Tarikh: 8 Januari 2010
Saya mengecam tindakan pihak tertentu yang menyerang beberapa gereja di sekitar Lembah Klang. Serangan keji sedemikian merupakan satu tindakan yang dikecam keras Al-Quran. Agama Islam jelas menggesa umatnya untuk menghormati rumah peribadatan penganut agama lain.
Sehingga kini saya difahamkan sebanyak tiga gereja dijadikan sasaran serangan. Manakala itu aras bawah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati telah hangus terbakar akibat dari siri serangan tersebut. Saya menyatakan rasa syukur kerana serangan tersebut tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Saya menyeru semua pihak agar bertenang dan jangan sesekali terjerumus ke dalam api kebencian. Sebarang tindakan tidak boleh sama sekali didasari politik perkauman sempit. Saya mempunyai keyakinan kita rakyat Malaysia akan menyelesaikan isu ini tanpa diiringi sebarang konflik. Insha-Allah usaha kita untuk mengekalkan keamanan diberkati jua.
ANWAR IBRAHIM
Pemuda PAS Pusat kesal dengan insiden provokasi pembakaran beberapa buah gereja yang akan menambah kekusutan dan akan menyulitkan lagi penyelesaian isu ini.
Islam sebagai agama yang adil mengajar kita duduk semeja berdialog dan berdiplomasi dalam menyelesaikan isu yang kita hadapi.Islam dengan jelas melarang keras umatnya memusnahkan rumah ibadat agama-agama lain dan Islam sangat menghormati kebebasan beragama di dalam masyarakat.
Justeru itu tindakan menyerang gereja di dalam isu ini, adalah tindakan yang tidak selari dengan Islam dan Pemuda PAS sangat tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.
HAJI NASRUDDIN HASSAN AT-TANTAWI
KETUA
Dewan Pemuda PAS Pusat
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/