Salam Ramadhan Al-Mubarak buat semua pembaca blog Sharpshooter, semoga anda semua masih diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk meningkatkan amal ibadah terutamanya di 10 terakhir bulan ramadhan ini.
Begitu cepat Ramadhan berlalu, kini kita telah berada di 10 terakhir Ramadhan, sepertimana kita ketahui di 10 terakhir Ramadhan Rasulullah SAW meningkatkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf dan Baginda juga tidak lupa mengejutkan semua ahli keluarganya untuk bersama beribadah dengannya.
Setelah melalui ibadah puasa selama 20 hari ini, pernahkah kita bertanya kepada diri, apakah selama 20 hari berpuasa, kita benar-benar menjadi hamba Allah yang bertaqwa atau sebaliknya ?
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW apabila masuknya sepuluh malam terakhir (Ramadan) baginda menghidupkan malam, baginda mengemaskan kainnya dan baginda mengejutkan isterinya (yakni tidak bersama dengan isteri).
Hadis ini menceritakan kepada kita bagaimana Nabi SAW bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah meskipun baginda tidak melakukan dosa. Namun baginda telah memberikan satu contoh tauladan yang baik kepada umatnya di dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadan.
Panduan yang diberikan oleh baginda ini menggambarkan betapa tinggi nilainya saat yang kita lalui sekarang. Menjadi suatu yang amat malang sekiranya kita semakin lemah dan cuai dalam melakukan ibadah meskipun Ramadan semakin hampir meninggalkan kita.
Imam Muslim juga meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a berkata: Bahawa Nabi SAW bersungguh-sungguh (beribadat) pada 10 malam terakhir tidak seperti mana (di bulan) selainnya.
Contoh yang ditinggalkan kepada kita oleh baginda SAW wajar dijadikan pedoman di dalam mengisi hari-hari terakhir Ramadan ini. Sepatutnya waktu ini tidak dihabiskan dengan menonton televisyen atau mengunjungi pusat-pusat membeli belah. Kerana inilah fenomena yang sering kita lihat.
Malah yang lebih mendukacitakan ada dikalangan masyarakat kita terutamanya muda-mudi yang beragama Islam keluar malam ke ibu kota dan ke taman-taman untuk berdua-duaan dan bermadu kasih tanpa rasa bersalah dan malu. Apatah lagi untuk menghormati bulan yang mulia ini….
Sepatutnya ibu bapa hendaklah mengambil berat soal membudayakan suasana ibadah terutamanya 10 malam terakhir Ramadhan ini. Anak-anak memerlukan didikan dan panduan dari ibu bapa.
Sebaliknya jika ibu bapa pun turut serta mengabaikan ibadah sepanjang 10 terakhir Ramadhan ini, maka tidak hairanlah anak-anak juga tidak berminat untuk mengerjakan solat terawih, malah mereka datang ke masjid atau surau bukan untuk solat, tetapi membuat bising dan bermain mercun. Ini boleh menganggu para jamaah untuk menunaikan solat terawih.
Justeru itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan lagi amal ibadah menjelang penghujung ramadhan ini kerana di dalamnya ada satu malam yang sangat istimewa iaitu malam lailatul qadar dan ianya menjadi rebutan para hamba-hamba Allah yang beriman dan bertaqwa.
” Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan, Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan “. (al-Qadr: 1-3)
Malam al-Qadr sengaja dirahsiakan oleh Allah Taala sebagai satu ujian kepada umat Islam di dalam mencari rahmat dan kasih-Nya. Bagi mereka yang benar-benar beriman keghairahan mencari reda Allah menjadikan mereka begitu teruja meningkatkan pencarian ganjaran berlipatganda yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Sebaliknya bagi mereka yang alpa dan lupa, saat-saat ini seringkali dipenuhi dengan aktiviti persiapan hari raya yang menyibukkan mereka hingga terlupa untuk beribadah dan promosi istimewa pelepasan azab neraka yang dijanjikan oleh Allah di penghujung Ramadan.
Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ialah :
- Menghidupkan malam dengan solat malam seperti tahajud, hajat, taubat dan juga berzikir kepada Allah.
- Digalakkan juga supaya mengejutkan ahli keluarga supaya bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah.
- Ibu bapa wajar mengajak anak-anak yang sudah dewasa khususnya bersama berqiamullail dan jangan biarkan mereka lena.
- Bagi suami isteri pula 10 malam terakhir tidak digalakkan untuk bersama kerana Nabi SAW diberitakan bahawa baginda mengemaskan ikat kainnya yakni tidak bersama dengan isteri kerana disibukkan dengan amal ibadah.
- Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadan ini iaitu dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadat kepada Allah. Kata Imam Az-Zuhri: Maksudnya: “Suatu yang pelik bagi kaum muslimin mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Nabi SAW tidak pernah meninggalkannya semenjak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga ia meninggal dunia”.
Dengan demikian, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri, dan mempertingkatkan amal ibadah mudah-mudahan kita dipermudahkan oleh Allah SWT untuk melakukan amalan-amalan khususnya 10 malam terakhir Ramadhan Al-Mubarak ini agar kita menjadi hamba Allah SWT yang bertuah di dunia dan di akhirat.
Selamat menjalani ibadah puasa dan amalan yg lain pada 10 malam terakhir, marilah kita bertaubat dan memburu malam Lailatul Qadar, semoga kita diampunkan oleh Allah...Ramadhan tahun depan belum tentu kita dapat bertemu lagi...Maaf Zahir dan Batin...
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Din Sharpshooter
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/