TMI - Henti salahkan pengundi tak pilih BN, kata ahli MT Umno
Sebaliknya tegas beliau, setiap pihak perlu menghormati hak pengundi untuk memilih mana-mana parti yang mereka inginkan.
“Dengan penuh rendah diri, saya menyeru rakan-rakan dalam BN supaya tidak menyalahkan atau menuduh mereka yang tidak mengundi BN dalam mana-mana pilihan raya sebagai tidak bersyukur kepada kerajaan BN,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
“Kita perlu menerima apa jua keputusan pengundi dengan berlapang dada walaupun keputusan tersebut tidak memihak kepada parti kita,” kata beliau mengulas tindakan pihak-pihak tertentu termasuk pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang menuding jari, malah mahu masyarakat Cina di Sarawak dihukum kerana memperlihatkan sokongan kuat kepada DAP, parti komponen Pakatan Rakyat, ketika pilihan raya negeri 16 April lalu.
Selain undi populariti, kerusi dimenangi DAP meningkat dua kali ganda berbanding pilihan raya negeri 2006.
Di Sarawak, BN memperoleh 55 kerusi manakala Pakatan Rakyat 15 dan Bebas satu.
Akhbar-akhbar milik Umno juga menyatakan pendirian sedemikian agar BN tidak lagi bertindak sebagai “pemurah” kepada kaum Cina ekoran perkembangan di Sarawak.
Sejak selepas pilihan raya umum 2008, arah aliran sokongan masyarakat Cina kepada BN tidak banyak berubah.
Pandangan agar BN bertindak ‘keras’ terhadap pengundi-pengundi Cina juga disaksikan selepas pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor awal tahun lalu.
Kerusi itu disrampas balik oleh BN, tetapi majoriti undi masyarakat Cina masih kekal di pihak pembangkang.
Saifuddin yang juga timbalan menteri berkata, “sebagai ahli parti BN, saya percaya kita telah melakukan yang terbaik untuk memenangi hati rakyat tanpa mengira kaum dalam setiap pilihan raya kecil termasuklah pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini.”
“YAB Perdana Menteri sendiri telah memperkenalkan pelbagai pendekatan baru dalam menawan hati rakyat semua kaum.
“Saya optimis sekiranya BN konsisten dengan usaha-usaha kita sekarang, BN akan memenangi semula hati rakyat semua kaum,” katanya.
Justeru soal Ahli Parlimen Temerloh ini, jika setiap pihak memilih untuk menyalahkan pengundi-pengundi terbabit khususnya masyarakat Cina, bagaimana parti-parti BN hendak berhadapan dengan mereka dalam pilihan raya akan datang.
“Bagaimana jika pada ketika itu mereka menempelak kita? Bagaimana jika kali ini mereka pilih pembangkang hanya sebagai protes sahaja, tapi, dek kerana cara negatif kita itu, maka mereka terus menerus pilih pembangkang kerana tindak-tanduk kita,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Bernama Online memetik Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, parti teras BN itu yakin masyarakat Cina di seluruh negara terutama di Pulau Pinang akan kembali menyokong BN dan terus mengukuhkan kedudukan parti itu sebagai parti pemerintah di Malaysia.
Katanya, walaupun sokongan daripada masyarakat cina ketika ini dilihat merosot, beliau yakin perkara itu tidak akan berpanjangan.
“Saya percaya orang cina adalah kumpulan masyarakat yang menghargai apa yang telah dibuat oleh kerajaan dan mereka juga antara yang menerima kemudahan kelas pertama kerana tinggal di bandar.
“Justeru, saya yakin dan positif terhadap orang Cina serta percaya mereka akan kembali menyokong BN kerana pandangan serta pemikiran mereka akan berubah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jamuan 1Malaysia anjuran Umno Bahagian Batu Kawan di Juru malam tadi.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa memberi kemudahan dan bantuan yang sama rata kepada semua kaum di negara ini.
Sharpshooter - Dalam tren politik versi veteran yang ada sekarang di Malaysia samada parti pemerintah atau pembangkang, stail yang dipilih atau teguran yang dibuat oleh Saifudin sebenarnya amat tidak disenangi oleh pemimpin utama umno.
Saifudin telah dilevel sebagai "Trojen Horse" oleh pemimpin umno dan blogger pro umno kerana banyak pendiriannya akhir-akhir ini dilihat bertentangan dengan pemimpin utama umno. Apa ertinya demokrasi jika semua perkara wajib angguk-angguk...geleng-geleng...ikut telunjuk...nampak gayanya hayat Saifudin tidak lama dalam politik umno....
Generasi muda dalam politik wajib membawa versi baru dalam dunia politik tanahair. Stail politik versi veteran yang tidak boleh ditegur, yang hitam disuruh kita kata putih, yang putih dipaksanya kita kata hitam, yang menipu disuruh kita ampu, yang menyeleweng disuruh kita sanjung, yang rasuah disuruh kita puja , yang bohong disuruh kita patuh...
Teringat Puisi Dato' Dr Siddiq Fadhil
Orang Kecil jika hidup.....dipersoalkan
Lebih baik jadilah orang besar
Orang Besar jujur-tak jujur makmur
Orang besar boleh bicara semuanya
Orang kecil jujur dibilang tolol
Orang kecil berani dikata kurang ajar
Orang kecil memperkatakan hak
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/