SharpShooter Followers

Tuesday, September 27, 2011

Tumpukan tuntutan BERSIH usah tertipu dengan isu umporno

Surat terbuka ini ditujukan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya pimpinan Pakatan Rakyat. Ingin saya tegaskan bahawa kesusahan, kekalutan, kegusaran sentiasa menyelubungi kita lantaran negara diurus tadbir dengan diselimuti kronisme, rasuah, penipuan dan sebagainya. Hasilnya adalah pembolotan kekayaan negara secara korup oleh kelompok-kelompok dan individu-individu tertentu dan rakyat semakin terhimpit lantaran nilai ringgit yang semakin kecil.

Meskipun rakyat semakin sedar dan cuba untuk melakukan perubahan, namun segalanya menjadi sia-sia apabila undi rakyat tidak menjadi penentu, tetapi yang menjadi penentu adalah pengundi-pengundi palsu (pengundi hantu, pengundi ‘clone’ dan sebagainya). Sebagai contoh yang mudah adalah pengguguran senarai pengundi yang berjaya didedahkan dan dibantah oleh PAS Selangor.

Kesedaran bagi mendesak untuk pembaikan terhadap pilihan raya yang bersih telah berjaya dimobilisasi oleh gabungan NGO dan didokong rakyat iaitu BERSIH. Namun malangnya kesedaran yang penting ini telah berjaya dipudarkan oleh Barisan Nasianal. Bagaimana? Jawapannya sangat senang, iaitu para pemikir BN akan mengalihkan isu ini kepada isu-isu lain agar rakyat tidak dapat lagi fokus. BN akan mengaturkan proksi-proksi mereka iaitu media arus perdana, NGO-NGO, mantan-mantan pimpinan BN, jabatan-jabatan dan pelbagai lagi agensi agar mengubah isu dan isu sebenar akan tenggelam bagi mamanjangkan hayat BN.

Bagaimana? Terdapat banyak cara yang diaturkan oleh pemikir-pemikir BN yang harus kita sedari agar kita tidak tertipu lagi, dan agar kita tidak tertari dan mengikut kehendak mereka. Antara rahsia mereka adalah:

1. Mencipta dan mempromosikan perkara yang membingungkan atau menyentak Pakatan Rakyat.

2. Menyibukkan rakyat dengan menimbulkan perkara menyusahkan rakyat.

3. Membuat pendedahan yang boleh melekakan Pakatan Rakyat.

4. Membangkitkan isu-isu perkauman atau polemik agama.

Mari kita perhatikan satu-persatu.

Setiap kali BN merasa mereka terancam dengan pendedahan (dalam hal ini, pilihanraya yang bersih), BN akan mencipta dan melontarkan gelaran-gelaran atau tuduhan-tuduhan bagi menjatuhkan Pakatan Rakyat. Tidak kiralah sama ada melabelkan Pakatan Rakyat sebagai pengganas, pelampau agama, pelampau bangsa, terpesong dari perjuangan asal bahkan mereka akan melakukan serangan-serangan peribadi. Akhirnya rakyat akan kebingungan dan pimpinan Pakatan Rakyat pula sibuk menjawab tuduhan yang dilemparkan. Maka tuntutan pilihan raya bersih akan ditenggelamkan.

Kedua, kerajaan BN akan menimbulkan isu yang akan menggusarkan rakyat, contohnya menaikkan cukai, menaikkan tarif, kenaikan harga minyak, tol dan sebagainya, sama ada akhirnya mereka akan berlagak hero menyelesaikan masalah tersebut atau mereka akan membiarkan rakyat terkapai-kapai menyelesaikan masalah ditimbulkan ini. Maka tuntutan pilihan raya bersih akan terkubur.

Ketiga, BN juga sanggup mewujudkan perkara-perkara yang menggembirakan Pakatan Rakyat bagi melekakan pendokong dan pimpinan Pakatan Rakyat. Contohnya, mereka akan berlakon bergaduh sesama sendiri. Bayangkan tiba-tiba Dr Mahathir dan Muhyiddin Yassin menyokong Hudud dan ada pula pimpinan lain yang menentang. Sedangkan selama ini pedulikah mereka? Bahkan mereka sanggup melakukan pendakwaan terhadap individu atau pimpinan-pimpinan mereka sendiri. Sebagai kesan, pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat akan bergembira dengan isu yang didentangkan dan sibuk menceritakan hal tersebut. Akhirnya tuntutan pilihan raya bersih akan terkubur.

Keempat, BN juga sanggup menimbulkan isu-isu perkauman, menimbulkan polimik antara agama, bahkan sanggup menimbulkan polemik dengan negara lain. Hal begini bukan baru, mereka sanggup menimbulkan polemik-polemik ini kerana mereka tahu apabila berlaku kekecohan atau rakyat rasa tidak selamat, rakyat akan menumpukan perhatian kepada isu-isu tersebut. Akhirnya tuntutan pilihan raya bersih akan terkubur.

Lantaran itulah, saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang menginginkan hidup yang lebih baik, agar menumpukan sepenuh perhatian dan menggembleng tenaga menuntut pilihan raya yang bersih. Seandainya terdapat isu-isu yang cuba ditimbulkan, janganlah kita mudah teralih arah.

Kepada pimpinan Pakatan Rakyat pula, apalah salahnya jika kita terus bekerja membela rakyat, namun jika ditanya mengenai isu-isu lain yang cuba dipolemikkan, jawabkan sahaja, “kita insya Allah mampu menyelesaikannya (apa jua isu) apabila kita memenangi pilihanraya dan menjadi kerajaan, syaratnya pilihanraya mestilah diadakan dengan bersih”. - Syarizal Maksir

Penulis adalah Yang Dipertua PAS Bintulu


Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai... Amizudin Ahmat (Din Binjai) http://sharpshooterblogger.blogspot.com/