SharpShooter Followers

Friday, December 26, 2014

Semua BATAL... insafi bencana banjir...

‎Kenyataan Bersama Gabungan Penganjur Himpunan Tuntut Harga Minyak RM 1.90

HMPUNAN TUNTUT HARGA MINYAK RM1.90 DITANGGUHKAN

26 Disember 2014

1. Negara sedang mengalami bencana alam yang sangat serius. Sehingga hari ini, dilaporkan 90000 mangsa banjir di 5 buah negeri telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

2. TNB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa 1299 pencawang elektrik telah ditutup buat sementara waktu. 

3. Apa yang lebih membimbangkan, jalan darat yang menghubungkan pantai timur dan pantai barat juga hampir terputus

4. Sehubungan itu, pihak jawatankuasa penganjur Himpunan Tuntut Haarga Minyak RM1.90 memutuskan untuk menangguhkan himpunan kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Walau bagaimanapun, kami menagih janji yang telah dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan yang menyebut bahawa harga minyak akan turun di bawah RM 2.00 pada 1 Januari 2015. Sekiranya harga ron95 tidak diturunkan sehingga RM 1.90, kami tidak teragak-agak untuk melancarkan bantahan besar-besaran nanti.

5. Kami juga menuntut supaya semua sambutan ambang tahun baru dibatalkan sebagai tanda solidariti kepada mangsa banjir.

6. Oleh itu kami menggesa agar sambutan tahun baru di putrajaya yang melibatkan konsert dengan kos RM 3 juta turut dibatalkan. Juga Malam Cinta Rasul yang dianjurkan di Dataran Merdeka serta sambutan-sambutan di peringkat kerajaan negeri.

7. Bencana banjir yang berlaku ini harus diinsafi semua pihak. kita semua harus lebih sensitif dengan nasib yang menimpa semua mangsa banjir. Perdana Menteri dan seluruh anggota kabinet perlu turun padang bagi memastikan kebajikan seluruh mangsa banjir terbela.

8. Kami menyeru semua pihak menghentikan sentimen politik kepartian juga polemik politik yang tak berkesudahan tatkala negara dilanda musibah.

9) Kami peringkat NGO / aktivis / parti politik yang terlibat di dalam penganjuran himpunan ini sudah pun menggerakkan operasi membantu mangsa banjir di seluruh negara. Kami juga menyeru kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam menghadapi krisis banjir hari ini.

Terima kasih.

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Selangor lulus sejuta bantu mangsa banjir

Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Khas yang bermesyuarat pada pagi ini telah mengambil maklum situasi banjir di Pantai Timur Semenanjung Malaysia khususnya di Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan juga Negeri Perak. Sehingga malam semalam, dilaporkan seramai  98,596 orang daripada 25,725 keluarga telah dipindahkan ke 1,078 buah Pusat Pemindahan Banjir ; 35,331 orang daripada 9,918 keluarga di Kelantan, 29,604 daripada 7,317 keluarga di Terengganu 28,578 daripada 7,244 keluarga di Pahang dan 5,083 orang daripada 1,246 keluarga di Perak.
 
Kerajaan dan rakyat Negeri Selangor amat bersimpati dengan mangsa – mangsa banjir dan keluarga masing – masing yang menanggung kesusahan dan mengalami kerosakan harta benda akibat bencana banjir yang disifatkan paling buruk dalam tempoh 43 tahun.

Kami memohon doa ke hadrat Allah SWT agar cuaca bertambah baik dalam masa terdekat dan semua yang terkesan dengan bencana ini berada dalam keadaan selamat. Kami juga memohon semoga rakyat di Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak bersabar dan tabah menghadapi musibah dan agar keselamatan dan kesejahteraan rakyat  terus dilindungi dan dipelihara Allah SWT.
 
Saya telah berbincang dengan YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Ekonomi Negeri Selangor bagi meneliti langkah – langkah yang perlu diambil dalam membantu negeri – negeri yang terlibat.
 
Saya juga telah menghubungi YB Datuk Paduka Husam Musa bagi menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk bersama – sama Kerajaan Negeri Kelantan dalam situasi yang getir pada masa ini.
 
Sebagai tanda simpati Kerajaan Negeri Selangor, MMKN telah meluluskan sejumlah RM 1 juta untuk Kerajaan Negeri Kelantan ; RM 100 ribu masing – masing untuk Kerajaan Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Perak.
 
Kerajaan Negeri Selangor juga menyediakan peruntukan RM 200 ribu bagi Misi Bantuan Kemanusiaan yang akan diselaraskan oleh YB Dr. Daroyah Alwi, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga melalui Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (PANTAS) yang akan turun bagi memberi khidmat bantuan dan khidmat kemanusiaan.
 
Untuk program pasca bencana banjir, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk memberikan khidmat kerja – kerja pembersihan kawasan banjir dengan penglibatan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor.
 
Seluruh jentera PBT Negeri Selangor akan diturunkan untuk kerja – kerja pembersihan sebaik sahaja air semakin surut bagi tujuan pembersihan sampah sarap dan sisa pepejal akibat banjir bagi menjamin kebersihan dan keselamatan rakyat.
 
Kerajaan Negeri Selangor juga akan mendapatkan sokongan kewangan daripada anak – anak syarikat, syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri dan syarikat – syarikat swasta di Negeri Selangor untuk membantu menyediakan peralatan persekolahan termasuk pemberian beg sekolah dan pakaian seragam untuk pelajar – pelajar Sekolah Rendah dan Menengah.
 
Delegasi Kerajaan Negeri Selangor akan turun ke Negeri Kelantan pada hari ini juga untuk menyampaikan bantuan disamping mengunjungi Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Kuala Krai dan beberapa daerah lain.
 
MMKN juga telah mengambil keputusan untuk membatalkan semua acara hiburan dan program Temasya Selangor 15 menjelang Tahun Baru 2015 sebagai tanda kasih dan simpati kepada semua rakyat yang mengalami bencana banjir dan menjimatkan perbelanjaan Kerajaan Negeri Selangor.
 
Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk membatalkan program Jom Heboh anjuran TV3 yang dijadualkan pada 27 dan 28 Disember 2014 di I – City, Shah Alam atas prinsip yang sama.
 
Kerajaan Negeri Selangor menggesa agar Kerajaan Persekutuan meluluskan geran bantuan bencana alam secepat mungkin bagi membantu kerajaan – kerajaan negeri mengatasi bencana banjir serta meringankan beban yang dialami rakyat dalam tempoh yang getir ini.
 
Kerajaan Negeri Selangor juga telah berbincang dengan JAIS supaya semua masjid di Negeri Selangor mengadakan solat hajat sejurus solat Jumaat bagi memohon pertolongan Allah SWT agar kesejahteraan dan keselamatan rakyat di Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak terus dilindungi dan dipelihara.

MOHAMED AZMIN ALI‎

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Monday, December 22, 2014

Keadilan mengutuk waran tangkap ke atas Yusuf Al-Qaradawi


Kenyataan Akhbar BiPPA 
Mengenai Waran Tangkap INTERPOL Ke atas Syaikh Yusuf al-Qaradawi


Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA), Parti Keadilan Rakyat  mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Interpol untuk menangkap Syaikh Yusuf al-Qaradawi semata-mata kerana mengikut arahan rejim diktator al-Sisi di Mesir. Perbuatan sedemikian adalah bercanggah dengan prinsip demokrasi serta menyinggung perasaan umat Islam di seluruh dunia. 

Syaikh Yusuf al-Qardawi sangat besar sumbangannya kepada dunia Islam. Interpol tidak sewajarnya menerima arahan al-Sisi kerana pemerintahannya adalah zalim.  Syaikh Yusuf al-Qaradawi dalam sejarah hidupannya sebagai seorang ilmuan dan da'i ternama sangat iltizam dengan pemikiran wasatiyyah (sederhana) dan sentiasa memupuk hubungan baik antara penganut-penganut Islam dan bukan Islam. 
 
Justeru, BiPPA KEADILAN menyeru kepada Kerajaan Malaysia supaya segera mengambil inisiatif tegas bersama dengan beberapa buah Kerajaan di dunia Islam untuk meminta rejim al-Sisi menarik balik tindakan menyeneraikan al-Qaradawi sebagai seorang pengganas dan menyerahkan kepada Interpol.   Selanjutnya, OIC sebagai sebuah badan penting di dunia Islam seharusnya berperanan bersama lain-lain NGO di seluruh dunia, mencari jalan terbaik bagi  menyelamatkan Syaikh al Qaradawi dari penginayaan dan penghinaan ke atas dirinya.

Dr Muhammad Nur Manuty
Pengerusi 
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA)
Parti Keadilan Rakyat
22hb Disember, 2014  

Email: dr_manuty@hotmail.com
Tel: 019 - 3328302‎
Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Monday, December 15, 2014

Petisyen tindakan terhadap Mahasiswa UM


MAKLUMAN MEDIA

Harap maklum bahawa YB Nurul Izzah, YB Rafizi Ramli, YB Dr Hatta Ramli dan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan menyerahkan petisyen berkaitan tindakan terhadap mahasiswa UM8 pada

Tarikh: 16 Disember 2014 (SELASA)
Waktu: 11.30 pagi
Tempat: Canselori, Universiti Malaya

Rakan-rakan media dijemput membuat liputan.

Sekian, terima kasih.

/ Komunikasi KEADILAN

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

SANTAI BOWLING MUAFAKAT JINGGA13 DI OLE2, SHAH ALAM

Jingga13 Malaysia telah mengadakan program Santai Bowling Muafakat Jingga13 di Ole2, Seksyen 18, Shah Alam, Selangor ya disertai hampir 30 orang komrad Jingga 13 pada 14 Disember 2014.

Program ini diadakan bagi mengeratkan lagi muafakat antara komrad Jingga13 yang sebelum ini sibuk dengan isu-isu Politik dan keprihatinan kepada rakyat.

Jingga13 Malaysia merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan bagi menjayakan program ini khususnya YB Tuan Haji Dr Yaakob Sapari , Ahli Penasihat Jingga13 merangkap ADUN Kota Anggerik , YB Khalid Samad , MP Shah Alam, Sdr Hisham Sahrin , Ahli Majlis MBSA dan orang-orang perseorangan yang telah membantu menjayakan program ini.

Saturday, December 13, 2014

Kansel 1MDM menunggu pecah...

Barah 1MDB menunggu Pecah

1MDB sebagai satu skandal terbesar era Najib dan katalis kejatuhan Najib nampaknya kian menjadi kenyataan.

Laporan polis oleh salah seorang pemimpin UMNO bahagian sendiri dan kabinet turut membincangkan isu ini semasa ketiadaan Najib, adalah perkembangan baru bakal membawa impak yang besar.

Timbalan Ketua UMNO Batu Kawan, Pulau Pinang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam laporan polisnya, antara lain memohon siasatan dijalankan mengenai;

a. Pembelian tanah seluas  234 ekar di  Air Itam, Pulau Pinang pada harga  RM1.38 billion, yang dikatakan melebihi harga pasaran semasa (dari dua pemilik)

b. Pelaburan misteri sebesar US$1.2 billion dalam sebuah syarikat dikenali  PetroSaudi International Ltd.


c. Pembelian sebidang tanah dari syarikat  Tadman Resources Bhd di Pulau Indah dengan harga  RM317 million

d. Pembayaran bunga pinjaman yang lebih tingi dari kadar pasaran

e. Pembayaran yuran kepada   Goldman Sachs International yang dikira berlebihan


f. Pembelian aset janakuasa IPP seperti  Powertek Energy dan  Sanyen Power Sdn Bhd pada harga yang lebih mahal dari harga pasaran

g. Pelaburan misteri di Pulau Cayman

Rabu lalu, ketika kabinet bersidang tanpa PM yang berada di luar negara, seorang Menteri dilaporkan membangkitkan isu 1MDB . Kabinet yang dipengerusikan oleh Muhyidin selaku TPM, telah mengambil kesempatan membincangkan isu ini.

Ia sudah tentu akan diminitkan dan sekembalinya Najib nanti, beliau pasti akan membaca minit tersebut untuk pengesahan mesyuarat kabinet akan datang. Apa reaksi beliau dalam mesyuarat akan datang?

Mengapa menteri berkenaan berani membangkitkan atau berani mengambil kesempatan ketika ketiadaan PM?

Bagaimana pula perbincangan sulit kabinet mengenai isu ini boleh sampai kepada media?

Tentulah dengan niat yang tertentu.

Tidakkah Najib mula terasa panasnya bahang 1MDB dengan tindakan-tindakan  baru ini?

Sama juga dengan keberanian tiba-tiba seorang pemimpin UMNO Bahagian. Bukankah menjelang PAU baru-baru ini, Presiden parti telah mengadakan perjumpaan dengan semua perwakilan dan memberikan penjelasan mengenai 1MDB?

Tidakkah dua perkembangan ini - laporan polis oleh pemimpin UMNO Bahagian dan perbincangan kabinet  terjadi serentak?

Terlepas dari apa jua pertimbagan politik pihak-pihak yang terlibat, rakyat negara ini secara keseluruhannya mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan yang terang  tidak lain dari PM sendiri mengenai isu ini.

Samada polis berani menyiasat bos tertinggi negara ini atau tidak adalah isu yang lain. Ini adalah ujian terbesar Datuk Zahid selaku Menteri Dalam Negeri. 

Beranikah beliau membenarkan polis bertindak profesional dalam isu ini?

Namun, dari dua perkembangan terbaru ini, Najib mestilah berani memberikan penjelasan terbuka.

Siapa pemilik tanah di Pulau Pinang yang dibeli dengan harga (95% lebih mahal?) oleh 1MDB, misalnya.

Isu 1MDB melibatkan jumlah kewangan yang sangat besar. Mewajarkan PM bersikap telus.

Misalnya, bagi tahun kewangan sehingga Mac tahun ini, 1MDB mencatat kerugian sebesar RM 665.3 juta dengan hutang sebesar RM 49.1 billion. Sekalipun 1MDB dikatakan mempunyai aset sebesar RM 51.4 billion, tetapi jumlah aset di atas kertas ini kelihatan lebih besar dengan menggunakan penilaian yang lebih tinggi.

Apa lagi, seperti ditulis oleh TS A Kadir Jasin dalam blognya bahawa 1MDB telah pun memohon dan mendapat kelulusan dari  Bank Negara untuk memanjangkan tempoh bagi hutang tak berbayar (non performing loan) dari tiga bulan kepada enam bulan.

Jika ini benar, memang 1MDB sudah mengerang kesakitan walaupun usianya sangat muda. 

Najib bukan sahaja perlu memberikan penjelasan terbuka terhadap semua isu yang dibangkitkan berkait dengan 1MDB, tetapi juga bersedia memberikan penjelasan dalam siri-siri berikutnya apabila pertanyaan lanjutan dikemukakan nanti.

Lazimnya, sebuah Kertas Putih perlu dibentangkan kepada Kabinet dan seterusnya kepada Parlimen.

Sepanjang menuju penjelasan terbuka itu, saya percaya, pengkritik utama Najib seperti Tun M, sudah pun mempunyai jerangkap samar untuk meletupkan survival politik Najib sebelum PRU yang akan datang.

Husam Musa 

13 Disember 2014‎

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Friday, December 12, 2014

Luahan hati Chedet dan Nik Aziz

Saya membaca luahan hati Tun Mahathir berhubung perlantikan warga asing untuk menerajui MAS. Kata Tun M, itu penghinaan terhadap rakyat Malaysia, seolah-olah rakyat Malaysia tiada yang cerdik dan berkelayakan untuk menjawat jawatan tersebut.

Saya sokong Tun M dalam hal ini. Cuma saya ingin menambah, Tun M baru sedarkah bahawa kita telah berkiblatkan Barat sekian lama dalam urusan bernegara? Jika kita boleh kecil hati kerana warga kita diketepikan dan warga Barat diagungkan, tidak berhakkah Allah juga 'kecil hati' apabila undang-undangNya diketepikan dan undang-undang ciptaan manusia didaulatkan? 

Sayangnya, berpuluh-puluh tahun Tun M menjadi PM pun tidak diambil kesempatan untuk mendaulatkan undang-undang Allah SWT - Tuan Guru Nik Abdul Aziz


Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Wednesday, December 10, 2014

Malaysia Perlu Lebih Ramai Fahmi Zainol

Tindakan Universiti Malaya menggantung Fahmi Zainol selama dua semester dan didenda RM600 dan menggantung Safwan Shamsuddin selama satu semesta dan didenda RM300 selain daripada tindakan disiplin ke atas beberapa orang mahasiswa berkait program "40 Tahun Dari UM ke Penjara" membuka mata rakyat Malaysia kepada krisis pentadbiran institusi pendidikan tinggi di negara ini.

Tindakan ke atas mahasiswa-mahasiswa ini wajar dikecam seluruh rakyat Malaysia dan para mahasiswa khususnya, kerana ia menjadi bukti para pentadbir universiti tidak menghormati hak asasi mahasiswa untuk berkumpul dan bersuara, malah menidakkan kebolehan mahasiswa untuk berfikir dan bertindak dengan matang.

Saya cukup kesal kerana dengan tindakan ini para pentadbir UM seakan mahu mahasiswa hidup di bawah tempurung, tidak berinteraksi dengan masyarakat dan realiti sosio-politik semasa dan hanya menjadi pak turut robotik dengan mengiakan apa sahaja yang diarah pemerintah, walaupun ianya salah atau zalim.

Adakah budaya fobia pentadbir ini mampu melahirkan rakyat Malaysia yang berupaya menghadapi cabaran dan krisis di peringkat antarabangsa? 

Adakah tindakan disiplin ini menyampaikan mesej yang baik kepada dunia akademik, bahawa institusi pengajian tinggi tertua di Malaysia begitu lemah dan takut akan mahasiswa sehingga ia tidak berani memberi ruang untuk pertentangan idea yang sihat?

Malaysia perlukan lebih ramai Fahmi Zainol dan Safwan Shamsuddin: anak-anak muda yang berani bangkit bersuara kerana kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku di depan mata. Anak-anak muda lah yang menjadi hati nurani (conscience) masyarakat dan menjadi penggerak perubahan.

Tatkala negara menghadapi pelbagai krisis - ekonomi, kepimpinan politik dan sebagainya - anak muda lah yang menjadi pencetus semangat "nahdah", yakni "kebangkitan" atau "renaissance", menuju Malaysia yang lebih baik. Mungkin inilah islah yang ditakuti para zalimun.

Universiti bukan kilang, Mahasiswa bukan robot!

Fahmi Fadzil
Naib Ketua AMK

10 Disember 2014‎

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Tuesday, December 09, 2014

Monday, December 08, 2014

Mahathir akan terus gasak Najib hingga rebah di Monggolia

Sejak menarik balik sokongan dan kemudian terus-menerus melancarkan serangan dan kritikan, keinginan Mahathir Mohamad untuk menukar Najib Razak sebagai Perdana Menteri sudah tidak dapat disembunyikan lagi. 

Dalam interbiu terbaru dengan Sinar Harian, bekas Perdana Menteri itu berkata, sebenarnya terdapat ramai calon yang berkelayakan boleh menggantikan Najib, tetapi UMNO menjadi penghalang kepada usaha itu. 

Katanya, usaha kemasukan pemimpin baru ke dalam UMNO terhalang kerana mereka lebih senang mempertahankan pemimpin sedia ada. 

Walaupun mengambil contoh mengenai apa yang berlaku di Selangor, kenyataan Mahathir ini jelas merupakan sindiran kepada pemimpin UMNO di seluruh negara yang tidak berani berubah dan tetap mempertahankan kedudukan Najib di ketika kepimpinannya makin lemah dah dipertikai dari semasa ke semasa. 

Berbanding keputusan PRU 13 lebih setahun lalu di mana BN hanya meraih 47 peratus undi popular, populariti UMNO, BN dan kerajaan pasca pilihanraya terus menurun dan Najib dilihat gagal sama-sekali memperbaiki keadaan. 

Dalam masa yang sama, Mahathir juga menyatakan, kemenangan tipis BN dalam pilihanraya itu bukanlah kerana imej Najib tetapi kerana ketakutan orang-orang Melayu sekiranya Anwar yang menjadi Perdana Menteri, maka Lim Kit Siang daripada DAP yang akan menjadi Timbalan Perdana Menterinya. 

Ketika menyelar tindakan kerajaan melantik warga asing, Christoph R Mueller sebagai CEO MAS berkuatkuasa 1 Januari tahun depan, Mahathir berkata, ia adalah pengakuan bahawa kita ini "bodoh." 

"Saya khuatir kita tidak ada kepercayaan kepada diri sendiri sehingga untuk melantik Perdana Menteri suatu hati nanti, kita akan juga akan melantik orang putih sebab mereka lebih pandai daripada kita," sindirnya lagi. 

Jika difahami dengan mendalam intipati kritikan demi kritikan Mahathir terhadap Najib, terutamanya sejak kebelakangan ini, ia jelas bukan lagi teguran atau serangan biasa, tetapi lebih menjurus kepada usaha mengganti Perdana Menteri dengan pemimpin lain yang dirasakannya lebih layak dan berwibawa. 

Kenyataan terbuka Mahathir bahawa ramai pemimpin yang layak mengganti Najib tetapi dihalang oleh UMNO dan kecenderungan terlalu memuja orang putih dalam kepimpinan sekarang sehingga mungkin "orang putih juga menjadi Perdana Menteri" suatu hari nanti adalah gambaran penolakan yang tidak dapat ditahan-tahan lagi yang selama ini terbuku dalam hatinya. 

Tetapi, mungkin kerana menyedari belum tiba masanya atau disebabkan kepungan UMNO yang terlalu kuat, Mahathir sehingga ini belum lagi menyebut secara tepat perlunya Najib berundur dan digantikan dengan pemimpin lain. 

Sambil menegur dan mengkritik, beliau hanya memberi sindiran atau kiasan mengenai kepimpinan Najib yang semakin lemah dan tidak lagi diyakini rakyat. 

Namun demikian, dengan sikap Najib yang terus senyap dan berdiam diri, sementara PRU 14 hanya tinggal kira-kira 39 bulan saja lagi, sudah sampai masanya Mahathir berterus-terang sekarang ini. 

Sebagaimana beliau bertindak mengkritik dan terbuka mahu Pak Lah ditukar dahulu, Mahathir juga perlu sekali lagi berterus-terang mengenai nawaitunya itu kali ini. 
Tidak lagi sekadar mengkritik dan menegur secara umum, Mahathir perlu mulai berterus-terang apakah Najib mesti diundur dan digantikan dengan pemimpin lain? Tidak juga berselindung di sebalik sindirin atau kiasan. 

Siapakah calon pengganti yang dimahukannya juga perlu diberitahu secara terbuka? Adakah ianya Muhyiddin Yassin, Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein atau sesiapa yang lain? 

Jika tidak dinyatakan secara terbuka dan berterus-terang, kritikan dan teguran Mahathir yang berpanjangan ini seolah-olah tiada maknanya kerana secara kebarangkaliannya, Najib tidak mungkin boleh diubah lagi cara dan gayanya dalam mentadbir negara ini. 

Sebaliknya, teguran dan kritikan itu hanya mengesahkan lagi ketidakmampuan UMNO dan BN untuk terus mentadbir negara ini serta merupakan bonus tambahan kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri selepas PRU 14 nanti. 

Bagaimanapun, bukan rahsia lagi Mahathir juga cuba mengelak dan tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri. 

Kalau sudah tidak mahu dengan Najib dan dengan Anwar juga tidak mahu, maka siapa yang dikehendakinya? Sebab itu, sudah sampailah masanya Mahathir berterus-terang dan mengumumkan siapa calon Perdana Menteri pilihannya itu.‎

Kita tunggu dan lihat babak seterusnya....


Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Thursday, December 04, 2014

Lagi 6 bulan baru tahu keputusan kes fitnah liwat Anwar

‎Mahkamah Persekutuan sedang menyiapkan penghakiman berhubung rayuan terakhir Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan hukuman penjara 5 tahun atas sabitan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 6 tahun lepas. Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata beliau tidak dapat memberikan tarikh tepat kerana panel hakim masih menyiapkan penghakiman mereka. "Saya tidak boleh memberitahu tarikh sebenar sehingga kami (hakim) melengkapkan penghakiman.

Kami masih membaca penghujahan, biarlah kami membaca terlebih dahulu sebelum menulis penghakiman. Berilah kami ruang untuk menyediakannya," katanya ketika ditanya mengenai tarikh pengumuman keputusan kes rayuan Anwar oleh Mahkamah Persekutuan.  Arifin, yang mempengerusikan panel lima hakim dalam kes rayuan itu berkata, seseorang hakim diberi tempoh yang munasabah untuk menyelesaikan penghakiman kerana setiap kes adalah berbeza.

Empat lagi hakim ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan tiaga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali. Arifin berkata, amalan standard bagi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk menyiapkan penghakiman mereka ialah dalam tempoh tiga bulan selepas kes itu didengar. "

Tetapi dalam kes tertentu, mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) akan mengambil masa lebih lama, mungkin sehingga enam bulan untuk menyiapkan penghakiman. Ia bergantung kepada kerumitan kes itu," katanya.

Pada 7 November, Mahkamah Persekutuan menangguhkan penghakiman berhubung rayuan kes itu selepas mendengar hujahan peguam Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengetuai pasukan 15 peguam termasuk tiga anak mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo dan Gobind Singh Deo serta peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Pendengaran rayuan itu yang pada awalnya ditetapkan dua hari mulai 28 Oktober berlarutan selama 8 hari berikutan pihak pembelaan dan pendakwaan menyampaikan hujahan panjang lebar dan mengemukakan banyak rujukan kes undang-undang dalam rayuan itu.

Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi di negara ini, akan membuat keputusan sama ada membenarkan atau menolak rayuan Anwar bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas, selepas ia membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskannya.

Sekiranya Anwar gagal dalam rayuannya, beliau akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen kawasan Permatang Pauh berikutan Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Kerajaan Persekutuan menetapkan seseorang MP lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000. Pihak pendakwaan juga memfailkan rayuan balas untuk menambah tempoh hukuman penjara.



Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Jawapan Anwar kepada Sultan Selangor


‎KENYATAAN MEDIA

Saya mengambil maklum, berdasarkan kenyataan media Dato' Haji Mohamad Munir Bani, setiausaha sulit kepada DYMM Sultan Selangor, bahawa Darjah Kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A.) telah ditarik balik berkuatkuasa 3 November 2014.

Darjah Kebesaran S.S.S.A. ini telah dikurniakan kepada saya pada tahun 1992 oleh Almarhum Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah tanpa saya membuat sebarang permintaan atau permohonan, dan saya menjunjung kasih terhadap ihsan Almarhum Tuanku yang telah berkenan untuk mengurniakan penghormatan ini kepada saya.

Saya akan tetap menjalankan tugas-tugas saya, terutama dalam menjunjung perlembagaan negara, Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen serta akan sentiasa mendokong perjuangan untuk meningkatkan martabat Rakyat.

Pada masa yang sama, saya akan terus bertugas sebagai Penasihat Ekonomi Selangor demi menjaga kepentingan negeri Selangor dan rakyatnya.

Anwar Ibrahim
Ketua Umum KEADILAN

4 Disember 2014

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Saya bangga disaman PM demi pertahankan hak rakyat

Pada hari ini, saya menerima surat memohon penjelasan (demand letter) dari firma Hafarizam Wan & Aisha Mubarak bagi pihak Dato' Seri Najib Tun Razak mengenai kenyataan saya di dalam video bertajuk "Kenapa Kita Pertahan Subsidi Minyak". Surat seperti ini adalah surat awal sebelum tindakan saman diambil.

Video tersebut adalah rakaman sebahagian dari ucapan saya di Bandar Tun Razak pada 22 November 2014 yang lalu yang mempertahankan subsidi minyak sebagai hak rakyat. Rakaman tersebut boleh didapati di laman MediaRakyat dan capaian https://www.facebook.com/video.php?v=870155893018919&set=vb.145165568851292&type=2&theater

Saya sudah menjangkakan bahawa Dato' Seri Najib Tun Razak akan mengambil tindakan saman terhadap saya selepas rakan saya YB Tony Pua telah menerima surat yang sama minggu lepas. Saya percaya ia ada kena mengena dengan kritikan berterusan dari kami berdua mengenai 1MDB.

Saya berasa bangga mendapat saman dari seorang Perdana Menteri kerana mempertahankan hak rakyat untuk mendapatkan subsidi minyak sekurang-kurangnya 30 sen seliter dalam keadaan pimpinan negara berbelanja sewenang-wenangnya dana rakyat dalam projek-projek yang membebankan rakyat seperti 1MDB.

Saya telah menyatakan secara terbuka bahawa saya bersedia berdebat dengan mana-mana pimpinan Umno baik yang muda atau tua, menteri atau tidak dalam mempertahankan subsidi minyak ini. Sehingga sekarang tidak ada seorang pun pimpinan Umno – dari Ketua Pemudanya hingga Ketua Penerangan yang berani tampil berdebat mengenai subsidi minyak ini.

Maka, surat ke arah tindakan saman dari Dato' Seri Najib Tun Razak ini kena tepat pada masanya. Dalam keadaan tiada pimpinan Umno yang berani berdebat secara terbuka mengenai subsidi minyak, sewajarnya Dato' Seri Najib Tun Razak tampil menjawab hujah-hujah saya secara terbuka.

Saya sekali lagi mencadangkan beliau tampil berdebat dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim khusus mengenai isu subsidi minyak yang menjadi isu besar di kalangan rakyat.

Sementara itu, saya akan menjawab surat Dato' Seri Najib Tun Razak dan bersedia memberi keterangan di mahkamah kelak. Saya juga percaya Dato' Seri Najib Tun Razak akan menggunakan mahkamah dengan menjadi saksi dan memberi keterangan mengenai 1MDB, wang pencen dan kes-kes lain yang berkaitan dengan keputusan beliau memotong subsidi.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

4 Disember 2014

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Monday, December 01, 2014

Pengiraan Harga Petrol RON95, RON97 Dan Diesel Tidak Telus Dan Tidak Selari Dengan Harga Pasaran Dunia

Pengumuman harga baru tanpa subsidi bagi RON95, RON97 dan diesel bermula 1 Disember 2014 membayangkan harga petrol dan diesel akan terus dimanipulasi oleh Barisan Nasional dan menjadi beban utama rakyat di masa akan datang. Walaupun Dato' Seri Najib Tun Razak menggunakan alasan harga yang dibayar oleh rakyat sekarang adalah mengikut harga pasaran, perbezaan di antara harga pasaran dan harga yang ditetapkan Barisan Nasional adalah terlalu ketara.

Harga rujukan minyak mentah Brent di hujung minggu lepas telah mencecah USD68 setong, iaitu penurunan sebanyak 35.2% dari harga sebelum kejatuhan pasaran minyak mentah iaitu sekitar USD105 setong. Harga purata minyak mentah Brent sepanjang bulan November 2014 ialah sekitar USD76 setong, iaitu penurunan sebanyak 27.6% dari harga sebelum kejatuhan pasaran minyak.

Harga rujukan minyak mentah Brent ini menentukan harga rujukan produk petroleum RON95, RON97 dan diesel yang didagangkan di Singapura dan digunakan sebagai asas menentukan harga petrol dan diesel di negara ini. Oleh itu, jika harga rujukan minyak mentah Brent telah jatuh di antara 27% hingga 35%, sudah tentu penurunan RON95, RON97 dan diesel juga adalah dalam lingkungan yang tidak banyak berbeza dari itu.

Malangnya, pengumuman Barisan Nasional menetapkan harga RON95 hanya turun 1.7%, RON97 hanya turun 3.5% malah diesel pula naik 1%. Rakyat tertanya-tanya kenapa ada jurang yang begitu besar di antara harga rujukan di pasaran dunia dan harga yang ditetapkan Barisan Nasional di Malaysia walaupun kononnya harga itu ditetapkan mengikut harga pasaran dunia.

Keadaan ini berpunca dari kaedah penentuan harga yang tidak telus dan memasukkan formula yang menjamin keuntungan syarikat minyak seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Bagi setiap liter RON95 contohnya, Barisan Nasional menjamin keuntungan dan kos dibayar-balik (cost reimbursement) kepada syarikat minyak sebanyak 30 sen.

Oleh yang demikian, KEADILAN mendesak supaya Kerajaan Persekutuan menyiarkan setiap minggu secara terperinci harga rujukan RON95, RON97 dan diesel di pasaran dunia yang menggunakan harga terbitan MOPS (Means of Platts Singapore) serta kos-kos lain yang dimasukkan di dalam perkiraan menentukan harga pasaran Malaysia bagi RON95, RON97 dan diesel. Hanya dengan ketelusan sebegini Barisan Nasional boleh mengenepikan pandangan serong rakyat bahawa ia mengambil keuntungan dengan menetapkan harga minyak yang lebih tinggi kepada rakyat walaupun harga pasaran dunia telah jatuh menjunam.

Pada masa yang sama, KEADILAN juga telah menubuhkan pasukan sendiri untuk memantau harga pasaran RON95, RON97 dan diesel untuk memastikan harga pasaran di Malaysia adalah selari dengan harga pasaran dunia. KEADILAN akan mendedahkan secara terperinci harga pasaran rujukan MOPS serta kos-kos lain yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan pada setiap minggu untuk membolehkan rakyat mendapatkan harga minyak terbaik.

Perbezaan harga yang ketara ini (iaitu penurunan 2% di Malaysia berbanding kejatuhan 28% hingga 35%) juga menimbulkan tanda tanya sama ada Barisan Nasional akan mengenakan cukai petrol secara senyap-senyap seperti yang berlaku sepanjang bulan November 2014.

Kenyataan Dato' Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan pada 31 Oktober 2014 yang disiarkan BERNAMA secara jelas menyebut bahawa jika harga minyak mentah dunia jatuh ke harga di bawah USD75 setong, harga petrol RON95 sepatutnya menjadi sekitar RM1.72 seliter. Menurut beliau, pada ketika itu Kerajaan Persekutuan boleh membuat keputusan sama ada mengenakan cukai petrol untuk mengekalkan harga yang lebih tinggi.

Pada ketika ini, harga minyak mentah dunia telah pun jatuh ke paras USD68 setong. Malah, harga rujukan purata minyak mentah bagi November 2014 dianggarkan sekitar USD76 setong. Mengikut kenyataan Dato' Ahmad Maslan sendiri sebulan yang lepas, harga RON95 yang lebih selari dengan harga pasaran sepatutnya adalah RM1.72 seliter, bukannya RM2.26 seperti yang diumumkan semalam.

Oleh yang demikian, saya akan terus berkempen supaya harga minyak diturunkan melalui kempen #turunhargaminyak. Sementara menunggu demonstrasi yang telah diumumkan pada 31 Disember 2014 ini, KEADILAN akan membantu rakyat dengan mengumumkan setiap minggu harga pasaran RON95, RON97 dan diesel mengikut harga pasaran antarabangsa untuk mengelakkan Barisan Nasional mengambil kesempatan mencukai rakyat melalui cukai petrol secara senyap-senyap seperti yang telah berlaku sejak sebulan lalu.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.