SharpShooter Followers

Saturday, April 08, 2017

Kenyataan Anwar terhadap RUU355

KENYATAAN MEDIA

Usul yang di bawa oleh Yang Berhormat Marang di bawah Peraturan Mesyuarat Parlimen No 49(1) untuk kebenaran mencadang satu Rang Undang-Undang untuk meminda Akta 355
 
Rang Undang-Undang untuk meminda Akta 355 bermula dengan polemik hangat mengenai pelaksanaan hukum hudud dan perundangan Islam. Maka, pembentangan YB Dato' Seri Ustaz Abdul Hadi Awang (Ahli Parlimen Marang) dan YB Datuk Takiyuddin Hassan (Ahli Parlimen Kota Baru) membantu meredakan sambil memberikan pencerahan.

YB Dato' Seri Ustaz Abdul Hadi dan YB Datuk Takiyuddin menerangkan di Parlimen bahawa RUU Pindaan kepada Akta 355 ( "RUU 355") bukanlah percubaan untuk melaksanakan hudud dan jaminan diberi RUU 355 ini tidak terpakai kepada yang bukan Islam sebab dilakukan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Yang ditekankan adalah pemerkasaan Mahkamah Syariah yang wajar dipersetujui secara prinsipnya oleh semua.

Yang dikesalkan ialah kesempatan untuk berbahas dinafikan oleh Speaker Parlimen Tan Sri Pandikar Mulia kerana menangguhkan sidang pada jam 4 petang. Ini jelas bertentangan dengan amalan demokrasi dan prinsip syura serta perundingan dalam Islam. Saya percaya Ustaz Hadi tidak akan keberatan untuk meneruskan perbahasan. Kegagalan Speaker dan kerajaan Barisan Nasional untuk bertindak serius dalam perkara tersebut memperkukuhkan persepsi bahawa kerajaan sengaja melengahkan dan mengharapkan agar kontroversi akan berlarutan.

Saya ulangi kenyataan bertarikh 23hb November 2016 oleh Presiden KEADILAN tahun lalu, pertama, untuk menghormati hak YB Marang membentang usulnya; dan kedua, untuk mendapatkan jawapan tegas daripada Perdana Menteri samada kerajaan sedia membentuk satu Jawatankuasa Pilihan untuk meneliti Rang Undang-Undang pindaan tersebut yang dicadang oleh YB Marang.

Setelah menunggu dua tahun, Perdana Menteri Dato' Sri Najib telah menyatakan kerajaan tidak akan mengambilalih RUU tersebut dan membentangnya seperti dicadang atau dengan pindaan atau perubahan, jika ada.

Peraturan mesyuarat Parlimen No 49 yang terpakai kepada Rang Undang-Undang Persendirian menghendaki kerajaan melalui peraturan 49(2), selepas usul untuk kebenaran dilulus melalui peraturan 49(1), untuk mengambil alih, meneliti dan menyediakan laporan berkenaan rang yang dicadangkan, untuk dibentang semula ke Parlimen; dan nampaknya, kerajaan telah awal-awal menolak tanggungjawab tersebut. Pada peringkat penelitian dan penyediaan laporan tersebut, satu Jawatankuasa Pilihan boleh ditubuhkan oleh Parlimen untuk melaksanakan tugas itu.

KEADILAN telah menyatakan kerelaan menyertai Jawatankuasa Pilihan untuk meneliti, secara menyeluruh, pemerkasaan Mahkamah Syariah yang akan dilaksanakan termasuk yang berikut: keutuhan, kebebasan dan kompetensi kehakiman Mahkamah Syariah, pendakwaan bebas, sistem penjara termasuk tahap hukuman, program latihan yang perlu serta infrastruktur yang lebih baik dan belanjawan yang bersesuaian. Maknanya, usul Jawatankuasa PIlihan lebih luas dan mencakupi, dan tidak hanya terbatas kepada tahap hukuman.

Satu aspek kontroversi dan membimbangkan dalam RUU 355 adalah hukuman yang jauh lebih tinggi daripada yang sedia ada dan perlu penelitian dan pemerincian.

Pendekatan ini lebih bermakna dan terjamin keberkesanannya, dan akan membuka peluang untuk memberikan penjelasan kepada rakyat termasuk bukan Islam.
 
Anwar Ibrahim
Sabtu, 8hb April 2017

Monday, April 03, 2017

*PULAU PINANG MASIH UTUH EKONOMI, YANG MALANGNYA NAJIB MASIH MEMERINTAH*

Kenyataan Media

03 April 2017

*PULAU PINANG MASIH UTUH EKONOMI, YANG MALANGNYA NAJIB MASIH MEMERINTAH*

Saya mengambil maklum mengenai kenyataan Najib Razak yang dipaparkan dalam blog peribadi, menuduh bahawa pelabur luar lari dari Pulau Pinang. Beliau cuba mempertahankan dirinya dengan mengatakan pelaburan yang dibawanya masuk adalah bagus, malah memperlekeh pembangkang yang dituduh anti-pelaburan asing, anti-patriotik dan menganggap pelaburan asing sebagai cara menjual negara.

Saya menyangkal tuduhan beliau terhadap Pulau Pinang melalui beberapa fakta:

1. Mengikut laporan Malaysia Investment Development Agensi (MIDA) 2016, agensi di bawah Kerajaan Persekutuan ini telah membuktikan bahawa pencapaian ekonomi Pulau Pinang begitu memberangsangkan. Sebanyak 106 pelaburan baru dibawa masuk dengan nilai tambah sebanyak RM4.29 bilion. 71 peratus daripada nilai ini adalah pelaburan asing. Kenyataan ini bercanggah bahawa ramai pelabur luar lari dari Pulau Pinang. 

Pencapaian Pulau Pinang kini berada dalam kedudukan nombor empat mengikut nilai pelaburan masuk paling banyak pada tahun lepas. Dengan keluasan yang kecil, prestasi Pulau Pinang lebih mapan dan kompetitif berbanding dengan sebahagian besar negeri-negeri yang diperintah oleh Umno BN seperti Kedah dan Melaka. 

2. Dalam masa tempoh lima tahun, pencapaian sumbangan Pulau Pinang terhadap Keluaran Dalam Kasar Negera (KDNK) begitu memberangsangkan. Pada tahun 2015, Pulau Pinang menyumbang 6.6% kepada KDNK, berbanding sekitar 5.5% pada tahun 2010. Tambahan pula, Pulau Pinang menyumbang 12.8 peratus kepada sektor pembuatan negara pada tahun 2015. Statistik ini diiktiraf oleh Jabatan Perangkaan Negara yang beroperasi di bawah Kerajaan Persekutuan. 

Adalah suatu yang memalukan apabila seorang Perdana Menteri dan merangkap Menteri Kewangan tidak menilai statistik ini terlebih dahulu sebelum menuduh ekonomi Pulau Pinang teruk di bawah pentadbiran Lim Guan Eng. Jika Najib tuduh pelabur luar lari meninggalkan Pulau Pinang, mengapakah ekonomi negeri ini semakin berkembang pesat? Tidakkah Najib tahu bahawa faktor tarikan pelabur asing adalah bergantung pada kedudukan ekonomi semasa, insentif pelaburan, potensi pulangan, tata kelola yang baik, bebas rasuah dan kestabilan politik?

Najib menyangkal dakwaan pembangkang bahawa Kerajaan Umno BN cuba menjual negara. Najib menggunakan hujah syarikat-syarikat nasional juga terlibat dalam pelaburan di luar negara. Hakikatnya, Najib tidak faham maksud 'jual negara' yang diperkatakan oleh pembangkang. Berikut merupakan penjelasan sebenar:

1. 'Jual negara' bermaksud apabila kerajaan terpaksa melaksanakan sebuah projek berkos tinggi yang bertujuan untuk membayar hutang sesebuah syarikat yang penuh dengan skandal penyelewengan. Kerajaan Umno BN merancang projek East Cost Railway Line (ECRL) dengan kos RM55 bilion untuk tujuan membayar hutang 1MDB seperti didakwa oleh Sarawak Report. Projek ini dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman kepada bank pembangunan China. Jika projek ini gagal membiayai kos, sudah tentu Kerajaan Persekutuan yang akan datang terpaksa menanggung kos. 

2.  Jual negara' bererti apabila kerajaan Najib menyembunyikan status sebenar tanah projek pembangunan Forest City. Beliau memberi jaminan bahawa tanah projek tersebut adalah 'leasehold' dan mempunyai had tempoh pajakan. Tetapi realitinya, kenyataan ini disangkal oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir apabila beliau sendiri melawat kawasan projek berkenaan dan melihat papan tanda yang memaparkan status 'freehold' atau pegangan bebas! Adakah Najib cuba sembunyikan hakikat bahawa sebahagian tanah di Johor akan dikuasai oleh pelabur asing buat selama-lamanya?

Saya percaya bahawa terdapat lebih banyak lagi definisi yang boleh merujuk pada istilah 'jual negara', bersabit tindakan-tindakan Najib yang telah memberi imej negara kita semakin hari semakin teruk, apatah lagi ditambah dengan kes-kes penyelewengan, rasuah dan tatakelola yang teruk. 

Saya ingin mengulangi bahawa lawatan pelaburan Najib ke luar negara sama sekali tidak akan mampu meningkatkan 'profile' negara kita. Hal ini dibuktikan dengan nilai ringgit yang jatuh dan angka FDI juga masih rendah. Skandal 1MDB yang sedang berhadapan penyiasatan beberapa negara dunia menambah buruk imej negara gara-gara Najib.

Amat malang Malaysia ini apabila Najib masih memerintah tanpa pedulikan suara rakyat. Amat malang apabila seorang Perdana Menteri sanggup memburukkan beberapa negeri dalam Persekutuan semata-mata memenuhi kemahuan nafsu politik peribadi beliau.   


*DATO' SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL*
Penasihat Strategik kepada 
YAB Ketua Menteri Pulau Pinang
(Juga Setiausaha Agung KEADILAN)

Wednesday, February 01, 2017

NAJIB HARUS JELASKAN RASIONAL KENAIKAN HARGA MINYAK MENTAH



Rakyat Malaysia menyambut kedatangan tahun 2017 dengan kenaikan harga petrol dan diesel.  Pada 1 Januari 2017 yang lepas harga runcit petrol RON95 dan diesel naik sebanyak 20 sen. Manakala harga runcit petrol RON97 naik sebanyak 15 sen. Tambah mendukacitakan apabila kedatangan Tahun Baru Cina tahun ini juga disambut dengan kenaikan harga bahan bakar.

Berkuat kuasa 1 Februari 2017 harga runcit petrol 95 dan 97 naik sebanyak 20 sen. Manakala harga runcit diesel meningkat sebanyak 10 sen. Ini bermakna sepanjang bulan pertama dan kedua tahun ini rakyat Malaysia telah dibebankan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 40 sen, diesel sebanyak 30 sen dan RON97 sebanyak 35 sen.

Kenaikan harga bahan bakar bagi bulan Februari adalah tidak munasabah. 

Ini kerana dua faktor utama yang menjurus kepada kenaikan harga bahan bakar iaitu perubahan harga minyak mentah dunia dan perubahan nilai matawang Ringgit Malaysia (RM) berbanding Dollar Amerika Syarikat (USD) tidak menunjukkan perubahan yang ketara.

Berdasarkan pasaran sehingga jam 4 petang tadi, data menunjukkan purata harga minyak mentah Brent sepanjang Januari 2017 mencatatkan purata penurunan bulanan sebanyak 2.46%. 

Berdasarkan data dari laman rasmi Bank Negara Malaysia sehingga jam 5 petang tadi, nilai RM berbanding USD menunjukkan purata perubahan sebanyak negatif 1.40%. 

Kenapakah rakyat harus memikul beban kenaikan harga petrol dan diesel sedangkan tidak wujud sama sekali faktor-faktor yang menjurus kepada sebarang kenaikan?

Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak sepatutnya segera tampil memberikan penjelasan mengapa kenaikan harga petrol dan diesel ini berlaku.

Pada masa yang sama, saya menggesa agar pihak Kerajaan mempertimbang semula subsidi minyak serta mengurangkan kadar GST demi meringankan beban yang dipikul rakyat pada ketika ekonomi suram ini.

*Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail*
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

1 Februari 2017

Thursday, January 05, 2017

Saya tak mahu bersubahat dengan rasuah



*PENGAKUAN BEKAS PEGAWAI SPRM MEMPUNYAI MAKLUMAT PEMBERI DAN PENERIMA RASUAH: BERI PERLINDUNGAN PEMBERI MAKLUMAT UNTUK CARI KEBENARAN*

Pelbagai media telah melaporkan kenyataan Datuk Bahri Mohd Zin iaitu bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam yang menyebut bahawa beliau memilih bersara awal disebabkan kecewa dengan undang-undang yang hanya memerangkap pesalah kecil, manakala pesalah besar terlepas begitu sahaja.

Lebih mengejutkan lagi, beliau membuat pengakuan secara terbuka bahawa beliau mempunyai maklumat mengenai "semua pemberi rasuah dan pengambil rasuah".

Ini merupakan satu tuduhan berat terhadap SPRM seolah-olah SPRM tidak mampu memerangi rasuah dan seterusnya mencabar integriti pentadbiran Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak.

Merujuk kepada kes-kes rasuah, ketirisan, penyelewengan dan pembaziran yang begitu teruk pada tahun 2016 seperti yang dilaporkan melalui pendedahan-pendedahan skandal, Laporan Ketua Audit Negara atau Indeks Pembaziran Kerajaan NOW yang secara tidak langsung memberi asas memungkinkan ada kebenaran dalam pengakuan yang dibuat oleh Datuk Bahri.

Demi mencari kebenaran dalam usaha melawan rasuah dan membersihkan nama baik pentadbiran beliau, Dato' Seri Najib Razak seharusnya menerima pengakuan Datuk Bahri dengan hati terbuka dan mengambil tindakan yang berani iaitu:-

1. Mengiktiraf Datuk Bahri sebagai seorang pemberi maklumat. Ini termasuk memberi perlindungan kepada beliau seperti yang ditawarkan dalam Aktar Perlindungan Pemberi Maklumat (2012) bagi membolehkan beliau bercakap benar dan mendedahkan nama-nama pemberi rasuah dan penerima rasuah.

2. Bagi membolehkan Datuk Bahri membuktikan maklumat-maklumat beliau, Dato' Seri Najib perlu mengdeklasifikasikan (declassified) dokumen-dokumen berkaitan yang terletak dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

3. Individu-invididu yang dinamakan oleh Datuk Bahri sebagai pemberi rasuah atau penerima rasuah wajar dipanggil dan diberi ruang untuk membela diri secara terbuka. Ini boleh dilakukan dengan merujuk mereka kepada jawatankuasa khas Parlimen atau dengan membentuk Suruhanjaya khas bagi menyiasat maklumat yang didedahkan.

Ini merupakan peluang terbaik Dato' Seri Najib Razak untuk memulihkan integriti pendtabiran beliau dalam usaha melawan rasuah. Sekiranya pentadbiran beliau gagal mengambil tindakan yang sewajarnya susulan pengakuan Datuk Bahri, rakyat akan terus hilang kepercayaan terhadap usaha pentadbiran beliau melawan rasuah dan penyelewengan.

4 JANUARI 2017

AKMAL NASIR
Pengarah Eksekutif
*National Oversight and Whistleblowers (NOW)*