Penerangan KEADILAN Selangor terpanggil untuk memberikan sedikit kenyataan terhadap YBhg. Dato' Dr. Hasan Mohd. Ali dalam beberapa liputan media kebelakangan ini. Kenyataan ini pastinya adalah pendirian yang dilahirkan setelah sekian lamanya tersimpan hingga "senak terasa di perut!. Hendak di buang 'angin bimbang berbau busuk, hendak di tahan sakit sudah melata ke dada'.
Saya percaya Dato' adalah seorang yang istimewa. Saya sendiri, malah ramai rakan-rakan saya bersetuju bahawa Dato' mempunyai kelebihan dan perwatakan yang menarik, petah dan tegas. Namun saya juga mempercayai bahawa Dato', dengan sesungguhnya tanpa ragu ragu, mempercayai bahawa Dato' sendiri terlebih-lebih istimewa.
Perkara ini dapat disimpulkan dalam pelbagai tindakan, ulasan dan gaya Dato' sehingga kini, terutamanya apabila melihat isu pertelagahan 'dalam kain' antara pimpinan Parti Islam SeMalaysia ("PAS") di Selangor.
Saya tidak begitu 'berani' mempersoalkan pentadbiran dalaman sahabat seperjuangan PAS dalam menangani isu ini kerana 'amat hormatkan saudara tua', namun apabila saya terlihat temubual Dato' agar adik-adik siswa dan siswi menjauhkan diri daripada menghadiri hari 'penultimate' Dato' Seri Anwar Ibrahim, Penerangan KEADILAN Selangor tidak terdaya lagi menahan jari untuk menulis kenyataan ini dengan menyatakan 'perasaan menyampah sangat' dengan tindakan Dato'.
Apakah siswa dan siswi akan secara otomatisnya gagal dan mencapai CGPA yang rendah apabila memperjuangkan kebenaran dan keadilan? Apakah perjuangan hanya digalas oleh mereka yang berintelek dan berijazah daripada Universiti Pittsburgh?
Secara tidak langsungnya Dato' telah menghina mereka yang turut merasakan kezaliman rejim UMNO dan BN dan mereka yang dianiaya tanpa pembelaan sewajarnya.
Umum mengetahui bahawa di Malaysia ini 'justice is only available to those who could afford it' dan sekiranya manusia Anwar Ibrahim ini dapat menyatukan rakyat untuk menyatakan tidak kepada kes fitnah 2 tanpa bukti kukuh, dan membelakangi undang-undang Syari'ah kepada kedudukan 'second-tier', apakah salahnya mereka hadir untuk menyatakan dan menzahirkan sokongan mereka?
Sekurang kurangnya sebagai sokongan moral kepada Anwar Ibrahim: simbol kepada mangsa fitnah berterusan!
Pencapaian akademik tidak selama-lamanya merupakan pre-requisite kejayaan kerana 'otak tanpa ruh Islam' akan menyebabkan keruntuhan akhlak para genius Melayu sepertimana berlaku sekarang di United Kingdom dan Eropah.
KEADILAN Selangor hairan, Dato' seolah-olah terperangkap dengan hujah 'counter-intelligence' UMNO bahawa isu ini hanyalah isu peribadi. Sebenarnya Dato', isu ini adalah isu nasional. Buktinya adalah perjuangan beliau dan rakan-rakan semuanya berlandaskan kepentingan rakyat.
Polisi Pakatan Rakyat dimodelkan atas premis primer ini dan kini Rakyat dapat merasakan hasil titik peluh mereka sendiri walau dinafikan oleh UMNO selama ini.
Sedangkan UMNO dan PDRM sendiri menyatakan bahawa ini melibatkan keselamatan persekutuan! Bagaimana Dato' boleh mengatakan ia peribadi?
Parti Keadilan Rakyat telah menunjukkan solidaritinya bersama PAS dan Pakatan Rakyat apabila mengheret ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dan menyingkirkannya walaupun dalam keadaan genting. Namun tindakan Dato' Cuma menambahkan derita dengan tidak menggalakkan secara terbuka (melalui RTM dan TV3 juga) agar tidak hadir ke Mahkamah.
Apakah Dato' sebegitu buta hati terhadap masalah Dato' Seri Anwar Ibrahim ("DSAI")? Apakah sebegitu gelap dan jijik pandangan Dato' terhadap DSAI? Bukankah isu DSAI itu sendiri membantu Dato' mendapat kemenangan dalam pilihanraya yang akhirnya menjayakan Dato' menduduki kerusi empuk di Bangunan SSAAS Shah Alam?
Inilah padahnya jika 'terlalu kerap terlewat hadir di taklimat dan mesyuarat yang diadakan'. Saya percaya Dato' tertinggal semua taklimat penting hingga Dato' tenggelam punca.
Tindakan Dato' seolah-olah menyatakan bahawa sesiapa sahaja boleh menuduh zina kepada mana-mana Rakyat dan kita harus mendiamkan diri. Tindakan ini adalah tindakan pengecut, pentingkan diri sendiri dan kebas terhadap penderitaan mereka yang difitnah.
Dato' juga sebegitu pasif dan naïf dalam membuat kenyataan. Dato' sehingga hari ini gagal menjawab Harakah berkenaan dakwaan Dato' bahawa pertemuan Dato' bersama Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan adalah berkenaan permohonan maaf. Apabila kes diumumkan tutup, Dato' tanpa segan silu menggunakan media UMNO lagi untuk membuat serangan selanjutnya.
Apakah sebegitu dendam Dato' sehingga sanggup membakar rumah sendiri? KEADILAN Selangor yakin Dato' sudah 'terkena sesuatu'.
YB. Dato' Hasan, sama ada setuju atau tidak Dato' kini merupakan liabiliti kepada Pakatan Rakyat. Dato' mungkin merasakan Dato' berjuang berlandaskan jalan Allah SWT namun saya ingin Dato' bermuhasabah diri sendiri dan bertanya sama ada Dato' benar-benar dipihak yang benar atau benar-benar keliru.
Kedua-duanya lain dan melihat tindakan Dato' yang terkini, seolah-oleh Dato' menyatakan bahawa Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tersilap dan tersasar. Apakah Dato' sebegitu fasih, qatam dalam agama sehingga sanggup menyatakan sedemikian?
Sejak bila Islam dan Melayu itu satu Dato'? Islam tidak memerlukan Melayu malah Melayu dan manusia amnya yang memerlukan Islam. Menyatukan keduanya adalah sesuatu yang jahil melihatkan kepada kes perkahwinan jantina sejenis bersongkok dan keruntuhan moral anak bangsa diluar Negara kini.
Saya menyeru agar Dato' jangan terlalu mengikut perasaan. Masa Dato' untuk menjadi Menteri Besar masih ada. Jangan kita merajuk sampai terlupa kita sebenarnya membakar rumah kita sendiri. Masih ada ruang 'untuk berjiwa besar' dengan menoleh sejenak ke belakang. Apakah langkah Dato' sederap dengan pimpinan, atau ia semakin sumbang? Dato' lebih mengerti dengan maksud 'kura kura dalam perahu'.
Saya memohon maaf sekiranya tulisan saya menyakiti hati dan perasaan Dato'. Sesungguhnya tulisan, ucapan dan tindakan Dato' telah melukakan hati saya dan ramai teman seperjuangan yang lain termasuk Dato' Sri Anwar
dan keluarganya. Dalam keadaan mereka memerlukan, sekurang-kurangnya janganlah kita merendahkan moral dan menjatuhkan lagi semangat mereka yang mungkin perlu dipaksa berpisah lagi sekali dan berhubung hanya melalui jeriji besi.
Sila bayangkan sekiranya perkara yang sama berlaku kepada Dato'.
Shuhaimi Haji Shafiei
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor /
ADUN Sri Muda