SharpShooter Followers

Sunday, January 31, 2010

Sebulan tentukan nasib THREE STOOGES

Jawatankuasa disiplin PKR menetapkan tempoh selama sebulan untuk meneliti tindakan yang akan diambil ke atas dua orang wakil rakyatnya - Zulkifli Noordin (Kulim) dan Datuk Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru).

Ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mengulas tempoh yang panjang itu bagaimanapun berkata, ia tidak bermaksud parti itu tidak serius dalam menangani tindakan wakil berkenaan.

Jelasnya, PKR membantah tindakan Zahrain menyerang ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dilihat sebagai satu perbuatan yang keterlaluan.

Tambahnya, jawatankuasa disiplin telah pun mengadakan mesyuarat pertama bagi meneliti perkara itu.

"Kita dengar pandangan (dalam mesyuarat) supaya parti ambil tindakan keras dan segera. Tapi kita dalam PKR dan Pakatan Rakyat mesti tunduk kepada peraturan dan perlembagaan parti.

"Juga kita perlu beri peluang kepada orang itu untuk bela dirinya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR di Tropicana Golf and Country Resort, Petaling Jaya hari ini.

Zahrain yang bertindak menyerang Lim sebagai seorang pemimpin "diktator, cauvinis, befikiran komunis" antaranya kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian kontrak kerajaan Pulau Pinang kepada bumiputera.

"Ia bukan masalah kritikan. Kita memang beri ruang untuk kritik, tapi bila serang Lim Guan Eng sebagai cauvinis, komunis dan diktator, itu tidak betul.

Tambahnya, majoriti daripada kontrak secara tender terbuka daripada kerajaan negeri itu disalurkan kepada golongan bumiputera

"Ada benda yang kita tidak setuju, tapi dia ketua menteri, dia yang putuskan," katanya lagi.

Selain Zahrain dan Zulkifli, turut disiasat ialah ahli pimpinan tertinggi parti itu Datuk Zaid Ibrahim yang menyelar tindakan Zulkifli.

"Ada juga yang serang Datuk Seri Zaid Ibrahim kerana tidak tegas dan jawatankuasa disiplin juga sedang teliti kenyataan beliau (Zaid)," katanya lagi.

Bercakap dalam satu lagi sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat petang ini, Anwar berkata, pemimpin PKR telah diarahkan untuk memberi sokongan padu kepada Lim Guan Eng.

"Saya bagi pihak PKR telah memberi penjelasan (dalam mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat) bersabit dengan kenyataan dan tindakan Zulkifli Nordin membuat laporan polis terhadap ahli parlimen PAS Khalid Samad.

"Pimpinan Pakatan Rakyat memandang berat dan tidak bersetuju dengan laporan polis berkenaan dan juga minta kes itu dirujuk dengan kadar segera kepada jawatankuasa disiplin," katanya dalam sidang media tersebut, yang turut dihadiri presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan juga penasihat DAP Lim Kit Siang.

Anwar dalam pada itu turut menyeru supaya jawatankuasa tatatertib Pakatan menyegerakan perjumpaan bagi memastikan kerjasama di semua peringkat pakatan itu berjalan dengan baik.

Dalam sidang media yang sama, Hadi kemudiannya berkata isu melibatkan Zulkifli dan Khalid itu kini dianggap selesai apabila Zulkifli dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti.

Menurutnya, perbezaan pendapat merupakan perkara biasa namun, dan menambah bahawa "yang penting adalah kesefahaman."

Kit Siang pula berkata, DAP juga akan terus bekerjasama dalam Pakatan Rakyat.

"Kami menghormati sepenuhnya hak PKR untuk mengambil tindakan sewajarnya (ke atas Zahrain dan Zulkifli)," katanya.

Sebelum itu, Anwar juga memberitahu bahawa sambutan dua tahun penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat akan diadakan di Pulau Pinang pada 10 Mac ini.

Sambutan tahun pertama penubuhannya telah diadakan di Selangor tahun lalu.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/