SharpShooter Followers

Thursday, January 12, 2012

Malik terharu dengan keprihatinan Mansor Othman

Saudara Abdul Malik (dua dari kanan) terharu dengan kunjungan dan prihatin ditunjukkan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman

MENZIARAHI MANGSA KEBAKARAN

KAMPUNG KUBANG ULU: Kunjungan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, membuatkan mangsa kebakaran di Kampung Kubang Ulu, Penanti, Abdul Malik Ahmad, 42, berasa sebak dan terharu.

Ini kerana, keprihatinan Mansor, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti itu menyentuh perasaan Abdul Malik yang kini hilang tempat berlindung ekoran rumah dua tingkatnya hangus dalam kebakaran pada Selasa lalu kira-kira jam 11 malam.

Menurut Abdul Malik, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana bekerja manakala isterinya, Natitah Ibrahim, 37, dan dua anak mereka, Muhammad Imran, 9, dan Fitri Umi Azira, 4, menumpang tidur di rumah saudaranya yang berdekatan.

"Walaupun rumah musnah bersekali dokumen lain seperti surat beranak dan sijil nikah, namun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat. Saya berasa sedih atas kejadian ini namun menerimanya sebagai takdir.

"Kehadiran Yang Berhormat Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor, yang memberi kata perangsang menghidupkan semula semangat saya. Biar pun sibuk dengan urusan pentadbiran negeri, beliau masih sempat menjenguk dan bertanya khabar selain menyampaikan bantuan serta-merta terhadap kami sekeluarga.

"Apa yang kami mampu lakukan ialah mengucapkan terima kasih atas jasa baik dan sikap murni yang ditunjukkan kerajaan negeri melalui Datuk (Mansor)," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mansor, berkata bantuan disalurkan kepada Abdul Malik melalui agensi kerajaan negeri seperti Pusat Urus Zakat dan Pejabat Daerah Seberang Prai Tengah.

"Dasar kerajaan negeri melalui wakil rakyat adalah membantu komuniti sesuatu penempatan yang dtimpa musibah. Peranan ini akan terus dilakukan kerana ia menjadi tanggungjawab kerajaan negeri yang mengamalkan pengurusan cekap, telus dan berkredibiliti," katanya.

Mansor, yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa, Pengurusan Koperasi dan Perhubungan Masyarakat, memuji dan mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti yang melakukan tugas dengan berkesan.

Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/