SharpShooter Followers

Monday, November 16, 2009

Guan Eng akan beri penjelasan isu kontroversi tanah 408..

Mesyuarat exco kerajaan negeri Pulau Pinang pada Jumaat ini akan membatalkan tahap kerahsiaan minit mesyuaratnya yang sebelum ini berhubung status sekeping tanah, yang kini menjadi kontroversi, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau berkata, dalam satu kenyataan hari ini, pendedahan minit mesyuarat berkaitan keputusan itu mampu memberi gambaran yang jelas tentang tujuan sebenar penukaran hak milik tanah daripada pegangan pajakan kepada hak kekal yang akan dibangunkan oleh PDC Heritage Hotel Sdn Bhd.

Sebelum ini, ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad, mendakwa Lim memberi maklumat salah kepada DUN Pulau Pinang apabila memaklumkan tiada pertukaran status pegangan tanah dibuat di negeri itu dari April hingga Jun tahun ini tetapi terdapat laporan menyatakan kerajaan negeri telah meluluskan permohonan untuk menukar tempoh pegangan secara pajakan kepada kekal.

Sebelum itu Ketua Menteri, Lim Guan Eng digesa memberi penjelasan berhubung status pemilikan tanah Lot 408 bersebelahan Hotel Eastern & Oriental di Georgetown yang didakwa telah ditukar oleh kerajaan negeri.

Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim berkata, sebagai orang nombor satu di Pulau Pinang, Guan Eng perlu tampil bercakap benar dan jujur selaras dengan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) yang kerap dilaungkan.

Tegasnya, semua wakil rakyat UMNO dan parti komponen BarisanNasional (BN) negeri ingin mengetahui kedudukan sebenar isu tersebut.

"Ia bukan satu perkara yang sukar, kalau ya kata ya, kalau tidak katakan tidak. Bukannya buat tak faham sahaja sedangkan isu ini telah dibangkitkan sebanyak dua kali.

"Semua 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN bersedia untuk membahaskan perkara ini pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula tidak lama lagi, kita semua nak tahu perkara sebenar.

"Isu ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana rakyat telah diberi fakta yang tidak tepat pada sidang DUN lalu dan ia sepatutnya tidak berlaku di dalam dewan yang mulia itu, jangan sembunyikan apa-apa maklumat,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi menggesa Guan Eng menjelaskan perkara sebenar berhubung isu tanah itu di pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di sini hari ini.

Semalam ADUN Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, Ketua Menteri boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan DUN pada sesi dewan akan datang sekiranya didapati berbohong.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan pada 1 November lalu melaporkan, ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad mendakwa Guan Eng menipu apabila menyatakan tiada pertukaran syarat guna tanah berlaku di antara April tahun lalu hingga Jun tahun ini.

Bagaimanapun, difahamkan, pentadbiran beliau telah meluluskanpermohonan PDC Heritage Hotel Sdn. Bhd. untuk menukar jenis pegangan tanah di Lot 408, Georgetown daripada pegangan pajakan kepada pegangan kekal pada 3 Jun lalu.

Akhbar itu pada Khamis lalu juga melaporkan syarikat tersebut dengankerjasama YTL Corporation Bhd. akan membina kondominium mewah dan restoran makanan laut di atas tanah tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan berkata, Ketua Menteri atau mana-mana wakil rakyat sekali pun perlu bertanggungjawab terhadap jawapan yang diberikan di dalam DUN.

Katanya, DUN sangat mulia dan merupakan tempat dasar-dasar kerajaan negeri digubal sekali gus maklumat yang diberi perlu tepat dan betul.

"Kalau sudah tahu ada kesilapan dibuat, maka adalah wajar bagi seseorang itu tidak kiralah siapa pun perlu bertanggungjawab, beritahu dan minta maaf.

"Kalau sengaja dilakukan dan enggan pula minta maaf ia adalah satu kesilapan, individu itu boleh dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan dan terpulanglah tindakan selepas itu,'' ujarnya.

Terdahulu, Guan Eng juga pernah memaklumkan kepada DUN bahawa kerajaan negeri masih menunggu untuk membawa dasar baru kepada mesyuarat Majlis Tanah Negara akhir tahun ini.

Bagaimanapun, Pejabat Daerah dan Tanah, Daerah Timur Laut mendapati pihak berkuasa negeri pada mesyuarat 27 Mei lalu dan disahkan 3 Jun lalu, meluluskan permohonan penyerahan dan pemberimilikan semula tanah mengikut Seksyen 197 dan Seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965 daripada PPH.

Berikutan itu, pelbagai pihak membidas Guan Eng kerana didakwa berbohong kepada DUN dan rakyat serta tidak seiring dengan pentadbirannya yang mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) serta mahu mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz.

Tanah milik PPH seluas 1.4 hektar yang terletak berhampiran Hotel E&O di sini, akan dibangunkan dengan kondominium mewah. Sebelum ini, tanah itu adalah tapak kuarters jabatan kerajaan.

PHH adalah syarikat usahasama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan YTL Hotels & Properties Sdn Bhd, masing-masing memiliki ekuiti 49 peratus dan 51 peratus. Kedudukan ekuiti syarikat itu kini sudah berubah.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/