BIRO PENERANGAN
PARTI KEADILAN RAKYAT
KENYATAAN MEDIA
ISU TINDAKAN JAIS DI MAJLIS PERKAHWINAN DI SEBUAH KUIL
Petaling Jaya, Selangor, 4 Jun 2014. Sesungguhnya, KEADILAN memandang serius peristiwa yang baru yang saja berlaku di mana pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menahan seorang pengantin wanita yang sedang melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya, di sebuah kuil di Petaling Jaya pada 1 Jun 2014 yang lalu.
KEADILAN melihat bahawa, di dalam masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk sekian lama, konflik yang berlaku seperti ini, bukanlah yang pertamakali. Malah, ianya telah pun kerap berlaku berulang-ulang kali di masa silam - meskipun di dalam bentuk dan situasi yang berlainan.
Menyedari hal ini, adalah lebih bijaksana, jika kesemua pihak yang terlibat, bersikap realistik, matang dan tenang. Sebarang prejudis dan pelbagai kenyataan yang bersifat prasangka dan sensasi, hendaklah dihentikan. Justeru, lebih afdal, tradisi Melayu "Bagai menarik rambut dalam tepung, tepung jangan berselerak, rambut jangan putus" dijadikan asas tindakan.
KEADILAN berpendirian, untuk meleraikan hal-hal seperti ini secara tuntas dan jangka panjang, suatu mekanisme komunikasi yang berkesan berasaskan semangat muhibbah dan hormat-menghormati di kalangan rakyat Malaysia pelbagai agama, perlulah disuburkan. Tindakan segera yang bersifat terbuka, dengan mengadakan konsultasi dan dialog persefahaman, hendaklah digiatkan. Andai ada pihak yang dianggap melanggar peraturan dan undang-undang, biarlah pihak mahkamah yang memutuskan.
KEADILAN ingin mencadangkan agar JAIS mewujudkan sebuah unit khas, bagi mengenalpasti kelompok-kelompok berisiko tinggi (yang dibawah kuasa dan tanggungjawabnya), supaya bertindak secara proaktif dan awalan. Ini, bagi mengelakkan krisis seperti ini berulang lagi di masa hadapan. Malah, panduan-panduan berurusan (SOP) dengan pihak JAIS, secara mudah dan praktikal, perlu dijelaskan kepada semua – sama ada masyarakat Islam dan bukan Islam.
Bersamalah kita berdoa agar perkara ini dapat diselesaikan sebaiknya, demi kedamaian hidup beragama, keadilan dan kesejahteraan rakyat di Negara yang kita cintai ini.
Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan Keadilan
Sent from my BlackBerry 10 smartphone.