Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam surat terbukanya kepada rakyat negeri itu hari ini berkata, pelaksanaan projek itu adalah demi kemajuan ekonomi negeri dan mengatasi kesesakan lalu lintas pada masa depan.
"Kerajaan negeri juga terpaksa menjelaskan dakwaan mengelirukan oleh sesetengah NGO dan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang menentang cadangan projek berkenaan yang dianugerahkan melalui tender terbuka yang kompetitif pada harga RM6.3 bilion.
"Saya harap usaha "terdesak" kerajaan negeri selama lima tahun sebelum ini dapat mengatasi kesesakan lalu lintas dalam kawasan pulau serta aliran lalu lintas di kawasan Seberang Perai, termasuk membina sistem trem yang paling sesuai untuk Pulau Pinang kerana George Town adalah Bandar Warisan Dunia UNESCO.
"Sekiranya PR memenangi kuasa di Putrajaya, PR akan cadangkan sistem trem di seluruh negeri bagi menghubungkan Pulau dan Seberang Perai. kerana monorel yang dicadang BN tidak sesuai untuk bandar warisan dunia seperti Pulau Pinang, dan strukturnya yang ditinggikan akan merosakkan keindahan Pulau Pinang.
"Kerajaan negeri Pulau Pinang bertindak tegas mengambil keputusan untuk memperluaskan rangkaian jalan raya dengan membina jalan alternatif di kawasan paling sesak menghubungkan Seberang Perai dan Pulau bagi merapatkan jurang antara kedua-dua kawasan itu serta memastikan Seberang Perai Utara tidak ketinggalan dalam pertumbuhan ekonomi," katanya.
Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, projek berkenaan diumumkan pada 2011 dan tender dikeluarkan untuk membina terowong bawah laut sepanjang 6.5km yang menghubungkan Gurney Drive ke Bagan Ajam, jalan raya berkembar 12km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, jalan pintas 4.2km yang menghubungkan Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan jalan pintas 4.6km yang menghubungkan lebuhraya itu ke Bandar Baru Air Itam.
"Kerajaan negeri menganugerahkan projek itu kepada Consortium Zenith BUCG, sebuah syarikat kegunaan khas ditubuhkan dengan usahasama di antara syarikat tempatan Construction Zenith, China Railway Construction Corporation Ltd (CRCC) bersama Beijing Urban Construction Group, Sri Tinggi Sdn Bhd serta Juteras Sdn Bhd. Beijing Urban Construction Group adalah sebuah syarikat pembinaan utama dari negara China yang berpengalaman membina Stadium Olimpik "Sarang Burung" Beijing, dan CRCC membina kebanyakan landasan kereta api di China termasuk landasan kereta api yang tertinggi ke Tibet. Semua syarikat itu bukan syarikat RM2 seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Manakala projek monorel BN tidak akan menjadi kenyataan walaupun BN menang di Pulau Pinang kerana monorel tidak akan diizinkan oleh UNESCO dan pembinaannya akan mengakibatkan kehilangan taraf Bandar Warisan Dunia UNESCO tambahan BN tidak pernah menepati janji termasuk yang dibuat mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2006 dan diikuti Najib.
"PR juga menolak cadangan mengenakan caj kepada semua kenderaan yang memasuki George Town, Pulau Pinang kerana komited kepada pergerakan bebas orang dari dalam dan luar negeri Pulau Pinang. Amalan "model Singapura" untuk mengurangkan kesesakan trafik adalah elitis kerana menghadkan George Town kepada penghuni sedia ada adalah diskriminasi kerana hanya orang berada dapat memasuki George Town, Pulau Pinang," tambahnya.
Menurutnya, kontrak rasmi projek itu masih dibincangkan dan dijangka akan ditandatangani dalam beberapa bulan akan datang selepas pilihan raya dan projek itu tidak akan diteruskan jika ditolak rakyat.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone