SharpShooter Followers

Monday, November 09, 2009

PAS mulakan siasatan....

PAS memulakan siasatan berhubung amalan bai'ah yang dibuat oleh sesetengah pemimpin parti itu kerana tidak pernah ada sebarang arahan rasmi daripada PAS pusat untuk menceraikan isteri dengan talak tiga jika mereka keluar parti, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali.

Bagaimanapun Mustafa mengakui memang ada amalan bai'ah untuk memperlihatkaan taat setia kepada parti.

"Kita memang ada bai'ah untuk memberikan taat setia kepada parti sebelum kita melantik mana-mana pihak mewakili parti tetapi tidaklah sebagaimana yang dilaporkan itu," kata beliau dipetik Harakah Daily hari ini.

Sehubungan itu kata Mustafa, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga telah mengarahkan supaya siasatan dijalankan berhubung pendedahan bahawa parti itu mengamalkan amalan bai'ah bagi menceraikan isteri jika ada wakil rakyat yang memutuskan untuk melompat ke parti lain.

Pendedahan amalan itu mendapat perhatian banyak pihak dengan ada yang mengkritik ia amalan kuno dan tidak masuk akal.

Amalan sumpah taat setia dalam bentuk itu turut disahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman Jumaat lalu.

Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam menjelaskan, langkah itu bagi memastikan tiada mana-mana wakil rakyat mengkhianati parti dengan menyertai parti lain.

Khairuddin pula berkata, amalan bai'ah terhadap isteri mana-mana pemimpin PAS yang mengkhianati parti itu telah lama wujud.

Mustafa membuat kenyataan ini dengan merujuk kepada laporan media sejak kebelakangan ini yang mendakwa PAS mewajibkan calon-calonnya yang bertanding membuat ikrar sedemikian.

Pendedahan itu dikatakan mula tersebar selepas satu majlis dialog antara beberapa pimpinan PAS di Selangor dengan sembilan blogger baru-baru ini.

Manakala Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat Zulkifli Noordin bimbang sokongan kepada PAS akan merosot ekoran pendedahan bahawa parti itu mengamalkan sumpah taat setia bai'ah yang memerlukan isteri dicerai talak tiga sebagai langkah menghalang wakil rakyatnya dari melompat parti.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu ini berkata, walaupun amalan bai'ah dibenarkan oleh Islam, tetapi tidak wajar isteri seseorang wakil rakyat atau pemimpin dijadikan "bahan tebusan."

"Saya sedar bahawa bai'ah adalah sesuatu yang dibenarkan syariat. Malah Nabi sendiri pernah mengambil bai'ah daripada para sahabat.

"Tetapi dalam isu ini asas bai'ah yang diangkat ialah dengan menjadikan isteri dan perkahwinan sebagai bahan tebusan. Mengapa isteri iaitu pihak ketiga dalam hubungan di antara calon dengan partinya menjadi mangsanya?

"Bagaimana pula dengan anak-anak yang turut akan menjadi mangsa?

"Soal sama ada calon tersebut benar-benar melompat parti atau tidak tidak timbul. Soal sama ada perceraian benar-benar berlaku atau tidak bukan isunya," kata beliau dalam blognya.

Tetapi soalnya ialah mengapa kesucian, kemurniaan dan kemuliaan rumah tangga dijadikan tebusan bagi bai'ah politik ini, tambah beliau dengan mengambil pendirian memisahkan dirinya dalam isu ini.

Amalan sumpah taat setia dalam bentuk itu turut disahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman baru-baru ini.

Khalid menjelaskan, langkah itu bagi memastikan tiada mana-mana wakil rakyat mengkhianati parti dengan menyertai parti lain.

Khairuddin pula berkata, amalan bai'ah terhadap isteri mana-mana pemimpin PAS yang mengkhianati parti itu telah lama wujud.

Sehubungan itu dalam tulisannya, Zulkifli menambah, PAS perlu menimbangkan bai'ah dalam bentuk lain, antaranya sumpah laknat.

"Mengapa tidak dibuat bai'ah dalam bentuk lain. Contohnya bai'ah saperti sumpah laknat iaitu saperti: 'Wallahi, watallahi, wabillahi. Saya (polan bin polan) calon bagi kerusi (sekian sekian) dalam pilihan raya ke-12 ini dengan ini bersumpah jika saya memenangi kerusi ini dan kemudiannya keluar dan tidak lagi menjadi ahli PAS atas apa sebab sekalipun, maka saya akan mengosongkan kerusi tersebut serta merta, jika tidak laknat Allah ke atas saya'," jelas Zulkfili, yang lazimnya memberikan komen-komen lantang dalam isu agama.

"Saya cukup yakin mana-mana calon akan berfikir banyak kali jika ia bercadang nak melompat parti dengan bai'ah seperti ini," katanya.

Tambah beliau, "saya khuatir dengan isu seperti ini, mereka yang menyokong PAS selama ini akan menjadi ragu-ragu, malah akan menukar sokongan mereka. Sudah tentu kekhuatiran ini berasas."

Bagaimana rakyat hendak meletakkan harapan dan kepercayaan untuk memerintah negara jika seseorang pemimpin sanggup menggadai dan menjadikan isteri dan perkahwinan sendiri sebagai gadaian politik, soal beliau.

Oleh itu tegasnya, "apakah kelak bila menjadi Kerajaan Persekutuan dan memerintah maka semua pegawai dan kakitangan kerajaan akan dipaksa berbai'ah menceraikan isteri mereka jika tidak taat kepada Kerajaan."

"Saya lebih terkejut apabila diberitahu bahawa dasar bai'ah talak tiga ke atas isteri ini diluluskan dan direstui oleh kepimpinan sendiri. Apakah ini benar?

"Beberapa orang kepimpinan yang ditanya mengesahkannya. Saya masih lagi berharap maklumat ini tidak benar, tetapi jika ini benar saya sudah kehilangan ayat dan perkataan untuk menggambarkan perasaan dan pandangan saya," ujar Zulkifli lagi.

Oleh itu katanya, beliau berharap Majlis Syura dan Dewan Ulama PAS segera memperjelaskan isu bai'ah talak tiga ini.

"Dan saya berharap tidak muncul sindrom malaikat bisu di kalangan mereka dalam menangani kemelut ini," katanya.

Malah beliau juga menyeru Dewan Muslimat PAS menyatakan pendirian mereka dengan jelas dalam isu tersebut.

"Saya berharap Dewan Muslimat akan mengambil langkah yang tegas dan berani untuk mempertahankan hak para isteri dan wanita Islam," katanya sambil menambah, Majlis Fatwa Kebangsaan juga perlu segera bermesyuarat untuk membincangkan sama ada amalan bai'ah seperti ini dibenarkan.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/