Oleh: Lee SlimShady
Reformasi Telah Mati?
"Presiden datang dan pergi, tiada apa yang akan berkekalan" – Jezz (Occupy Wall Street)
Subuh Isnin 17 Ogos aku berjalan melintasi Dataran Merdeka, sambil di akaun Twitter rakan-rakan dari Indonesia menyambut hari kemerdekaan dengan nada kicauan yang agak 'sinis' tak kurang jua dengan kecaman yang dilemparkan dalam gurauan.
Joko Widodo mungkin sosok yang menjadi sasaran hentaman kata-kata "anak negri" yang berkicau di Twitter. Mungkin aku terus seronok menguliti kata-kata yang di selang-seli dengan petikan pejuang-pejuang kemerdekaan nusantara.
Mungkin kerana penarikan subsidi dan rombakan kabinet atau hadirnya Jokowi di atas takhta pemerintahan tanpa reformasi yang dinantikan rakyat Indonesia mengiringi kepimpinannya di Istana Presiden.
Skroll aku terhenti, terpaku mataku menguliti kata-kata;
"Reformasi itu telah mati, tidak seharusnya ia menguburi anak negri"
Maka aku melabuhkan punggung di batas tangga di bawah tiang bendera besar, tempat di mana beberapa tahun dahulu aku dan rakan-rakan #occupydataran bermalam setiap Sabtu untuk meneroka ruang demokratik dengan membuang "sial" reformasi yang diversikan oleh parti-parti politik.
Di sini juga tempatnya memori September berlangsung lebih 15 tahun dulu buat pertama kalinya laungan reformasi bergema di bumi bertuah ini setelah laungan itu merentasi Selat Melaka dari Jakarta melalui Tanjung Pinang selepas berjaya mendobrak rejim Suharto.
Dari jauh kelihatan satu sosok yang kurang jelas dari pandangan mataku melaungkan kata-kata;
"Saudara-saudara sekalian, kita akan mempertahankan Anwar Ibrahim hingga ke titisan darah yang terakhir"
Bisik rakanku katanya itu Ketua Pemuda UMNO iaitu Zahid Hamidi.
Jika benar apa yang dibisikkan oleh sahabatku maka sejarah itu telah melirik catatan yang aku coretkan di masa lalu andai aku sempat mengalih untuk "menjeling" Zahid Hamidi buat kali kedua.
Namun kini segalanya tinggal kenangan kerana kini laungan itu sudah ditenggelami oleh retorik politik kepentingan individu.
Anwar
Dahulu dan Sekarang
Masuknya Anwar Ibrahim ke jeriji besi Sungai Buloh selama lima tahun bermula 10 Februari 2015 lalu atas hukuman kononnya didapati bersalah meliwat Saiful Bukhari Azlan.
Kali ini dalam keadaan partinya Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama PAS dan DAP berjaya menakluki tiga negeri di dalam Malaysia.
Terperosoknya Anwar Ibrahim kali ini dalam keadaan pendukungnya sudah bergelar Yang Berhormat dan dalam keadaan mereka sudah duduk di kerusi-kerusi empuk memegang jawatan penting tidak kira dalam kerajaan negeri, kerajaan tempatan, menjadi pegawai khas ataupun ahli lembaga pengarah syarikat kerajaan negeri.
Kekecewaan tergambar setelah retaknya Pakatan Rakyat tindakan PAS memutuskan hubungan dengan DAP, manakala DAP mengisytiharkan bahawa gabungan Pakatan Rakyat telah mati dan munculnya GHB (Gerakan Harapan Baru)
Dalam pada beberapa ketika aku teringat keluhan seorang kawan;
"Dulu rakyat habis-habisan turun ke jalanraya kerana mahukan perubahan, hari ni senang-senang je diorang nak pecah."
Langkah Kajang adalah satu contoh projek gagal PKR yang telah merosakkan Pakatan Rakyat.
Dalam projek langkah kajang, sudah jelas bahawa Bersih sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil kerana ia bukan atas keperluan rakyat tapi sekadar kehendak dan kemahuan parti politik.
Terpaksa menyokong dalam keadaan terpinga-pinga. Konspirasi menyingkirkan Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim juga adalah onar yang membuatkan PAS tersepit dan terpaksa menyokong demi semangat Pakatan Rakyat.
Penyingkiran ke atas Khalid Ibrahim tidak disenangi Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz.
Rakyat melihat bagaimana PKR menafikan kecerdikan mereka dengan hujah tunggang-langgang dan 'Road Show' keliling Selangor dengan fitnah dan tohmahan yang dijaja untuk menggulingkan Khalid.
Padahal rakyat bukanlah menyokong Khalid sangat, mereka bersimpati dengan Khalid yang dilayan 'double standard' di dalam PKR.
Lebih-lebih lagi beberapa hari lalu setelah Khalid menarik balik saman keatas Saifudin Nasution dan PKR setelah kedua-duanya menyatakan permohonan maaf atas segala tohmahan yang dilemparkan ke atas Khalid.
"Wah! mudah sungguh permohonan maaf itu setelah segala tohmahan dan cacian dihamburkan," kata seorang rakan ketika ber'KuBu' di FS Nasi Kandar.
Sifat Politik di Malaysia
Yang malangnya di sini Bersih sebagai sebuah badan yang bertindak memulihara sistem demokrasi turut terpalit atas segala onar yang membawa kepada keretakan Pakatan.
Mungkin sekali kerana mesranya Ambiga dengan pemimpin Pakatan atau kerana penyertaan Sasterawan Negara A.Samad Said a.k.a Pak Samad bekas pengerusi bersama Bersih 2.0 ke dalam DAP.
Ramai melihat Bersih sudah "berwajah Pakatan" biarpun dalam pada masa yang sama Bersih tidak pernah bersetuju pun dalam mana-mana tindakan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat terutamanya LANGKAH KAJANG .
Bersih ada mengeluarkan kenyataan media dan tidak bersetuju dengan apa yang berlaku pada pilihanraya kecil Kajang. Bersih menyatakan tindakan itu telah mengkhianati hak-hak pengundi Kajang meskipun kenyataan itu telah mengundang kecaman penyokong-penyokong Pakatan ke atas Bersih.
Ketika berlangsungnya "LANGKAH KAJANG" negara dikejutkan dengan kehilangan MH370 sekaligus berjaya menenggelamkan "kehangatan" kempen Langkah Kajang.
Berbagai spekulasi mula wujud tak kurang ada yang melawak sebagai bomoh untuk meredakan suasana pilu yang menyelubungi perasaan bukan sahaja waris keluarga mangsa malah seluruh rakyat malaysia.
Di pihak parti politik dan penyokongnya mula tuding-menuding jari antara BN dan Pakatan, segala teori dan andaian dibawa keluar semata-mata untuk "melibas" pesaing politik yang berada di posisi bertentangan.
Sedangkan punca dan sebab kejadian masih lagi kabur tetapi yang pasti parti pemerintahlah yang menerima kritikan yang paling hebat akibat gagal memainkan peranan dalam mengesan bangkai pesawat dan menentukan status pesawat tersebut sama ada terhempas atau terselamat.
Akhirnya pemerintah terpaksa akur yang pesawat tersebut hilang dan gagal ditemui dalam pada masa yang sama status pesawat tersebut masih dalam persoalan infiniti.
Belum sahaja reda kepiluan akan kehilangan MH370 emosi seluruh warga pertiwi diguris lagi dengan tragedi MH17 yang di tembak jatuh di ruang udara sempadan Ukraine-Russia. Pertiwi menangis lagi, seluruh warga berdoa dan bertafakur.
Dalam Parlimen kedua-dua puak politik saling tuding-menuding jari dari soal siapa sokong Putin hinggalah kepada Twitter palsu.
Tak kurang juga ahli parlimen yang membebel soal remeh pasal auratlah, pakaianlah, tanpa fokus kepada isu pokok iaitu menegak keadilan buat waris keluarga mangsa dan mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Sehingga ke saat itu pun kedua-dua belah pihak masih lagi mencari kepentingan politik buat diri dan parti masing-masing.
Aku tak menolak gejala kepentingan politik yang dilakukan semua parti politik dalam semua isu tetapi tidak adillah jika ianya diraih dari mereka yang ditimpa malang.
Semua ini seolah-olah satu isyarat yang awan hitam bakal tiba untuk menutupi langit Malaysia dan membawa kegelapan dalam kebejatan bangsa. Ia bagai satu ramalan yang hampir benar sedang masanya semakin tiba.
Fardhu Bangkit Melawan Kebodohan
Ketika masalah ekonomi rakyat makin merosot, kenaikan harga barang dipandang remeh oleh pemerintah.
Jadi suatu yang biasa bila kita dengar para macai upahan bersuara bagi pihak parti pemerintah bahawa kenaikan harga barang "bagus" untuk rakyat supaya terus rajin berkerja.
Maka jari tengah ini sudah lama kuacukan ke arah macai-macai upahan bagi setiap kebodohan yang cuba diketengahkan kerana itu adalah fardhu kifayah yang telah di syari'atkan ke atas aku untuk melawan kebodohan.
Melawan kebodohan ni bukan satu kerja main-main tetapi ia juga misi yang diserahkan kepada Nabi Muhammad setelah diutus ke dunia sebagai Nabi.
Bergerak dari melawan kebodohan dan menuntut hak maka sekonyong-konyong rakyat jelata khususnya anak muda bangkit menyatakan protes malam tahun baru atas semua kenaikan harga barang kos sara hidup.
Setiap kali memprotes tindakan rejim yang menindas ekonomi rakyat maka seperti biasa nyanyian lagu 'guling-mengguling' akan dimainkan konon ada kumpulan-kumpulan akan menjatuhkan kerajaan pada malam tahun baru.
Segala tindakan rejim pemerintah andai dipersoalkan oleh aktivis maka akan ditangkap dan disoal-siasat tetapi jika dipersoalkan oleh media khususnya akhbar, maka akhbar tersebut langsung digantung.
GERAMM
Protes Media – GERAMM
Inilah yang berlaku ke atas akhbar mingguan "The Heat" yang digantung permit penerbitannya kerana artikel tentang kemewahan hidup Perdana Menteri.
Akhbar mingguan The Heat digantung serta-merta oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), dipercayai kerana artikel muka hadapan berhubung perbelanjaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Bertitik tolak dari hasil usaha rakan baikku Fathi Aris Omar, bekas editor Malaysiakini versi bahasa melayu telah merintis jalan kearah mobilisasi protes media.
Bermula dengan sembang-sembang kecil di Facebook susulan penggantungan itu, dalam tempoh 24 jam, sekumpulan wartawan dan aktivis duduk semeja dan melancarkan Gerakan Media Marah (GERAMM).
Nama GERAMM itu sendiri diilhamkan oleh rakan baikku Tony Basement yang juga bekas aktivis yang pernah bersama-sama berkemah di Dataran Merdeka.
Ia disertai oleh beberapa wartawan muda tetapi, yang paling mengejutkan, ia terdiri daripada lima organisasi media berbeza, yang selalunya juga bersaing sesama sendiri.
Jumlah ini tidak termasuk tiga portal parti-parti utama pembangkang dan juga portal-portal lain, termasuk media arus perdana, yang menyatakan sokongan moral mereka dari jauh.
Sekurang-kurangnya 15 hingga 20 media berkongsi sentimen pro-kebebasan yang disuarakan oleh GERAMM.
Ia kearah kejayaan Protes Pensel Merah pada 4 Januari lalu bukan dari segi jumlah kehadirannya. Dalam beberapa minggu selepas itu permit penerbitan "The Heat" dipulangkan semula.
Isu 1MDB Pula
Hanya setahun selepas "The Heat", sebuah akhbar melaporkan perkembangan perniagaan dan ekonomi iaitu "The Edge" menjadi mangsa seterusnya setelah melaporkan isu #1MDB di muka depan akhbarnya.
Umum pun sudah sedia maklum akan #1MDB yang mana seingat aku segalanya bermula semenjak pelaksanaan GST yang di tentang habis-habisan bukan sahaja oleh rakyat jelata pelbagai lapisan masyarakat, malah bekas pemimpin UMNO sendiri yang pernah memegang jawatan nombor satu paling lama dalam sejarah negara.
Pada hemat rakanku sendiri apa yang dilakukan oleh Najib adalah satu sabotaj ekonomi sehingga beliau sendiri "menggagau" nak jawab dari mana datangnya dana RM2.6 billion ringgit.
Sehingga rejim sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup "bangkai dinosaur" yang baunya sudah bertebar bukan sahaja di seluruh nusantara malah di setiap pelosok dunia.
Lalu akhbar tersebut digantung lantas mengundang kecaman dan kritikan dari pelbagai pihak. Adindanya sendiri iaitu Nazir Razak memberikan nada berbeza berhubung penggantungan itu.
Keabsahan Politik Kepartian
Jelas disini keabsahan kuasa politik kepartian itu mula terhakis tidak kira dari puak mana ia sama ada Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional.
Dalam pada Barisan Nasional sedang terpalit dengan skandal yang cukup memalukan dalam sejarah maka tak perlulah Pakatan Rakyat nak mendabik dada konon mereka lebih bagus berbanding Barisan Nasional.
Kerana kita sendiri menyaksikan ketika ustaz muda Ekhsan Bukhari diusir ketika hadir di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS) menuntut janji-janji manis Pakatan Rakyat yang ditabur dalam manifesto ketika pilihanraya umum ke-13 untuk menaikkan gaji guru-guru KAFA.
Maka rakyat sudah melihat harapan untuk meletakan Pakatan sebagai peneraju Putrajaya semakin kabur.
Apabila terbit seruan #Bersih4 untuk ke jalanraya maka sekali lagi aku melirik ke arah keluhan seorang kawan setelah bertanya apakah dia akan turun untuk menyertai Bersih edisi ke-4 kali ini? Maka jawabnya:
"Bila nak turun jalanraya ingat rakyat…. Bila berkuasa lupa rakyat…. Bila rakyat tegur dituduh 'trojan horse'…."
Maka, Tujuan Bersih?
Menguliti kata-katanya maka aku di sini menegaskan dalam tempoh 36 jam bersama #Bersih4 adalah untuk mendobrak pengaruh oligarki parti-parti politik.
A POSTER 13Maka hadirnya kita ke jalanraya adalah sebagai individu anarki dan bukan barua mana-mana parti. Turun dan bawa tuntutan sendiri dengan matlamat penghapusan segala eksploitasi ekonomi dan kebebasan demokrasi ke atas diri kita sendiri.
Kerana mereka buat untung, hutang kita terpaksa tanggung dengan membayar GST, mereka hidup mewah kita pula terpaksa bersusah-payah dan tertekan atas bermacam-macam kenaikan kos sara hidup.
Malah kita tujukan juga bantahan ini kepada pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas kemarahan kita khususnya parti-parti pembangkang.
Kita turun #Bersih adalah untuk membantah semua masalah yang telah ditimpakan ke atas kita. Kita turun ke jalan raya untuk meruntun sebuah janji yang kita tidak akan berganjak untuk sebuah perubahan dan harapan.
"Bukan boleh tukar kerajaan pun dgn demo bersih… tak gitu huhuhu"
"Marah pada pemimpin tapi lawan dengan polis juga akhirnya… kesudahannya pemimpin tidak berubah pun"
Begitu lah antara luahan rakan-rakan yang sudah tawar hati, tetapi yang pasti bukan polis yang kita nak lawan, itu pandangan yang cukup salah biarpun ia sering terjadi dengan insiden yang tidak dijangka.
Revolusi Yang Bagaimana?
Menjawab luahan yang penuh dengan nada kekecewaan ini aku sering memberi penjelasan:
"Rejim yang baru adalah pewaris kepada rejim yang lama biarpun ia datang datang dari berlainan parti."
Sesuatu kebangkitan itu sepatutnya bukan merubah rejim atau parti politik tetapi harus drastik ke arah perubahan sistem. Sebab itu kita lihat kesilapan besar yang berlaku dalam sesuatu kebangkitan revolusi adalah menukar rejim dan bukan sistem.
Rejim ditukar tetapi sistem masih berpihak kepada kelas feudal dan bukan kepada golongan marhaen.
Beratus-ratus kali menukar rejim dari Republican kepada Democrat, dari Labour kepada Conservative, apakah masalah sudah selesai?
Sebab itu #Bersih4 adalah pendirian kita, laluan kita, perjuangan kita sebagai marhaen anarki mahu terus hidup.
Bangun mem'BERSIH'kan pandangan, perjuangan dan prinsip kita yang sebenar agar tidak dicemari oleh tangan-tangan kotor ahli politik kepartian.
Kita hadir untuk mengubah sistem untuk kehidupan kita sendiri, kita hadir untuk mempersetankan keabsahan politik kepartian.
Jalanraya adalah milik kita sebagai rakyat marhaen sebab pentas VVIP adalah milik ahli politik kepartian, kerana itu sejak dulu ia adalah senjata kaum feudal, dan kaum pemodal adalah peluru dan perang.
Senjata kaum buruh dan rakyat tertindas adalah agitasi, mogok dan demonstrasi.
Seperti kata Dominic Toretto (lakonan Vin Diesel) dalam filem 'Fast & Furious 7′, mengungkapkan;
"Think about the street, the street always wins" ["Fikir tentang jalanan, ia sentiasa menang"]
Share on Facebook