SharpShooter Followers

Friday, November 13, 2015

PM wajib pecat Jamil Khir

Kita mohon PM Malaysia pecat Ds Jamil Khir sebagai Menteri dan pecat terus Dari UMNO jika terbukti terlibat Dalam skandal wang Dana Ummat Islam

Bukti dan kenyataan sdr Akmal Nasir bagaimana Menteri terlibat dalam #skandalYaPEIM

JAMIL KHIR GUNA WANG YaPEIM BIAYAI PERJALANAN KE LUAR NEGARA BERSAMA ISTERI, MAIN GOLF DAN LAWATAN KE PUSAT MEMBELI-BELAH DENGAN JUMLAH KESELURUHAN RM 410, 978.56

National Oversight and Whistleblowers (NOW) hari ini tampil dengan pendedahan yang paling mengejutkan berkaitan skandal melibatkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dimana wang yang sepatutnya digunakan untuk amal jariah telah disalah gunakan oleh Menteri Hal Ehwal Islam, Y.B Dato' Seri Jamil Khir Baharom.

Mengikut dokumen yang NOW perolehi, Dato' Seri Jamil Khir Baharom bersama isteri beliau Datin Seri Fatmawati Saidin dan seorang lagi individu bernama Cik Biby Haslinda telah mengikuti satu rombongan ke Amerikat Syarikat bagi tempoh perjalanan 21 Mei 2014 sehingga 29 Mei 2014.

Lawatan Dato' Seri Jamil Khir Baharom bersama isteri dan rombongannya dikatakan melewati bandar Washington D.C, Minnesota dan Iowa.

Walaupun perjalanan tersebut dikatakan untuk tujuan 'Pemantapan dan Pemerkasaan Kelab Santun YaPEIM', berdasarkan perbelanjaan-perbelanjaan yang dicaj dan dibayar oleh YaPEIM adalah bersifat bersuka ria dan langsung tiada unsur amal jariah.

Di antara pembayaran yang telah dibuat adalah seperti berikut:-

1. Golf – keraian Menteri

2. Jamuan Promosi / keraian VVIP ( flower Chocolates and Fresh Fruits)

3. Jamuan Makan – keraian Menteri

4. Cenderahati Menteri

5. 22, 23, 26 & 27 Mei 2014 (GROUP: VVIP) USAGE TO LEESBURG OUTLET + OT

Berdasarkan semakan kami, Leesburg Corner Premium Outlet merupakan sebuah Pusat Membeli-belah "upscale outlet" barangan berjenama yang terletak di Washington DC yang dikunjungi oleh rombongan Menteri Hal Ehwal Islam sebanyak 4 hari dimana perbelanjaan pengangkutan sahaja mencecah RM 5,908.35.

Lebih mendukacitakan lagi, pembayaran bagi perbelanjaan-perbelanjaan oleh Menteri dan rombongannya ini dibuat melalui institusi dibawah kawalan YaPEIM iaitu Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN) yang mana duit tersebut adalah khusus untuk kegunaan bantuan anak yatim dan miskin.

Lembaga Pengarah PEMANGKIN adalah Datuk Hajjah Siti Jeliha @ Zaleha Binti Hussin iaitu pemimpin Wanita UMNO yang berpengaruh di YaPEIM manakala Dato' Haji Abd. Malek B. Awang Kechil merupakan pengerusi PEMANGKIN. Kedua-dua individu inilah yang dilantik oleh Dato' Seri Jamil Khir sebagai Presiden dan Pengerusi serta Timbalan Presiden dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM.

Jumlah keseluruhan perbelanjaan yang diambil daripada tabung anak yatim dan miskin bagi menampung perjalanan Dato' Seri Jamil Khir Baharom bersama isteri dan rombongannya dianggarkan sebanyak RM 410, 978. 56.

Saya pasti pendedahan ini menjangkau imaginasi rakyat Malaysia bagaimana satu badan Yayasan berkaitan Islam yang terletak di bawah YAB Perdana Menteri boleh disalah gunakan untuk aktiviti-aktiviti Menteri seperti golf, ke pusat membeli-belah dan sebagainya.

NOW dengan ini mendesak agar satu siasatan secara menyeluruh dijalankan dimana setiap perbelanjaan YaPEIM dan institusi-institusi dibawah YaPEIM disemak dan diaudit secara terbuka kerana rakyat terutamanya pencarum berhak mengetahui setiap perbelanjaan yang dibuat.

Siasatan ini juga perlu mengesan jumlah wang yang hilang akibat ketirisan, kebocoran dan salah guna kedudukan.

Buat Dato' Seri Jamil Khir Baharom, jika beliau masih mempunyai maruah, beliau sewajarnya meletakkan jawatan dengan serta-merta dan tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia kerana telah menyalahgunakan duit anak yatim dan miskin yang diperoleh daripada hasil sumbangan orang ramai.

NOW juga menuntut agar Dato' Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Hajjah Siti Jeliha @ Zaleha Binti Hussin dan Dato' Haji Abd. Malek B. Awang Kechil memulangkan kembali setiap sen yang diambil daripada YaPEIM termasuk gaji, elaun dan juga perbelanjaan perjalanan luar negara.

Kita sama-sama doakan agar ketiga-tiga individu ini akur dengan kesilapan mereka dan memulangkan kembali wang kepada YaPEIM, pengurusan YaPEIM perlu dirombak dan pengurusan baru perlu memastikan setiap wang tersebut diagihkan kepada mereka yang benar-benar susah dan turut melaporkan kemajuan agihan secara berkala dan terbuka.

13 NOVEMBER 2015

AKMAL NASIR

Pengarah

National Oversight and Whistleblowers (NOW)

https://www.facebook.com/nowmalaysia/posts/915607001809266