SharpShooter Followers


Monday, March 31, 2014

Anwar dibenarkan jadi Presiden baru Parti Keadilan Rakyat


KENYATAAN MEDIA
31 MAC 2014
 
PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG BENARKAN DATO' SERI ANWAR IBRAHIM MENJAWAT JAWATAN PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT
 
Penantian rakyat khususnya anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) selama lebih 15 tahun akan berakhir selepas Dato' Seri Anwar Ibrahim mencalonkan diri untuk bertanding jawatan Presiden KEADILAN dalam Pemilihan KEADILAN 2014. Wibawa dan ketokohan beliau diyakini mampu menerajui KEADILAN sebagai sebuah parti masa depan.

Spekulasi bahawa Dato' Seri Anwar berdepan dengan risiko pembatalan oleh Pendaftaran Pertubuhan ekoran sabitannya dalam kes Fitnah 2 adalah tidak tepat. Biarpun telah disabitkan dengan kesalahan dan keputusan ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan, Dato' Seri Anwar Ibrahim masih dibenarkan untuk menduduki jawatan Presiden KEADILAN selaras dengan Seksyen 9A(4) Akta Pertubuhan 1966 yang membolehkan beliau dikecualikan daripada pengguguran kelayakan tersebut (exempted from the application of such disqualification).

Malah tidak ada alasan dan sebab munasabah untuk Pendaftar Pertubuhan (ROS) menolak atau menghalang Dato' Seri Anwar daripada menggunakan peruntukan undang-undang ini bagi menerajui KEADILAN selaku Presiden.

Justeru, ucapan syabas dan tahniah buat Dato' Seri Anwar Ibrahim yang bakal dinobatkan sebagai Presiden KEADILAN dalam Pemilihan KEADILAN 2014 ini. 

Rakyat dan anggota KEADILAN khususnya yakin dan percaya bahawa kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim akan memperkukuh KEADILAN dan menguatkan muafakat dalam Pakatan Rakyat serta menyemarakkan lagi perjuangan reformasi demi masa depan Malaysia.

RADZLAN JALALUDIN
Calon Naib Ketua
Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Merangkap peguam kepada YB Dato' Seri Anwar Ibrahim

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Saturday, March 29, 2014

Mengapa Kak Wan dan Anwar bertanding jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat

TAWAR DIRI BERTANDING PRESIDEN KEADILAN DEMI KEPENTINGAN PARTI SEKIRANYA ANWAR IBRAHIM DIHALANG

Umum sedar dan maklum hari ini adalah hari pencalonan bagi Pemilihan KEADILAN 2014. Keluarga besar KEADILAN akan meraikan demokrasi dan menghidupkan erti Reformasi dalam memilih saf kepemimpinan KEADILAN bagi penggal yang akan datang.

Kita juga sedar bahawa Ketua Umum KEADILAN, saudara Anwar Ibrahim telah menyatakan hasrat beliau untuk bertanding jawatan Presiden KEADILAN dan telahpun dicalonkan sedemikian. 

Namun rakyat Malaysia telah lihat betapa zalimnya penguasa; tatkala saudara Anwar mahu melengkapkan 'Langkah Kajang', beliau telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun, lalu dinafikan hak demokratik beliau untuk bertanding. 

Kini tidak mustahil akan ada percubaan dari pihak UMNO-BN untuk sekali lagi menafikan hak demokratik saudara Anwar untuk bertanding dan memegang jawatan Presiden KEADILAN secara sah.

Dengan pemahaman dan pengamatan persada politik mutakhir ini, serta memahami kebijakan yang diperlukan dalam menghadapi musuh seperti UMNO-BN yang sering menggunakan taktik politik kotor, maka saya telah menerima cadangan beberapa anggota parti untuk menawarkan diri saya sebagai calon bagi jawatan Presiden KEADILAN. 

Keputusan ini dibuat demi menjaga kepentingan dan masa depan parti sekiranya dalam masa terdekat ini sebelum pencalonan dimuktamadkan saudara Anwar tidak dapat meneruskan pencalonan beliau.

Hidup Rakyat! Reformasi!

Dr Wan Azizah Wan Ismail
ADUN Kajang merangkap Presiden KEADILAN‎

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Thursday, March 27, 2014

JINGGA 13 KECAM HUKUMAN MATI KE ATAS 529 PENYOKONG MORSI



Sent from my BlackBerry 10 smartphone.


Kenyataan Media
JINGGA13 Malaysia

27 Mac 2014

JINGGA 13 KECAM HUKUMAN MATI KE ATAS 529 PENYOKONG MORSI

Jingga 13  Malaysia mengecam sekeras-kerasnya hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Mesir hari ini ke atas 529 orang penyokong Presiden Mesir yang dipilih secara sah menerusi pilihanraya,Dr.Mohamad Morsi Al - Ayyat.

Sesungguhnya hukuman ini merupakan pelanggaran hak – hak asasi manusia dan sistem demokrasi,yang mana El-sisi telah ,merampas kuasa dengan menggunakan tentera lalu melakukan kezaliman ke atas penyokong Morsi yang membantah rampasan kuasa yang membelakangkan sistem demokrasi.

Hukuman ini jelas merupakan rentetan daripada langkah kuku besi yang didalangi oleh regim Adly Mansour dan El-Sisi untuk mengukuhkan cengkaman kuasa mereka. Cengkaman itu meliputi memberikan kuasa yang lebih besar ke atas Supreme Council of the Armed Forces (SCAF) yang bertindak mengekang kebebasan serta hak rakyat Mesir untuk bersuara!

Setelah sekian kalinya rakyat mesir khususnya penyokong Ikhwanul Muslimin turun ke jalanraya tanpa senjata membantah secara aman tindakan kudeta El-sisi yang yang secara jelas memperkosa nilai – nilai demokratik ,setelah banyak nyawa terkorban akibat dari tindakan ganas aparat – aparat regim pemerintah.

Jingga 13 Malaysia melihat hukuman mati yang dikenakan itu merupakan campur tangan regim pemerintah untuk mengugut warga Mesir menjelang pilihanraya Presiden Mesir tidak lama lagi. 

Seramai 700 lagi saki baki daripada kira-kira 1200 para penyokong Morsi pula yang akan dibicarakan atas dakwaan mencetuskan huru hara serta mengancam ketenteraman awam.

Jingga 13 Malaysia menegaskan bahawa kemelut politik Mesir ini adalah polemik sejagat yang bakal menjejaskan kestabilan politik dunia. Kebangkitan rakyat Mesir merupakan simbol kebangkitan demokrasi berinspirasikan rakyat yang tertindas. sejak sekian lama. Sikap membisu serta menutup mata masyarakat antarabangsa merupakan pengkhianatan terhadap demokrasi itu sendiri!

Justeru Jingga 13 Malaysia menggesa rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa untuk menyuarakan dengan protes mereka dengan lantang terhadap kezaliman ini. Demi ke arah memartabatkan Kebebasan demokratik,hak Asasi,agama Islam dan Keadilan sejagat.

MUAFAKAT*PRIHATIN*BERANI

AMIZUDIN AHMAT
Timbalan Ketua Koordinator
JINGGA13 Malaysia‎

Wednesday, March 26, 2014

ABIM KECAM HUKUMAN MATI KE ATAS 529 PENYOKONG MORSI

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Mesir hari ini ke atas 529 orang penyokong Presiden Mesir yang dipilih secara sah menerusi demokrasi,Dr.Mohamad Morsi. 

Sesungguhnya hukuman ini merupakan langkah ke belakang yang menjanjikan masa depan yang serba gelap terhadap amalan demokrasi serta rakyat Mesir keseluruhannya.

Hukuman ini jelas merupakan rentetan daripada langkah kuku besi yang didalangi oleh regim pemerintah Mesir untuk mengukuhkan cengkaman kuasa mereka. Cengkaman itu meliputi memberikan kuasa yang lebih besar ke atas Supreme Council of the Armed Forces (SCAF) yang bertindak menafikan samasekali kebebasan serta hak rakyat Mesir untuk bersuara!

ABIM menilai hukuman mati yang dikenakan itu merupakan campur tangan regim pemerintah untuk menakut-nakutkan rakyat Mesir menjelang pilihanraya Presiden Mesir tidak lama lagi. Esok, Selasa 25 Mac 2013, seramai 700 lagi saki baki daripada kira-kira 1200 para penyokong Morsi pula yang akan dibicarakan atas dakwaan mencetuskan huru hara serta mengancam ketenteraman awam.

Usaha untuk memusnahkan gerakan Ikhwan Muslimin yang bergerak serta berdiri di atas dukungan akar umbi rakyat Mesir semakin berleluasa dengan 'pembunuhan kehakiman' terhadap 529 mangsa terbaru ini. Tanggapan bahawa hukuman ini hanya bersifat "domestik" serta tidak mencakupi kepentingan masyarakat awam di peringkat antarabangsa seharusnya dikikis. Pastinya kezaliman terbaru ini bakal merancakkan lagi gerakan diktator negara-negara Arab yang kini bergerak aktif memburu simpatisan Ikhwan Muslimin khususnya di Bahrainn, UAE dan Arab Saudi.

ABIM menegaskan bahawa kemelut politik Mesir ini adalah polemik sejagat yang bakal menjejaskan kestabilan politik dunia. Kebangkitan rakyat Mesir merupakan simbol kebangkitan demokrasi berinspirasikan rakyat yang tertindas. sejak sekian lama. Sikap membisu serta menutup mata masyarakat antarabangsa merupakan pengkhianatan terhadap demokrasi itu sendiri!

Oleh itu, ABIM menggesa rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa untuk menyuarakan secara lantang tentangan mereka terhadap kezaliman ini. Demi ke arah memartabatkan Demokrasi, Kebebasan, Serta Karamah Insaniah rakyat Mesir dan umat secara keseluruhannya. We Are All Ikhwan (Kita Semua Adalah Bersaudara). 

Amidi Abd Manan, 
Presiden, 
Angkatan Belia Islam Malaysia / Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM)


Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Tuesday, March 25, 2014

Dato' Saifudin Nasution dihalang ke Sarawak...


KENYATAAN MEDIA
25 Mac 2014

SETIAUSAHA AGUNG KEADILAN DISEKAT MEMASUKI SARAWAK

KEADILAN pagi ini dikejutkan dengan berita bahawa Datuk Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung KEADILAN telah disekat dari memasuki negeri Sarawak. Beliau telah tiba di Sibu dengan penerbangan MH2712 pada jam 11 pagi tadi untuk membantu calon KEADILAN dalam kempen PRK Balingian. 

Namun sejurus tiba di Sibu pagi ini, beliau telah dimaklumkan pegawai yang bertugas bahawa satu arahan telah dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Sarawak pada 22hb Mac 2014 untuk menyekat beliau dari memasuki negeri Sarawak.

Datuk Saifuddin kini sedang menunggu penerbangan balik ke Kuala Lumpur.

KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak demokratik ini. Cukup jelas pengaruh politik kuku besi Taib Mahmud masih berleluasa walaupun Ketua Menteri sudah bertukar ganti, dan pengaruh ini terus merencatkan perkembangan demokrasi di bumi Sarawak.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN‎
Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Monday, March 10, 2014

Ikram selar kewibawaan Mahkamah

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
 
9 Mac 2014 bersamaan 7 Jamadil Awwal 1435 H
 
Kes Dato' Seri Anwar Ibrahim: Kewibawaan Mahkamah Dipersoalkan
 
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengikuti secara dekat perkembangan proses perbicaraan serta keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 yang telah mensabitkan Dato' Seri Anwar Ibrahim bersalah di bawah Seksyen 377A dan dihukum penjara 5 tahun.

IKRAM mempersoalkan proses perbicaraan dan keputusan mahkamah berkenaan kerana terdapat unsur-unsur yang banyak menimbulkan keraguan. Di antaranya ialah;

a)        Tarikh perbicaraan yang pada asalnya ditetapkan pada 7-10 April 2014 telah diawalkan kepada tarikh 6-7 Mac 2014, iaitu hampir dengan tarikh penamaan calon di Pilihan Raya Kecil DUN Kajang.

b)      Keputusan sabitan dan hukuman diumumkan terus pada akhir perbicaraan pada 7 Mac 2014. Tindakan tergesa-gesa dalam memberi penghakiman bertukar (reverse decision) amat jarang berlaku di dalam kes rayuan seberat ini.

c)   Penolakan permohonan mitigasi hukuman yang dipohon untuk dilanjutkan ke tarikh lain bagi membolehkan pihak pembelaan menyediakan dokumen sokongan untuk mitigasi hukuman. Lazimnya mahkamah memberi tempoh yang munasabah kepada peguam tertuduh dalam menyediakan hujah mitigasi.

Atas sebab itu, IKRAM boleh memahami mengapa masyarakat mempersoalkan kewibawaan mahkamah dalam mengendali dan memutuskan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan yang diambil oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan merupakan suatu hak yang diperuntukkan oleh undang-undang, namun hak ini tidak akan memberi sebarang makna sekiranya persoalan-persoalan dan kegusaran yang ditimbulkan di atas tidak dapat ditangani secara profesional dan berintegriti.

IKRAM dengan ini menegaskan:

1.        Sistem kehakiman negara perlu memastikan keadilan itu bukan sekadar ditegakkan tetapi mesti dilihat ditegakkan.

2.        Sistem kehakiman negara perlu bebas dan dilihat bebas daripada sebarang campur tangan politik atau desakan pihak eksekutif.

3.        Kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman negara perlu dipulihkan dengan memastikan ia bebas, adil dan berakhlak.
 
Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Hj. Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)


Sent from my BlackBerry 10 smartphone.