Kenyataan Media
Pengerusi Gabungan Badan Bertindak Menentang Pencemaran Bauksit
14/1/2016
JANGAN Guna Duit Rakyat Untuk Mencuci Kekotoran Bauksit.
Bukan rakyat yang cemar tetapi kenapa rakyat mesti tanggung?
Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri yang mengarahkan Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mencuci prncemaran bauksit, kami pihak gabungan ingin menyatakan dengan sekeras- kerasnya bahawa tindakan Perdana Menteri ini merupakan SALAH GUNA duit rakyat pembayar cukai.
Rakyat sudah cukup menderita dengan pencemaran ini. Sebaiknya janganlah ditambah kemarahan rakyat dengan menggunakan duit rakyat pula untuk mencuci pencemaran ini. Tatkala rakyat semua dalam kesusahan akibat kenaikan kos sara hidup dan GST, tindakan menggunakan duit rakyat untuk mencuci kekotoran bauksit ini ibarat mencurah garam kepada luka rakyat. Ia menambahkan kepedihan kesengsaraan tersebut. Lebih baik peruntukan tersebut digunakan untuk bantu rakyat yang susah.
Sebaliknya silalah Perdana Menteri arah kesemua syarikat pemilik konsesi melombong, syarikat pemilik lori yang mengangkut bauksit dan syarikat yang mempunyai lesen AP mengekspot bauksit untuk melakukan tugas mencuci tersebut.
Kita semua maklum bahawa banyak ketirisan berlaku sewaktu mengutip royalti di peringkat kerajaan negeri. Kita juga sedia maklum bahawa SATU SEN pun tidak di kutip dari syarikat pengekspot dalam bentuk duti ekspot. Jumlah eksport bauksit dianggarkan RM3.6 Billion pada tahun 2015, dimana mereka tidak membayar eksport duti walau satu sen pun.
Gabungan dengan ini menggesa pihak Perdana Menteri membatalkan arahan menggunakan duit rakyat dan sebaliknya lebih baik mengarahkan syarikat-syarikat yang telah mengaut keuntungan dari bauksit untuk menunjukkan sedikit CSR dan laksanakan tanggungjawab social ini.
Hjh Fuziah Salleh
Ahli Parlimen Kuantan
Pengerusi Gabungan Badan Bertindak Menentang Pencemaran Bauksit