SharpShooter Followers

Sunday, January 31, 2016

Mengapa rakyat suka persendakan PM Najib terbaik Malaysia

Setiap hari melalui whatsapp....facebook...beribu ribu status yg mempermainkan atau mempersendakan PM Najib ....tak baik tau...bukankah Najib adalah PM terbaik Malaysia yg berhati mulia yg pulangkan derma sebanyak RM2.03 billion kepada penderma Arab yg telah mati....

Sharpshooter menyeru kepada semua rakyat Malaysia ...hentikanlah menyindir PM......Berbanggalah kerana anda mempunyai PM Malaysia Najib yg terlalu jujur dan lurus bendul....

Satu dalam sejuta tau....janji tau jgn sindir lagi PM ok...

Syukurlah Malaysia punyai rakyat yang amat amat amat penyabar....



Wednesday, January 27, 2016

RIZAB TABUNG HAJI NEGATIF SEJAK TAHUN BERAKHIR 31 DISEMBER 2014


RIZAB TABUNG HAJI NEGATIF SEJAK TAHUN BERAKHIR 31 DISEMBER 2014

http://rafiziramli.com/2016/01/rizab-tabung-haji-negatif-sejak-tahun-berakhir-31-disember-2014/

Saya merujuk kepada kenyataan Tan Sri Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Urusan Tabung Haji berhubung isu kelemahan dana rizab Tabung Haji yang ditimbulkan oleh Bank Negara Malaysia.

Antara lain, beliau memberi alasan perkara yang ditimbulkan oleh Bank Negara Malaysia itu tidak menggambarkan kedudukan kewangan sebenar Tabung Haji kerana aset-aset anak syarikat Tabung Haji adalah lebih besar. Saya petik kenyataan beliau:

"Sepanjang tahun kewangan 2014 dan 2015, nilai keseluruhan aset Tabung Haji adalah lebih tinggi dari nilai liabiliti Tabung Haji, di mana ia mengambil kira kesemua nilai saksama portfolio pelaburan Tabung Haji"

Sebagai Ahli Parlimen, saya berpeluang meneliti sendiri Penyata Kewangan Tabung Haji yang diserahkan kepada Ahli Parlimen setiap tahun. Penyata Kewangan Tabung Haji terkini yang diaudit adalah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014. Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2015 hanya akan diperolehi di akhir tahun ini.

Saya rujuk kepada Penyata Kedudukan Kewangan ("Statements of Financial Position") bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 seperti di bawah:

Bagi mereka yang kurang mahir membaca penyata kewangan, kepala "TH" merujuk kepada aset, liabiliti dan rizab pendeposit Tabung Haji. Kepala "Group" merujuk kepada aset, liabiliti dan rizab Tabung Haji dan keseluruhan kumpulan yang merangkumi anak syarikat dan syarikat bersekutu.

Contoh-contoh anak syarikat ialah Bank Islam Malaysia Berhad dan Tabung Haji Plantations. Contoh-contoh syarikat bersekutu ialah TH Heavy Engineering Berhad.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, aset Tabung Haji adalah sebanyak RM54.751 bilion dengan simpanan tunai sebanyak RM7.0 bilion.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, jumlah dana terkumpul Tabung Haji ialah RM54 bilion. Dana terkumpul adalah dana-dana yang digunakan oleh Tabung Haji dalam menjalankan aktivitinya. Dari dana inilah maka ia dilaburkan atau dibuka anak syarikat untuk menjana keuntungan kepada Tabung Haji.

Dana terkumpul sebanyak RM54 bilion ini terdiri dari jumlah dana dari pendeposit Tabung Haji sebanyak RM54.358 bilion dan rizab terkumpul iaitu kerugian sebanyak RM351 juta.

Secara umumnya, rizab terkumpul adalah jumlah keuntungan terkumpul sejak Tabung Haji melaksanakan perniagaan. Jika Tabung Haji mempunyai keuntungan terkumpul, maka jumlah rizab adalah positif. Jika Tabung Haji mempunyai kerugian terkumpul, maka jumlah rizab adalah negatif.

Jumlah rizab ini adalah penting kerana ia melambangkan 2 perkara:

1.    Rizab terkumpul yang positif melambangkan Tabung Haji berjaya menjana keuntungan yang baik dan bermakna keputusan pelaburannya adalah tepat

2.    Dari rizab terkumpul inilah bonus (atau dividen) boleh dibayar kepada pendeposit. Jika rizab terkumpul itu besar, maka lebih besarlah bonus boleh dibayar kepada pendeposit

Oleh yang demikian, saya ingin menegur Tan Sri Ismee Ismail yang nampaknya cuba mengelirukan rakyat dengan kenyataan beliau semalam seolah-olah Tabung Haji tidak mengalami apa-apa masalah kewangan.

Penyata Kewangan Tabung Haji bagi tahun kewangan 31 Disember 2014 yang diaudit telah menunjukkan bahawa rizab terkumpul Tabung Haji telah pun negatif iaitu kerugian terkumpul sebanyak RM351 juta. Ini bermakna, jika semua pendeposit Tabung Haji mahu mengambil kembali simpanan sebanyak RM54.358 bilion, semua aset-aset Tabung Haji tidak cukup untuk membayar simpanan tersebut dan kekurangan dana sebanyak RM351 juta.

Kedudukan kewangan ini berlaku sebelum tahun 2015 yang menyaksikan kejatuhan pasaran saham dan nilai matawang ringgit yang mendadak. Ini bermakna bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, Tabung Haji akan mengalami kerugian yang jauh lebih besar.

Maka nilai rizab terkumpulnya akan menunjukkan kerugian terkumpul yang jauh lebih besar dari RM351 juta.

Dalam keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia wajar mengetahui bahawa:

1.    Tabung Haji tidak mempunyai aset yang mencukupi untuk membayar kembali simpanan pendeposit sejak tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 dan dijangka makin teruk bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015

2.    Tabung Haji tidak mempunyai rizab keuntugan terkumpul untuk membayar bonus kepada pendeposit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 kecuali ia meminjam wang atau mencairkan asetnya

Ini bukan perkara yang kecil dan saya akan terus meneliti perkara-perkara lain mengenai prestasi kewangan Tabung Haji.

Pun begitu, sebagai permulaan untuk memperbaiki keadaan, saya menuntut supaya Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meletak jawatan serta merta di atas kegagalan beliau memastikan prestasi kewangan Tabung Haji tidak menjejaskan simpanan pendeposit.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Tuesday, January 26, 2016

Mengapa Rakyat Tidak Boleh Mempercayai Kerajaan Barisan Nasional untuk Menandatangani Perjanjian TPPA

Mengapa Rakyat Tidak Boleh Mempercayai Kerajaan Barisan Nasional untuk Menandatangani Perjanjian TPPA

25 January, 2016

Dalam saat dan waktu getir ketika kerajaan Malaysia dihujani persoalan dan kritik berkenaan skandal hutang negara dan #1MDB yang mencecah RM2.6-4 billion derma, Kerajaan BN meluangkan masa untuk sibuk berunding Perjanjian Perkongsian Tran-Pasifik (TPPA).

Hakikatnya, Malaysia secara komited terlibat secara langsung selama 5 tahun untuk menjadi sebahagian daripada perjanjian perdagangan terbesar di abad ke-21 ini. Malangnya, sikap kerajaan yang menyembunyikan butiran penting dalam perjanjian besar ini serta merahsiakan proses rundingan sepanjang lebih 4 tahun lamanya boleh dikategorikan hanya bertaraf proses perundingan era lampau abad ke-12.

Adapun teks penuh perjanjian TPPA kini boleh diakses orang awam, namun rakyat hanya diberikan kurang 60 hari untuk menghadam hampir 6,350 muka surat penjelasan tentang undang-undang perdagangan antarabangsa. Kemuncak debaran dan persoalan rakyat akan tiba di penghujungnya pada 26 dan 27 januari ini apabila sidang khas Dewan Rakyat di parlimen dan sesi 'perbahasan' akan dijalankan.

Saya ingin mengambil kesempatan untuk memuji Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Mustapa Mohamed usaha murni melibatkan ahli parlimen pembangkang dalam beberapa perbincangan meskipun tidak mempunyai perubahan kepada isi rundingan yang dijalankan.

Pada tahun 2013, saya mengalami kesukaran dalam tugasan meyakinkan pengamal perundangan UMNO untuk bersetuju mewujudkan Kaukus Parlimen, walau berhasil akhirnya. Sehingga hari ini, kami ahli-ahli parlimen pembangkang yang turut serta sebagai Kaukus parlimen YB Wong Chen, YB Dato Takiyuddin, YB Dr. Jeyakumar dan YB Dr. Charles Santiago telah menghadiri 15 sesi mesyuarat bersama menteri juga beberapa siri bersama Michael Froman walaupun pendedahan Michael Froman jauh lebih bermakna berbanding dengan rakan sejawatnya di Malaysia.

Bila tiba saat Dato' Seri Mustapa Mohamed mengumumkan pembubaran barisan Kaukus Parlimen TPPA, kami masih ditinggalkan dengan seribu satu persoalan tentang apakah niat sebenar menubuhkan dan melibatkan ahli parlimen pembangkang pada awalnya.

Kami di pihak ahli parlimen pembangkang yang terlibat sebagai ahli Kaukus, mendesak agar teks penuh TPPA diterbitkan dalam bahasa Malaysia. Hal ini kerana bahasa rasmi di negara ini adalah Bahasa Malaysia dan adalah penting agar rundingan yang dilaksanakan perlu diaih bahasa ke Bahasa Malaysia sebelum diteruskan. Tambahan pula, saya menyeru agar Peguam Negara tidak hanya menutup mata dan seharusnya memberikan penerangan lanjut berkenaan undang-undang serta penggubalan perlembagaan yang terjejas dengan menandatangani TPPA.

Malangnya, kami hanya dimaklumkan tentang penggubalan 26 undang-undang yang perlu dilakukan untuk tandatangan TPPA melalui pendedahan media, dan itu juga dilakukan setelah pembubaran Kaukus TPP oleh menteri.

Sesi perbahasan TPP di Parlimen adalah satu langkah yang tepat walaupun hakikatnya perjanjian perdagangan bebas tidak perlu diluluskan oleh parlimen, hanya kelulusan kabinet diperlukan. Namun, kecacatan sistem ini mendesak ke arah proses reformasi parlimen yang berterusan.

Keperluan ini bertambah penting dalam suasana politik kini di mana kerajaan, iaitu Perdana Menteri kita mengalami krisis kepercayaan rakyat dan urus tadbir negara yang bobrok.

Malangnya bagi kami, 26 dan 27 januari adalah sesi Parlimen yang hanya memperlihatkan bahawa apa yang diinginkan oleh Perdana Menteri dan ahli-ahli parlimen kerajaan adalah undi yang tidak berasaskan kemahuan individu, tetapi berasaskan arahan parti. Yang pasti, akan wujud tentangan hebat dari pengamal undang-undang BN yang ingin menandatangani TPPA.

Justeru, Sidang parlimen akan menjadi satu langkah yang sia-sia berbanding peluang bermakna yang sewajarnya digarap untuk membaiki kelemahan struktur ekonomi negara. Yang mana sistem yang membela golongan atasan, pemisahan industri secara tidak sihat, praktis yang hanya menguntungkan kroni dan ketidak efektif siasatan kepada dakwaan rasuah yang dilaporkan.

Siasatan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Kira-kira, PAC dengan mudah dihentikan separuh jalan dan ini semua menjadi lebih mudah dengan kuasa yang dipegang oleh Perdana Menteri.

Percayalah, perjanjian TPP di bawah kelolaan kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak tidak akan menyelesaikan krisis ekonomi yang melanda negara kini. Isu berkaitan kesenjangan ekonomi, kos sara hidup, inflasi, pengangguran, peralihan teknologi dan isu utama yang membabitkan Malaysia – budaya rasuah yang sewenang-wenangnya dilakukan oleh pengawai – pengawai tinggi di Malaysia. Pada tahun 2014, Malaysia di tangga ke 50 daripada 170 negara dalam indeks rasuah, jatuh 14 negara berbanding 2001. (Transparency International's Corruption Index )

Pada 2010, UNDP melaksanakan kajian tentang impak TPP kepada Malaysia. Penemuan mereka menunjukkan Malaysia akan mendapat faedah dari TPP. Kesimpulannya, antara kelebihan yang diperoleh adalah melalui pemansuhan tariff.

Empat tahun kemudian, Rashmi Banga, ahli ekonomi di UNCTAD menjalankan kajian bahawa wujud penurunan dalam imbalan perdagangan. Hampir RM 5 bilion kerugian setiap tahun setelah TPPA ditandatangani.

PWC, badan ekonomi antarabangsa yang dipertanggungjawabkan oleh MITI untuk mengeluarkan analisa kos dan faedah TPPA yang akhirnya menunjukkan jawapan yang hampir sama. PWC menganggarkan perolehan minimum adalah 0.13% GDP daripada pemotongan tariff.

Anggaran bahawa 50% bukan-tarif potongan akan mencapai jumlah 1.15% GDP dalam 9 tahun. Namun, imbalan perdagangan akan jatuh merudum secara ketara pada kadar 30% iaitu USD42 billion ke USD29.7billion

Dalam pada itu, jika dilihat dengan pandangan kasar, TPPA memberikan gambaran kononnya kiraan bukan-tarif boleh memberi manfaat 25% ke 50% kepada negara. Namun hakikatnya, ia adalah dengan bersyarat tergantung kepada terma yang dipersetujui oleh ahli-ahli negara lain yang menandatangani TPPA.

Namun begitu, kajian ini masih belum menunjukkan apa-apa keuntungan yang mapan dalam pertumbuhan pembangunan negara ini. Tambahan pula, kajian yang wujud dengan pelbagai andaian dan menunjukkan keperluan serius kepada usaha memahami kesan TPPA kepada Malaysia.

Dua badan yang diarahkan untuk mengemukakan analisa kos dan benefit masih belum menyediakan laporan secukupnya tentang hakikat impak TPPA terhadap kemungkinan tindakan undang-undang korporat melalaui ISDS: kurang akses kepada ubat-ubatan generik dan kesan membuka perolehan kerajaan yang mungkin dalam masa mengekalkan status quo terpilih.

Justeru, ketidaktelusan yang terhasil melalui laporan CBA menunjukkan yang analisa ini hanya boleh digunakan untuk tujuan melindungi MITI. Dan MITI yang dipertanggungjawabkan untuk membela pemimpin politik mereka yang juga merupakan Penasihat #1MDB, Datuk Seri Najib Razak.

Antara kebimbangan yang disuarakan oleh ahli ekonomi, Joseph Stiglitz dan Prof Jomo Kwame Sundaram yang telah diatur bertemu oleh sekutu-sekutu MITI, daripada dibawa berbincang secara serius dan mendalam berkenaan hal ini.

Prof Jomo menekankan tentang penurunan kos sara hidup dan kebajikan rakyat serta kesenjangan ekonomi pasca implementasi TPPA apabila Putrajaya meletakkan TPP sebagai kambing hitam negara.

Masih kita ingat keputusan yang dipilih ketika keluar dari perjanjian FTA Amerika Syarikat pada tahun 2008 adalah disebabkan 58 garis merah yang dikenalpasti sebagai faktor untuk tidak tandatangan. Namun apa yang berlaku selepas itu? Masihkah wujud sesi rundingan dan perbincangan yang tidak didedahkan?

Liberasi perolehan kerajaan diberikan penangguhan bagi perolehan pembinaan selama 20 tahun manakala perolehan barangan dan perkhidmatan hanya dilindungi selama 7 hingga 9 tahun. Jelas sekali, terdapat pendekatan terpilih berdasarkan kepentingan dan saiz perolehan.

Selain itu, sektor awam tidak dikategorikan di bawah pengurusan perolehan kerajaan setelah tandatangan TPPA. Adakah kita akan terus menerusi menyaksikan gejala pemilikan projek secara runding terus untuk berterusan? Atau TPP mungkin mungkin akan berjaya merencatkan reformasi sistem daripada menggalakkan proses ini.

Atas dasar prinsip ini, saya dan rakan-rakan ahli parlimen pembangkang tidak akan mengundi perjanjian TPP yang dibawa oleh kerajaan BN. Kami mendesak agar lebih banyak masa diperuntukkan supaya perjanjian perundingan abad ke-21 ini dapat diterokai sepenuhnya. Kami tidak yakin bahawa rakyat akan menerima lebih banyak faedah berbanding impak negatif yang perlu ditanggung. Kerajaan hari ini mengalami krisis kepercayaan dan sewajarnya tidak diberikan mandat dalam menandatangani TPPA.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN

Thursday, January 21, 2016

KEMBALIKAN PERUNTUKAN BIASISWA JPA, MARA DAN LAIN-LAIN: KUTIP KEMBALI GERAN RM1.1 BILION DARI 1MDB

Kenyataan Media

KEMBALIKAN PERUNTUKAN BIASISWA JPA, MARA DAN LAIN-LAIN: KUTIP KEMBALI GERAN RM1.1 BILION DARI 1MDB

Rakyat Malaysia hanya mendapat tahu mengenai pemberhentian biasiswa pendidikan JPA bagi 700 orang pelajar untuk ijazah pertama dari petikan berita yang hanya disiarkan oleh akhbar berbahasa Cina. Maknanya, Dato' Seri Najib Tun Razak tidak berani berdepan dengan rakyat untuk menerangkan sendiri keputusan-keputusan beliau yang menekan rakyat seperti ini.

Masalah kerajaan memotong peruntukan biasiswa dan peruntukan pendidikan ini bukan perkara baru. Saya telah mengemukakan soalan-soalan mengenai jumlah biasiswa dan peruntukan pendidikan yang disediakan oleh MARA sejak Jun 2015 lalu tetapi tidak pernah dijawab.

Hakikatnya, sebelum pun isu pemotongan biasiswa JPA ini timbul, beribu-ribu pelajar yang cuba mendapatkan biasiswa atau pinjaman dari MARA telah ditolak. Sehingga kini, saya difahamkan MARA masih belum membuka sistem permohonan penajaan pendidikannya. Saya juga dimaklumkan kini MARA terpaksa menjadi orang tengah kepada bank-bank yang menawarkan pinjaman kepada pelajar pada kadar komersil.

Dalam Bajet 2016, Dato' Seri Najib Tun Razak juga telah memotong peruntukan biasiswa dan dermasiswa sebanyak sekitar RM800 juta, sementara peruntukan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dipotong dari RM200 juta menjadi RM10 juta sahaja.

Kegilaan itu kini diteruskan dengan pemberhentian penajaan pelajar-pelajar JPA seramai 700 yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama.

Pendekatan yang diambil oleh Dato' Seri Najib Tun Razak dalam semakan Bajet 2016 ini adalah jelas: beliau memotong perbelanjaan rakyat terlebih dahulu sebelum perbelanjaan atau projek-projek yang melibatkan kepentingan kroni. Contohnya, saya berminat untuk mengetahui sama ada kerajaan akan meneruskan pemberian pinjaman mudah ("soft loan") kepada syarikat-syarikat yang telah dianugerahkan konsesi pembinaan lebuhraya-lebuhraya.

Saya pernah dimaklumkan bahawa pinjaman mudah ("soft loan") kepada Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) untuk membina Lebuhraya EKVE adalah bernilai RM900 juta. Kita tidak tahu berapa banyak lagi projek-projek yang kononnya diswastakan tetapi dibiayai oleh pinjaman mudah ("soft loan") yang ditanggung oleh kerajaan seperti ini.

Oleh itu, saya ingin menasihati Dato' Seri Najib Tun Razak kaedah terbaik mengembalikan pembiayaan biasiswa dan dermasiswa seperti ini.

Saya gesa Dato' Seri Najib Tun Razak mengarahkan 1MDB membayar kembali geran Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM1.1 bilion yang telah diambil oleh 1MDB bagi kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan tentera bersabit Bandar Malaysia. Projek tersebut adalah tanggungjawab 1MDB dan tidak sewajarnya melibatkan dana rakyat.

Jumlah RM1.1 bilion ini lebih dari cukup untuk membiayai biasiswa-biasiswa yang saya sebut di atas.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG KEADILAN
AHLI PARLIMEN PANDAN
21 JANUARI 2016

Thursday, January 14, 2016

JANGAN Guna Duit Rakyat Untuk Mencuci Kekotoran Bauksit. Bukan rakyat yang cemar tetapi kenapa rakyat mesti tanggung?

Kenyataan Media
Pengerusi Gabungan Badan Bertindak Menentang Pencemaran Bauksit

14/1/2016

JANGAN Guna Duit Rakyat Untuk Mencuci Kekotoran Bauksit.
Bukan rakyat yang cemar tetapi kenapa rakyat mesti tanggung?

Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri yang mengarahkan Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mencuci prncemaran bauksit, kami pihak gabungan ingin menyatakan dengan sekeras- kerasnya bahawa tindakan Perdana Menteri ini merupakan SALAH GUNA duit rakyat pembayar cukai.

Rakyat sudah cukup menderita dengan pencemaran ini. Sebaiknya janganlah ditambah kemarahan rakyat dengan menggunakan duit rakyat pula untuk mencuci pencemaran ini. Tatkala rakyat semua dalam kesusahan akibat kenaikan kos sara hidup dan GST, tindakan menggunakan duit rakyat untuk mencuci kekotoran bauksit ini ibarat mencurah garam kepada luka rakyat. Ia menambahkan kepedihan kesengsaraan tersebut. Lebih baik peruntukan tersebut digunakan untuk bantu rakyat yang susah.

Sebaliknya silalah Perdana Menteri arah kesemua syarikat pemilik konsesi melombong, syarikat pemilik lori yang mengangkut bauksit dan syarikat yang mempunyai lesen AP mengekspot bauksit untuk melakukan tugas mencuci tersebut.

Kita semua maklum bahawa banyak ketirisan berlaku sewaktu mengutip royalti di peringkat kerajaan negeri. Kita juga sedia maklum bahawa SATU SEN pun tidak di kutip dari syarikat pengekspot dalam bentuk duti ekspot. Jumlah eksport bauksit dianggarkan  RM3.6 Billion pada tahun 2015, dimana mereka tidak membayar eksport duti walau satu sen pun.

Gabungan dengan ini menggesa pihak Perdana Menteri membatalkan arahan menggunakan duit rakyat dan sebaliknya lebih baik mengarahkan syarikat-syarikat yang telah mengaut keuntungan dari bauksit untuk menunjukkan sedikit CSR dan laksanakan tanggungjawab social ini.

Hjh Fuziah Salleh
Ahli Parlimen Kuantan
Pengerusi Gabungan Badan Bertindak Menentang Pencemaran Bauksit

Wednesday, January 06, 2016

1MDB jual Bandar Malaysia , banyak persoalan yg perlu Najib jawab

1MDB PERLU SAHKAN SAMA ADA PERBEZAAN NILAI URUSNIAGA SEBANYAK RM2.13 BILION MELIBATKAN PENJUALAN BANDAR MALAYSIA ADALAH BERSABIT PEMINDAHAN DAN NAIKTARAF 6 KEM TENTERA UDARA

Saya merujuk kepada laporan-laporan sebelum ini mengenai perbezaan nilai urusniaga melibatkan penjualan Bandar Malaysia oleh 1MDB yang diumumkan oleh 1MDB berbanding dengan nilai yang difailkan di Bursa Hong Kong oleh China Railway Group Limited iaitu syarikat induk kepada China Railway Engineering Corp.

Laporan The Malaysian Insider hari ini memetik kenyataan Presiden/CEO 1MDB, Arulkanda Abdullah bahawa perbezaan sebanyak RM2.13 bilion itu adalah melibatkan beberapa liabiliti dan kos melibatkan pemindahan kemudahan sedia ada yang perlu dirundingkan oleh 1MDB dan konsortium pembeli yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China itu yang akan dimuktamadkan menjelang Jun 2016.

Saya pasti ramai rakyat Malaysia yang tidak memahami betapa mengejutkan pengesahan yang dibuat oleh Arulkanda Abdullah hari ini.

Untuk pengetahuan umum, tanah yang ingin dibangunkan sebagai Bandar Malaysia dan dianugerahkan kepada 1MDB oleh pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak sekarang ini menempatkan Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi. Sebelum ini 1MDB bersetuju untuk memindahkan kemudahan Kem TUDM itu dan menaiktarafkan 6 pengkalan TUDM yang lain dan satu kem polis udara sebagai pertukaran tanah di Sungai Besi itu dipindahmilik kepada 1MDB. Saya dimaklumkan kem-kem tersebut antara lainnya ialah Kem TUDM Kuantan, Kem TUDM Gong Kedak, Kem TUDM Senawang, Kem TUDM Butterworth dan Kem Polis Udara Ipoh.

Arulkanda Abdullah hari ini mengesahkan bahawa perbezaan RM2.13 bilion (iaitu nilai urusniaga yang diumumkan adalah RM2.13 bilion lebih tinggi dari apa yang difailkan oleh China Railway Group Limited) untuk mengambil kira kos-kos pemindahan dan kemudahan sedia ada di tanah tersebut.

Ini bermakna liabiliti 1MDB untuk memindahkan kemudahan sedia ada di Kem TUDM Sungai Besi belum disempurnakan oleh 1MDB. Apabila pegangan saham di dalam projek pembangunan Bandar Malaysia dijual kepada konsortium yang dianggotai oleh syarikat milik Kerajaan China ini, ada kemungkinan besar liabiliti untuk memindahkan kemudahan sedia ada di Kem TUDM itu turut ditanggung oleh konsortium pembeli itu.

Jika ini benar-benar berlaku, ini membawa implikasi besar kepada kedaulatan negara dan pertahanan negara seperti berikut:

1.    Apakah konsortium yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China ini akan terlibat di dalam keputusan-keputusan yang membabitkan pemindahan kemudahan ketenteraan TUDM?

2.    Apakah konsortium yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China ini berhak membuat keputusan mengenai kos yang membabitkan pemindahan kemudahan ketenteraan TUDM?

3.    Apakah jika konsortium yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China ini enggan membayar jumlah RM2.13 bilion, itu akan menjejaskan proses pemindahan kemudahan ketenteraan TUDM sedia ada?

Hakikat bahawa syarikat China Railway Group Limited telah memfailkan nilai urusniaga yang lebih rendah sebanyak RM2.13 bilion bermakna ia telah pun memasukkan liabiliti kos pemindahan kemudahan sedia ada yang dirujuk oleh Arulkanda Abdullah di dalam kenyataannya hari ini.

Justeru, saya menyeru supaya Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri memberi penjelasan kepada soalan-soalan di atas secepat mungkin kerana tidak ada mana-mana negara berdaulat yang wajar melibatkan syarikat yang dimiliki negara lain di dalam apa-apa keputusan yang membabitkan kelengkapan dan kemudahan ketenteraannya, terutamanya memandangkan Kem TUDM Sungai Besi adalah salah satu kem tentera udara paling penting di negara ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN