo juga mendesak supaya saya bertaubat dan memohon maaf secara terbuka dan menjadi penyembah puak-puak chauvinist ini. Dan "toe the party line!".

Pertama saya ingin menegaskan saya ini bukan penyembah manusia.

Kedua saya hanya akan "toe to the line of Islam". Kalau apa yang parti saya buat adalah selaras dengan Islam, saya akan menjadi orang pertama memperjuang dan mempertahankannya. Tetapi kalau apa yang parti saya lakukan adalah diluar daripada garis sempadan Islam, saya akan menjadi orang yang pertama menegurnya.

Dan apakah atas alasan itu Mr. Nettoo dan yang sewaktu dengannya mahu saya dipecat daripada PKR..?!!

Dan bagi pandangan yang dikemukakan oleh YB Sdr. Azmin Ali yang disiarkan oleh Malaysiakini, saya hanya ingin menyatakan bahawa saya tidak bercadang membuat sebarang ulasan kerana saya masih menghormati persahabatan dengan beliau. Beliau kenal saya siapa, beliau tahu pendirian saya, dan beliau tahu bagaimana saya sedia berkorban untuk seorang kawan.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
26 Muharram 1431
12 Januari 2010



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/