SharpShooter Followers

Saturday, April 18, 2015

KHAIRY JAMALUDDIN - HANYA SEKADAR TINGGAL HARAPAN


KENYATAAN MEDIA:
KHAIRY JAMALUDDIN - HANYA SEKADAR TINGGAL HARAPAN

Beberapa pemuda UMNO telah tampil mempertahankan Khairy Jamaluddin apabila saya bersama-sama anak muda #KitaLawan mempersoalkan kegagalan beliau dalam membela nasib golongan muda menghadapi GST.

Mereka mengatakan Khairy telah menunjukkan kebolehan memimpin melalui penganjuran program Fit Malaysia dan mengatakan #KitaLawan sekadar melakukan himpunan di jalan raya.

Kenyataan balas saya adalah seperti berikut:-

1. Hak berhimpun secara aman adalah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.#KitaLawan telah berhimpun dengan aman secara konsisten dan setiap himpunan direncanakan dengan mesej dan tuntutan anak muda yang jelas.

Anak muda memilih jalan raya kerana ruang media massa terus disekat sebagai alat propaganda pemerintah.

Khairy sendiri pada tahun 2008 telah mendesak kerajaan UMNO Barisan Nasional untuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi usaha baik pulih kebebasan bersuara. Malangnya,  tahun 2015 beliau merupakan sebahagian daripada pemerintah yang meluluskan pindaan Akta Hasutan yang akan lagi mengcekam kebebasan rakyat untuk bersuara dan juga POTA yang terdedah kepada salah guna oleh pemerintah.

Beliau sebagai Menteri muda yang kononnya mampu membawa perubahan adalah sekadar mengecewakan.

2. Jika penganjuran kempen hidup sihat 'Fit Malaysia' yang menelan kos yang tinggi dianggap sebagai pencapaian terbesar Khairy sebagai seorang Menteri, ini adalah amat memalukan. Adakah ini sahaja kemampuan beliau?

Selepas hampir dua tahun menjadi Menteri, beliau telah gagal sebagai seorang pemimpin muda untuk memberi halatuju, dasar atau mahupun menumpukan kepada pembangunan belia dan sukan. Prestasi sukan negara masih tidak menentu dan malah ada yang merudum jatuh.

Khairy sebelum menjadi Menteri sekurang-kurangnya berani menyuarakan pendapat yang berbeza dan kritis. Beliau seolah-olah kini hanya selesa mengikut kehendak Najib Razak bila mana krisis kepimpinan UMNO sedang menunggu retak menjadi belah.

Adakah beliau menunggu saat yang sesuai dan mengintai peluang untuk meneruskan cita-cita politik beliau?

3. Khairy mempunyai peluang untuk menyahut cabaran anak muda #KitaLawan yang mendesak agar GST terhadap segala jenis barang dan perkhidmatan yang berkaitan dengan sukan, rekreasi dan riadah dihapuskan. Apa gunanya beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan tetapi tidak merasai kesusahan yang dihadapi golongan muda.

Kalau beliau benar-benar jujur mahu memperjuangkan golongan muda, beliau seharusnya berani membawa desakan anak muda ini kepada Menteri Kewangan Najib Razak dan timbalannya Ahmad Maslan.

Jika tuntutan mudah seperti ini pun tidak mampu diperjuangkan, benarlah Khairy Jamaluddin hanya sekadar tinggal harapan.

AKMAL NASIR
Pengarah Strategi AMK Pusat
& Sekretariat Kita Lawan

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.