|
JINGGA 13 Malaysia diketuai oleh Ketua Koordinator, Cikgu Fariz Musa bersama 15 sukarelawan NGO itu, telah berlepas ke Kelantan dalam melaksanakan Misi Prihatin untuk menyampaikan bantuan yang diterima daripada orang ramai kepada mangsa-mangsa banjir di negeri tersebut.
Lori 10 tan yang sarat dengan muatan bantuan kemanusiaan berlepas dari Shah Alam pada jam 8 malam. Difahamkan, semua bantuan kemanusiaan dikumpulkan melalui satu aktiviti pengumpulan bantuan daripada orang ramai yang dilaksanakan oleh NGO ini.
Difahamkan juga, selain sumbangan orang ramai, pihak kerabat diraja Selangor turut menghulurkan sebahagian besar bantuan kepada Jingga 13 untuk diagih-agihkan kepada mangsa banjir yang memerlukan.
Bantuan kemanusiaan tersebut terdiri daripada bahan makanan, pakaian serta ubat-ubatan dan barangan keperluan harian seperti lampin pakai buang, dan tuala wanita.
Team Prihatin Jingga 13, tiba di lokasi sebuah bengkel motorsikal di Kota Bharu Kelantan, yang dijadikan Pusat Operasi Misi Prihatin (Banjir) Jingga 13 Malaysia. Di sini barang-barang bantuan dipunggah dan diturunkan sebelum proses agihan dilakukan kepada golongan sasaran.
Laporan Misi Prihatin (Banjir) Jingga 13 Malaysia
— 31 Disember 2014.
Jingga 13 berharap semua mangsa terus bersabar menghadapi ujian ini, semoga dengan sedikit sumbangan ini dapat meringankan bebanan mangsa banjir. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya...