GEORGETOWN - Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Georgetown setelah didapati bersalah mendera pembantu rumahnya tahun lalu.
S Poongavanam, 37, didapati bersalah mendera Win Faidaa, 26, menggunakan seterika 4 September 2010 iaitu pada jam 1 petang di rumahnya di Jalan Penawar 1, Sri Wang 1, Jelutong.
Mengikut kertas pertuduhan, Poongavanam yang diwakili peguam, S Yagoo didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah kepada Win Faidaa menggunakan satu alat yang jika digunakan sebagai satu senjata, boleh mendatangkan kecederaan parah atau kematian.
Dalam rayuannya, S Yagoo meminta mahkamah mengenakan hukuman minimum dengan mengambil kira beberapa faktor iaitu tertuduh perlu menguruskan keluarga dengan empat anak yang berusia 6, 7, 12 dan 16 tahun selain menghidap penyakit darah tinggi.
“Saya mewakili tertuduh meminta hukuman dikurangkan kerana anak guam saya tidak mempunyai niat untuk mendatangkan kecederaan terhadap mangsa. Ini kerana, ketika kejadian, dia berada di dalam tekanan perasaan dan marah kerana mangsa cuba menggoda suaminya.
“Dari keterangan mangsa, majikannya memberi layanan yang baik pada awal dia bekerja. Ini jelas menunjukkan tertuduh tidak berniat untuk melakukan perkara itu kepada mangsa. Jika mangsa dipenjara dalam tempoh yang lama, ia akan menyebabkan seluruh keluarganya terjejas kerana dia bertanggungjawab menguruskan segalanya,” katanya.
Hakim Sitarun Nisa Abdullah menjatuhkan hukuman itu setelah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Firdaus Abu Hanipah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan alasan kecederaan itu membuatkan mangsa trauma selain memusnahkan harapannya ke negara ini untuk mencari rezeki demi menampung perbelanjaan di kampung.
“Saya mohon mahkamah mengambil kira alasan yang dikemukakan iaitu perbuatan tertuduh terhadap mangsa seperti binatang dan menyebabkannya trauma. Memandangkan tertuduh mempunyai empat anak, tidakkah tertuduh memikirkan apa yang dirasai ibu mangsa apabila mengetahui anaknya diperlakukan begitu sedangkan saya pasti tertuduh juga mempunyai perasaan yang sama terhadap anaknya,” katanya.
Sitarun berkata, setelah mendapati semua bukti yang dikemukakan melampaui keraguan yang munasabah, S Poongavanam dipenjara lapan tahun dan denda RM20,000 dan jika tertuduh gagal membayarnya, penjara enam bulan akan dikenakan.
Berita tahun lalu tentang kes amah tersebut yang didera....
Selasa, September 21, 2010
Beginikah kelakuan rakyat Malaysia?
NGERI...kesan kecederaan yang dialami pembantu rumah
GEORGETOWN: Dera, rogol dan campak. Itulah tiga tindakan kejam dipercayai dilakukan sepasang suami isteri terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia sebelum ditahan
Majikan tidak berperikemanusiaan itu kemudian meninggalkan mangsa sendirian di kawasan ladang di Taman Cenderawasih tanpa dokumen pengenalan diri.
Bagaimanapun, keesokannya mangsa diselamatkan orang ramai pada jam 10.30 pagi sebelum diserahkan kepada anggota polis Nibong Tebal untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, polis pada mulanya menghadapi kesukaran apabila mangsa gagal memberitahu alamat rumah majikannya dan hanya memaklumkan bahawa rumah itu terletak di kawasan Jelutong.
Katanya, mangsa mendakwa bekerja dengan majikannya sejak tujuh bulan lalu dan sepanjang tempoh itu dia tidak dibayar gaji manakala sejak Mei lalu dia sering didera termasuk dipukul di kepala, disiram air panas di belakang badan serta dilecurkan dadanya menggunakan seterika elektrik.
“Siasatan lanjut mendapati banyak kesan kecederaan dan bengkak serta lebam di beberapa bahagian badan mangsa yang juga mendakwa dirogol empat kali oleh majikannya di rumah.
“Hasil pemeriksaan doktor turut mendapati ada kesan koyakan pada kemaluan mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL), di sini, semalam.
Gan berkata, susulan kejadian itu dan hasil maklumat awam, polis menyerbu sebuah pangsapuri di Blok 75, Jalan Penawar Satu, Sri Wangsa Satu, Jelutong, di sini, dan menahan sepasang suami isteri berusia 41 tahun dan 36 tahun yang mempunyai empat anak.
Katanya, majikannya bekerja sebagai kontraktor memotong rumput dan siasatan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah iaitu dua rekod kesalahan dadah dan satu kes jenayah manakala isterinya suri rumah.
“Polis turut menemui seterika elektrik dipercayai digunakan untuk mendera mangsa selain merampas satu tali pinggang, cadar dan lapik tilam mangsa serta sebuah kereta jenis Toyota Camry yang digunakan untuk meninggalkan mangsa di kawasan ladang di Nibong Tebal.
“Hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku mendera mangsa dan suspek lelaki juga mengaku merogol mangsa beberapa kali di rumahnya,” katanya.
Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 376 kanun sama iaitu rogol dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun atau tidak melebihi 20 tahun atau sebatan,” katanya.
Gan berkata, mangsa kini berada di Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan dan pasangan suami isteri itu akan direman untuk siasatan lanjut, manakala polis memaklumkan kejadian itu kepada Konsul Jeneral Indonesia di Malaysia.
Sharpshooter - Sebenarnya banyak kes-kes amah Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia tetapi ada di antara mereka yang didera, tidak dibayar gaji dan ada pula yang menjadi mangsa rogol oleh majikan termasuk Pak Menteri.
Mereka juga manusia yang hanya menumpang di bumi bertuah Malaysia untuk mencari makan sesuap nasi. Kita tidak juga menafikan ada juga di antara amah ini yang tidak bertanggung jawab mendera anak majikan mereka.
Kesimpulannya mudah, siapa juga yang bersalah mereka wajib dihukum. Sharpshooter yang berkhidmat sebagai wali hukum mewakili Zon Utara pernah menguruskan kematian warga Indonesia yang mati dibunuh.
Sharpshooter paparkan kembali pengalaman yang tak mungkin sharpshooter lupakan pada tahun 2009...
Jumaat, Februari 19, 2010
Misteri
Saya mahu berkongsi pengalaman menyiasat dan menguruskan mayat ngeri seorang warga Indonesia yang dijumpai mati dalam Dun Bukit Tengah.Mayat ini dijumpai pada 11 Disember 2009 di Taman Asas Murni jam 10 malam. Biarlah saya rahsiakan nama dan no passportnya.
Beliau dipercayai mati sudah dua hari sebelum polis menemuinya setelah menerima aduan dari penduduk berdekatan.
Beginilah keadaan mayat ini dijumpai mati dalam keadaan hamil 7 bulan.
Mayatnya terpaksa disimpan di Hospital selama sebulan lebih kerana tidak berjaya mengesan warisnya.
Beginilah wajah mayat tersebut.
Mayat bayi dalam kandungannya.
Saya menemui Sarjan Rahman yang jalankan siasatan kes ini. Beliau maklumkan kematian ini bukan satu pembunuhan. Saya tanya lagi..."habis tu mati sebab apa"...jawabnya mati sebab ajal dah sampai....Adakah anda boleh terima jawapan dari polis seperti ini.
Saya bertemu pula dengan pihak forensik hospital. Laporan dari doktor mengesahkan bahawa mereka tidak menemui sebarang tanda ia mati dibunuh.
Setelah lebih sebulan barulah keluarganya dapat dikesan. Mereka minta mayatnya dihantar pulang. Barulah diketahui mayatnya adalah seorang penganut agama Kristian.
Selepas itu saya uruskan penghantaran mayatnya secara "Imbalming Services" dari Penang ke Kuala Lumpur, selepas itu ke Surabaya, selepas itu ke Denpasar Bali, selepas itu ke Maumere, Florest. Memang jauh perjalanan hari Jumaat berlepas dari Airport Penang hari Isnin baru sampai ke pangkuan keluarganya.
Mayat sebelum di masukkan ke dalam keranda.
Ini pula adalah mayat wanita seorang warga Indonesia beragama Islam yang mati ditempat kerja. Jenazah ini mahu dihantar pulang ke Surabaya.
Kedua-dua mayat tersebut sudah siap dikapan dan dimasukkan ke dalam keranda dan terus dihantar ke airport Bayan Lepas.
Begitulah sebahagian dari tugas saya sebagai wali hukum yang tugasannya menguruskan sebarang kes yang melibatkan warga Indonesia yang masuk bekerja di Malaysia secara sah sahaja. Saya wakil bagi Kawasan Utara untuk negeri Perak, P.Pinang, Kedah, Perlis dan Kelantan.
Berurusan dengan kes-kes warga Indonesia yang didera dan dibunuh bukanlah asing bagi sharpshooter....kini ada satu lagi tugas baru yang wajib diselesaikan...
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/