SharpShooter Followers

Thursday, January 05, 2017

Saya tak mahu bersubahat dengan rasuah



*PENGAKUAN BEKAS PEGAWAI SPRM MEMPUNYAI MAKLUMAT PEMBERI DAN PENERIMA RASUAH: BERI PERLINDUNGAN PEMBERI MAKLUMAT UNTUK CARI KEBENARAN*

Pelbagai media telah melaporkan kenyataan Datuk Bahri Mohd Zin iaitu bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam yang menyebut bahawa beliau memilih bersara awal disebabkan kecewa dengan undang-undang yang hanya memerangkap pesalah kecil, manakala pesalah besar terlepas begitu sahaja.

Lebih mengejutkan lagi, beliau membuat pengakuan secara terbuka bahawa beliau mempunyai maklumat mengenai "semua pemberi rasuah dan pengambil rasuah".

Ini merupakan satu tuduhan berat terhadap SPRM seolah-olah SPRM tidak mampu memerangi rasuah dan seterusnya mencabar integriti pentadbiran Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak.

Merujuk kepada kes-kes rasuah, ketirisan, penyelewengan dan pembaziran yang begitu teruk pada tahun 2016 seperti yang dilaporkan melalui pendedahan-pendedahan skandal, Laporan Ketua Audit Negara atau Indeks Pembaziran Kerajaan NOW yang secara tidak langsung memberi asas memungkinkan ada kebenaran dalam pengakuan yang dibuat oleh Datuk Bahri.

Demi mencari kebenaran dalam usaha melawan rasuah dan membersihkan nama baik pentadbiran beliau, Dato' Seri Najib Razak seharusnya menerima pengakuan Datuk Bahri dengan hati terbuka dan mengambil tindakan yang berani iaitu:-

1. Mengiktiraf Datuk Bahri sebagai seorang pemberi maklumat. Ini termasuk memberi perlindungan kepada beliau seperti yang ditawarkan dalam Aktar Perlindungan Pemberi Maklumat (2012) bagi membolehkan beliau bercakap benar dan mendedahkan nama-nama pemberi rasuah dan penerima rasuah.

2. Bagi membolehkan Datuk Bahri membuktikan maklumat-maklumat beliau, Dato' Seri Najib perlu mengdeklasifikasikan (declassified) dokumen-dokumen berkaitan yang terletak dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

3. Individu-invididu yang dinamakan oleh Datuk Bahri sebagai pemberi rasuah atau penerima rasuah wajar dipanggil dan diberi ruang untuk membela diri secara terbuka. Ini boleh dilakukan dengan merujuk mereka kepada jawatankuasa khas Parlimen atau dengan membentuk Suruhanjaya khas bagi menyiasat maklumat yang didedahkan.

Ini merupakan peluang terbaik Dato' Seri Najib Razak untuk memulihkan integriti pendtabiran beliau dalam usaha melawan rasuah. Sekiranya pentadbiran beliau gagal mengambil tindakan yang sewajarnya susulan pengakuan Datuk Bahri, rakyat akan terus hilang kepercayaan terhadap usaha pentadbiran beliau melawan rasuah dan penyelewengan.

4 JANUARI 2017

AKMAL NASIR
Pengarah Eksekutif
*National Oversight and Whistleblowers (NOW)*