Masa berlalu begitu pantas....sedar tak sedar sudah genap dua tahun pemergian seorang sahabat dan pejuang tulen, Mohd Sabri Bin Mat Salleh ke Rahmatullah.
Pemergiannya adalah kehilangan besar buat AMK P.Pinang terutamanya AMK Tasek Glugor. Beliau meninggalkan tiga orang anak.
Masih segar dalam ingatan.... ketika itu saya bersama sahabat-sahabat lain berada di Kuala Lumpur kerana menyertai perhimpunan BERSIH pada 10 Nov 2007. Selepas mendapat tahu akan berita kematiannya, kami terus bergegas ke rumahnya di Tasek Glugor.
Suasana sedih pilu menyelubungi pemergiannya. Isterinya yang merupakan seorang guru...begitu tabah menghadapi takdir ilahi.
Allahyarham Mohd Sabri memang bercadang untuk ke Kuala Lumpur menyertai perhimpunan BERSIH, tetapi beliau membatalkan hasratnya di saat akhir dan membawa keluarganya untuk mandi di air terjun Ulu Paip, Karangan, Kedah.
Beliau lemas setelah terkena 'kepala air' yang datang secara tiba-tiba. Kepalanya terkena batu hingga menyebabkan beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Terlalu banyak kenangan bersamanya dalam memperjuangankan keadilan. Beliau adalah satu-satunya pejuang yang konsisten menerbitkan risalah Keadilan Tasek Glugor setiap bulan dengan wang sakunya sendiri.
Ketika saya menjadi Ketua AMK P.Pinang pada tahun 2004 - 2007, saya melancarkan Program JEJAK FAKIR. Kami akan berkonvoi untuk pergi dari rumah ke rumah fakir miskin untuk menghulurkan sumbangan.
Mohd Sabri akan membawa isteri dan anak-anaknya untuk mengikuti Program JEJAK FAKIR AMK P.Pinang. Beliau memang gemar mengedar risalah dari rumah ke rumah.
Program JEJAK FAKIR menjadi acara tahunan AMK P.Pinang hinggalah kali terakhir pada tahun 2008.
Apabila kami bercadang untuk menghulurkan sumbangan pada isteri dan anak-anaknya, isterinya pula berkata "berilah pada mereka yang lebih layak menerimanya" malah isterinya juga turut memberi sumbangan RM1,000.00 kepada tabung JEJAK FAKIR.
Alhamdulillah program JEJAK FAKIR ini menjadi ikutan AMK yang lain seperti Negeri Sembilan dan Kedah.
Selepas PRU 12, Pakatan Rakyat berjaya menawan 5 buah negeri termasuk P.Pinang,
YB Yusmadi pula dilantik menjadi Ketua AMK P.Pinang yang penuh dengan kontroversi. Malangnya Program JEJAK FAKIR AMK P.Pinang yang menjadi acara tahunan dan 'trade mark' AMK P.Pinang....terkubur.....
Saya berdoa mudah-mudahan AMK P.Pinang diberi nafas baru....
Saya juga berdoa semoga arwah Mohd Sabri dan juga reformis serta pejuang-pejuang fisabilillah... ditempatkan bersama-sama orang beriman...Amin..Al-Fatihah..
Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/