Letupan bom jangka itu pertamanya berlaku sekitar jam 11.00 pagi sewaktu orang ramai mula menderu keluar meninggalkan perkarangan mahkamah.
Bom yang diletakkan dalam kon Polis Diraja Malaysia itu
telah menyebabkan kerosakkan teruk terhadap beberapa buah kereta yang
diparkir berhampiran.
Letupan kedua dan ketiga berlaku selang lima belas minit dan mencederakan Zuhairi Mansor yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Jingga 13 mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang disifatkan terburuk dalam sejarah negara Malaysia apatah lagi keadaan pada waktu itu dipenuhi dengan ratusan anggota polis beruniform dan juga yang
berpakaian preman.
Persoalan asas adalah siapa yang bertanggungjawab
terhadap insiden keganasan yang berlaku itu dan apakah motifnya?
Letupan itu berlaku hampir setengah jam selepas rakyat merayakan keputusan membebaskan Dato Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan liwat yang dikemukan kepadanya. Amatlah meragukan dan mustahil apabila kumpulan besar rakyat yang menyokong dan merayakan kemenangan itu,
bertindak negatif dengan meletupkan bom jangka yang hampir-hampir
meragut nyawa orang awam serta berlaku dalam jangka waktu yang seperti dirancang iaitu bertepatan dengan waktu orang awam keluar dari perkarangan mahkamah.
Justeru Jingga 13 yakin perbuatan itu mempunyai
dalang dan motif-motif tertentu untuk mewujudkan kekacauan.
Adakah insiden ini mahu dijadikan sebagai alasan untuk menyokong
perlaksanaan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 dan juga sekaligus membina impak negatif terhadap imej pembangkang menjelang Pilihanraya Umum ke 13?
Pakatan Rakyat diketahui dengan kemampuan
untuk mobilisasi pergerakkan rakyat membantah akta-akta dan perlakuan zalim kerajaan semenjak sekian lama dan apakah ini bertujuan mengekang kebangkitan rakyat ke jalanraya yang nyata semakin mendapat tempat dalam sebarang bantahan umum?
Walaupun reaksi Polis Diraja Malaysia amat pantas dengan bertindak menutup lokasi kejadian, Jingga 13 mendesak satu tindakan lebih proaktif dan cekap bagi mengesan dalang dan motif kejadian.
Perkara ini tidak boleh dipandang remeh tetapi segera harus menjadi keutamaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Kementerian Dalam Negeri serta PDRM bagi membina semula keyakinan
rakyat dan keselamatan negara. Keganasan bukanlah budaya rakyat kita
dan wajar dihapuskan segera.
Jingga 13 meyakini kejadian letupan ini mempunyai signifikasi sebelum
dan selepas kejadian. Pembinaan persepsi politik dan keselamatan
menjadi masa depan hayat pemerintah sejak dulu di mana-mana negara
sekalipun. Tetapi, tindakan memperjudikan nyawa rakyat telah sampai
kepada keadaan di luar batasan.
Letupan itu kali ini hanya
mencederakan, namun tidak mustahil boleh membunuh nyawa rakyat yang tidak berdosa dan lebih teruk bakal menjerumuskan kita ke kancah kecelakaan yang lebih dahsyat.
Jingga 13 menolak keganasan dan sebarang tindakan yang brtujuan
melonjak ke arah menjejas keamanan. Jingga 13 meminta agar pihak Polis
Diraja Malaysia menyiasat insiden tersebut yang dianggap sudah melampau demi keselamatan rakyat agar mereka yang melakukan tindakan
jenayah tersebut dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi dengan hukuman
yang seberat-beratnya.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone