SharpShooter Followers

Friday, September 23, 2016

SURAT TERBUKA BUAT PERDANA MENTERI MALAYSIA DATO’ SERI NAJIB TUN ABDUL RAZAK


*KEMBALIKAN MARUAH RAKYAT TERENGGANU:*

*TUNTUTAN ROYALTI MINYAK & TELAGA MINYAK BERTAM 307*

*Ke hadapan Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak.*

*_Assalamualaikum Wmt. Wbt_,*

SAYA sentiasa mendokan Dato' Seri berada dalam keadaan sihat dan tenang. Semoga Datuk Seri dilimpahkan kerahmatan dan keberkatan daripada ALLAH SWT.

Warkah yang saya nukilkan kepada Dato' Seri ini di tengah-tengah keheningan kita baru menyambut detik kemerdekaan negara kita yang tercinta Malaysia. Semoga negara dan rakyat Malaysia juga sentiasa mendapat kerahmatan dan perlindungan dari Yang Maha Berkuasa.

*Y.A.B. Dato' Seri,*
Saya sebagai anak Terengganu warga Malaysia amat terpanggil untuk mengutuskan surat terbuka ini kepada Dato' Seri apabila saya membaca kenyataan resmi yang di keluarkan oleh YAB Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang telah mengadakan pertemuan dengan Dato' Seri bersama dengan CEO Petronas Datuk Wan Zulkifli Wan Ariffin beberapa hari yang lepas di pejabat Perdana Menteri di Puterajaya.

Pertemuan ini diadakan setelah Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan kerajaan negeri telah *_'membeku semua permohonan baharu permit kerja daripada kakitangan Petronas dari luar Sarawak khususnya Semenanjung'_* yang berkuat kuasa serta-merta.

Apa yang menarik perhatian saya adalah *7 rangka *'amicable agreements'* yang telah termeterai diantara Dato' Seri sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan pihak Petronas sendiri.

*Antaranya adalah;*

*1.*Perlantikan anak tempatan Sarawak sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas yang bakal diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

*2.* 192 jawatan kosong dalam syarikat itu pada masa sekarang akan diiklankan dalam akhbar tempatan dan diisi oleh rakyat Sarawak. Pihak Petronas perlu berunding  dengan kerajaan negeri jika anak tempatan tidak sesuai bagi pekerjaan tersebut.

*3.*Petronas juga akan menyediakan 50 tempat untuk anak Sarawak melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas, memberi latihan teknikal secara intensif dan mendaftar lebih kemasukan untuk rakyat negeri ini di pusat latihan syarikat itu di seluruh negara.

*4.*Petronas juga komited menyokong 2 industri Petrokimia yang kini di peringkat akhir rundingan serta menyokong industri Petrokimia dan hiliran lain secara *'Joint Study'* dengan kerajaan negeri Sarawak.

*5.*Petronas bersama Kerajaan Pusat akan mempertimbangkan hasrat kerajaan Sarawak untuk terlibat dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi manfaat negeri

*6.*Menerima pelan kerja Petronas untuk meningkatkan jumlah pekerja dalam kalangan anak Sarawak dalam bahagian pengurusan, pengurus, eksekutif dan bukan eksekutif menjelang 2020. Ianya adalah seperti berikut;

*Management* - dari 33% kepada 60%
*Manager* – dari 41% kepada 60%
*Executive* – dari  48% kepada 75%
*Non-executive* – dari 65% kepada 95%

*7.*Tuntutan kerajaan negeri Sarawak memohon royalti minyak dinaikkan daripada 5 kepada 20 peratus, Perkara tersebut akan dibincangkan kemudian.

*Y.A.B. Dato' Seri;*
Syabas saya ucapkan kepada Ketua Menteri Sarawak serta seluruh rakyat Sarawak. Namun setelah meneliti terma '7 amicable agreements' ini, saya sebagai anak Terengganu merasa amat tercabar dengan perkembangan terbaru ini.

*Y.A.B. Dato' Seri;*
Namun berbanding dengan negeri Sarawak, kami di Negeri Terengganu kini telah kehilangan segala hak kami! Kebanyakan rakyat Terengganu pula terpaksa berhadapan dengan kekangan kehidupan yang amat perit sedangkan negeri Terengganu merupakan negeri pengeluar minyak dan pernah dikenali sebagai *'Kuwait Malaysia'.*

Kemelut ekonomi Terengganu juga sedang membelit seluruh kehidupan rakyat sehingga ke pundaknya. Rakyat Terengganu khususnya anak muda ramai tiada sumber pekerjaan yang tetap termasuk mahasiswa yang kini menjadi penganggur.

Untuk makluman Dato Seri, bermula *dari tahun 1978 di bawah fasal 2 'Perjanjian Royalti'* seperti yang telah di persetujui oleh semua pihak, Kerajaaan negeri Terengganu telah menerima bayaran royalti dengan bayaran sulungnya sebanyak RM$5.7 juta dari pihak Petronas.

Perjanjian ini adalah sebagaimana dikehendaki oleh *Akta Kemajuan Petrolium 1974,* yang telah di luluskan oleh kerajaan pimpinan ayahnda Dato' Seri, yang dikasihi *Al-Marhum Tun Abdul Razak bin Husin di Dewan Parlimen pada 15hb. Nov. 1974.* Al-Marhum menegaskan bahawa;

*_"Mengikut perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerimaa 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh Petronas atau ejensi-ejensi ataaupun kontraktor-kontraktornya."_*

*Y.A.B. Dato' Seri;*
Malangnya, pembayaran Wang Royalti secara tunai kepada kerajaan Terengganu menurut perjanjian Akta Kemajuan Petrolium 1974, telah dimansuhkan pada *5hb Sept. 2000* dan digantikan dengan *'Wang Ehsan'* yang dikendalikan terus oleh Kerajaan Pusat.

Lebih malang lagi pihak Petronas juga memaklumkan secara resmi pada *25 September 2015* bahawa;
*_"Pihak Petronas tidak lagi terikat secara undang-undang untuk membuat sebarang bayaran tunai kepada negeri Terengganu di bawah Perjanjian Pembayaran yang ditandatangani Petronas dengan kerajaan Terengganu"._*

Ini berdasarkan terma *'di dalam negeri'*  bahawa; 
*_'kerajaan negeri Terengganu tidak lagi berhak menuntut hasil Wang Royalti kerana segala penemuan telaga minyak adalah di luar 3 batu nautika yang di ukur dari garis air surut persisiran pantai negeri"._*

Menurut tafsiran diatas, *_'kerajaan Terengganu kini tidak mempunyai sebarang hak atas apa jua tuntutan hasil minyak & gas yang terletak diperairan negeri.'_*    

Semua telaga minyak yang ditemui selama ini dan terletak di perairan Terengganu *bukan lagi menjadi milik 'sah' kerajaan Terengganu* kerana kedudukannya di luar daripada *3 batu nautika.*

*Y.A.B. Dato' Seri;*
Negeri Terengganu telah meyumbangkan hasil minyak & gas kepada Kerajaan Persekutuan sejak hampir 40 tahun dengan pengeluaran hasil minyak dan gas bernilai ratusan bilion ringgit bagi sama-sama membangunkan ekonomi Negara kita tercinta. Hal ini dilakukan oleh kerajaan negeri dengan penuh beramanah mengambil semangat perjanjian bersama yang telah di tandatangani pada tahun 1975.

Namun, apakah wajar Royalti sebanyak 5% yang di terima oleh kerajaan Terengganu sejak dari tahun 1978 kini terbatal sepenuhnya dan hanya dianggap sebagai *'Ihsan'* dan *'dana khas'* dari Kerajaan Persekutuan?

Sedemikian apakah wajar perjanjian royalti minyak diantara kerajaan negeri Terengganu bersama dengan Kerajaan Persekutuan dan Petronas yang ditandatangani sejak tahun 1975 lagi juga sudah di anggap sebagai terbatal?

Lebih malang lagi, *Telaga Minyak BERTAM BLOK PM 307* yang di temui dan sah terletak diperairan negeri Terengganu baru-baru ini kini di'serah' sepenuhnya kepada kerajaan negeri Pahang.

Malah, *Syarikat Lundin Oil* yang merupakan syarikat carigali yang berpengkalan di Sweden yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan dengan kerjasama Petronas Carigali telah mengesahkan bahawa Bertam blok PM 307 ini terletak di perairan negeri Terengganu.

*Y.A.B. Dato' Seri;*
Dimanakah kami sebagai rakyat Terengganu mau meletakkan *'maruah'* dan *'harga diri'* kami sebagai rakyat Malaysia jika kami boleh diperlakukan sedemikian rupa?

Apakah negeri Terengganu *'tidak berdaulat'* seperti juga negeri Sarawak yang kini mendapat segala hak mereka?

*Y.A.B. Dato' Seri;*
Saya sebagai anak Terengganu ingin menegaskan kepada Dato' Seri sebagai Perdana Menteri agar mengkaji kembali kedudukan yang berlaku kepada kami di negeri Terengganu ini. Kita sama-sama mengamalkan sistem Federalism yang menjadi asas penubuhan  Malaysia yang mana negeri Terenngganu adalah sebahagian daripadanya.


*Y.A.B. Dato' Seri;*
Adalah wajar dengan perkembangan terbaru ini, negeri Terengganu juga di berikan 'amicable agreements' sepertimana yang telah termeterai antara Dato' Seri sebagai Perdana Menteri Malaysia, Petronas dan kerajaan negeri Sarawak.

*Saya mewakili seluruh warga dan rakyat Terengganu *menuntut 10 perkara asas 'amicable agreements' agar dapat dipersetujui dengan kerajaan negeri Terengganu;*

*1.*  *Mengembalikan Royalti Minyak kepada kerajaan Terengganu* bersesuaian dengan perjanjian asal di bawah Fasal 2 Perjanjian Royalti yang telah ditandatangani diantara kerajaan negeri Terengganu, Kerajaan Persekutuan dan Petronas pada tahun 1975.

*2.*  *Melantik anak tempatan Terengganu sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas* seperti yang dipersetujui dengan kerajaan Sarawak.

*3.*Mengisi sebarang jawatan kosong yang berlaku dalam syarikat itu khususnya di negeri Terengganu pada masa sekarang perlu diiklankan dalam akhbar tempatan dan *diisi oleh rakyat Terengganu.* Pihak Petronas juga perlu berunding  dengan kerajaan negeri jika anak tempatan tidak sesuai bagi pekerjaan tersebut.

*4.*Petronas juga perlu menyediakan sekurang-kurangnya *100 tempat untuk anak Terengganu bagi melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas* setiap tahun. Juga memberi latihan teknikal secara intensif dan mendaftar lebih kemasukan untuk rakyat negeri ini di pusat latihan syarikat itu di seluruh negara.

*5.* Petronas juga perlu komited menyokong sebarang pembangunan industri Petrokimia serta menyokong industri Petrokimia dan hiliran lain secara *'Joint Study'* dengan mana-mana syarikat tempatan Terengganu serta kerajaan negeri Terengganu.

*6.*Petronas bersama Kerajaan Pusat juga perlu mempertimbangkan sekiranya kerajaan Terengganu berminat untuk terlibat dalam *Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC)* bagi manfaat negeri ini.

*7.*Mengkaji pelan kerja Petronas untuk *meningkatkan jumlah pekerja dalam kalangan anak Terengganu* dalam bahagian pengurusan, pengurus, eksekutif dan bukan eksekutif menjelang 2020.

*8.*Mengembalikan kesemua *Wang Royalti Terengganu yang berjumlah RM1.5 bilion* yang telah digunakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk perlaksanaan beberapa projek pembangunan di negeri lain.

*9.*Mengembalikan hak *Telaga Minyak Bertam Blok 307* kepada kerajaan negeri Terengganu yang kini 'diserahkan' kepada negeri Pahang dengan kadar segera.

*10.*Mengkaji tuntutan agar kerajaan negeri Terengganu juga dipertimbangkan permohonan royalti minyak dinaikkan *daripada 5 kepada 20 peratus.* Perkara ini juga boleh dibincangkan bersama dengan kerajaan negeri Sarawak kemudian.

*Y.A.B. Dato' Seri;*
Negeri Terengganu kini seolah-olah berhadapan di medan perang tanpa pejuang dan perajuritnya mati tanpa kuburan. Siapa lagi yang kita harapkan boleh membela kehidupan rakyat seluruhnya terutama golongan marhaen kecuali seorang pemimpin yang merdeka jiwanya, denyut nadinya adalah jiwa rakyat jelata yang perlu dibela!

*Y.A.B. Dato' Seri;*
Sekali lagi saya sebagai anak Terengganu memohon dengan jari sepuluh kepada Dato' Seri' agar tuntutan yang mewakili seluruh rakyat Terengganu tanpa mengira apa jua fahaman politik serta kaum ini ditunaikan dengan kadar segara.

Kami juga anak Malaysia seperti rakyat Sarawak; kami juga cintakan negeri dan negara ini.

Kami mendesak agar hak dan maruah kami sebagai rakyat Terengganu terbela dan diberikan perhatian segera.

*_Sekian Wassallam._*

*_Dr. Syed Azman Syed Ahmad, Adun Batu Burok, Terengganu Darul Iman_*

*_Mewakili Rakyat Terengganu Darul Iman_*

*'PERTAHANKAN HAK & MARUAH RAKYAT TERENGGANU'*

*23hb. Sept. 2016*