SharpShooter Followers

Thursday, December 04, 2014

Lagi 6 bulan baru tahu keputusan kes fitnah liwat Anwar

‎Mahkamah Persekutuan sedang menyiapkan penghakiman berhubung rayuan terakhir Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan hukuman penjara 5 tahun atas sabitan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 6 tahun lepas. Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata beliau tidak dapat memberikan tarikh tepat kerana panel hakim masih menyiapkan penghakiman mereka. "Saya tidak boleh memberitahu tarikh sebenar sehingga kami (hakim) melengkapkan penghakiman.

Kami masih membaca penghujahan, biarlah kami membaca terlebih dahulu sebelum menulis penghakiman. Berilah kami ruang untuk menyediakannya," katanya ketika ditanya mengenai tarikh pengumuman keputusan kes rayuan Anwar oleh Mahkamah Persekutuan.  Arifin, yang mempengerusikan panel lima hakim dalam kes rayuan itu berkata, seseorang hakim diberi tempoh yang munasabah untuk menyelesaikan penghakiman kerana setiap kes adalah berbeza.

Empat lagi hakim ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan tiaga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali. Arifin berkata, amalan standard bagi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk menyiapkan penghakiman mereka ialah dalam tempoh tiga bulan selepas kes itu didengar. "

Tetapi dalam kes tertentu, mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) akan mengambil masa lebih lama, mungkin sehingga enam bulan untuk menyiapkan penghakiman. Ia bergantung kepada kerumitan kes itu," katanya.

Pada 7 November, Mahkamah Persekutuan menangguhkan penghakiman berhubung rayuan kes itu selepas mendengar hujahan peguam Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengetuai pasukan 15 peguam termasuk tiga anak mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo dan Gobind Singh Deo serta peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Pendengaran rayuan itu yang pada awalnya ditetapkan dua hari mulai 28 Oktober berlarutan selama 8 hari berikutan pihak pembelaan dan pendakwaan menyampaikan hujahan panjang lebar dan mengemukakan banyak rujukan kes undang-undang dalam rayuan itu.

Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi di negara ini, akan membuat keputusan sama ada membenarkan atau menolak rayuan Anwar bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas, selepas ia membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskannya.

Sekiranya Anwar gagal dalam rayuannya, beliau akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen kawasan Permatang Pauh berikutan Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Kerajaan Persekutuan menetapkan seseorang MP lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000. Pihak pendakwaan juga memfailkan rayuan balas untuk menambah tempoh hukuman penjara.



Sent from my BlackBerry 10 smartphone.