JINGGA 13 Malaysia
Saban tahun rakyat Malaysia akan memperolehi Laporan Ketua Audit Negara yang akan membongkarkan berlakunya ketirisan, penyelewengan, pembaziran dan salahguna tadbir wang negara yang sangat ketara yang melibatkan tanggungjawab kepada menteri dan penjawat awam daripada pelbagai Kementerian dan Jabatan samaada diperingkat nasional dan negeri.
Selepas segalanya didedahkan oleh Ketua Audit Negara tidak ada sebarang tindakan yang drastik diambil oleh pihak yang bertanggungjawab , malah pendedahan dan tindakan yang tahun-tahun sebelumnya melibatkan dana awam tidak ada sebarang kedengaran tindakan dan statusnya.
Sudah pasti Jabatan Audit Negara juga menggunakan dana awam yang cukup banyak dalam menjalankan tugasan mengaudit ke seluruh Kementerian dan Jabatan sektor awam terhadap penggunaan dana awam atau wang rakyat yang akhirnya hanya "gegak gempita" untuk beberapa hari dan semua kesalahan dan tindakan salahlaku, penyelewengan, pembaziran sekadar "tersimpan di bawah karpet" tanpa sebarang tindakan.
Malah lebih ketara memperlihatkan tidak ada sebarang hubungan antara Jabatan Audit Negara dengan agensi-agensi kerajaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM). Fungsi Jabatan Peguam Negara langsung tidak bertanggungjawab sedangkan segala siasatan dibuat oleh Jabatan Audit Negara telah dibuat untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam kes-kes yang melibatkan penyelewengan dan penyalahgunaan wang rakyat.
Sepertimana yang diketahui umum Jabatan Audit Negara juga tidak mempunyai kuasa dan tanggungjawab bagi membawa kes-kes yang melibatkan ketirisan, penyelewengan,pembaziran dana awam selepas segala siasatan dan auditan yang dibuat.
Betapa telus dan profesionalnya Jabatan Audit Negara di bawah tanggungjawab Ketua Audit Negara tidak akan membawa apa-apa makna dan kesan sekiranya segala pelaku dan mereka yang bertanggungjawab tidak diambil sebarang tindakan undang-undang.
Agenda Tranformasi Datuk Seri Najib hanyalah retorik semata-mata kerana apa yang didedah dan dilaporkan oleh Ketua Audit Negara setiap tahun tidak menunjukkan keberhasilan yang baik tetapi terus memperlihatkan kegagalan beliau sebagai ketua kerajaan.
Jingga 13 Malaysia merasakan adalah wajar Jabatan Audit Negara dibubarkan kerana tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap segala pendedahan yang dibuat setiap tahun dan Jabatan Audit Negara sudah pasti juga turut membazirkan wang rakyat atau dana awam terhadap hasil auditan yang tidak membawa apa-apa tindakan undang-undang . Malah hasilnya saban tahun Berbillion Ringgit Malaysia dana awam 'hangus' begitu sahaja.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone