SharpShooter Followers


Thursday, September 24, 2015

PERUTUSAN AIDILADHA

PERUTUSAN AIDILADHA PRESIDEN KEADILAN 1436H/2015

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd.

Marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas kesempatan yang diberikan kepada kita untuk merayakan AidilAdha bagi tahun 1436 Hijrah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.

Kepatuhan dan ketaatan Nabi Ibrahim tiada tolok bandingnya yang telah menjadikan Baginda sebagai pemimpin contoh yang terulung dan terhebat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya.

(Setelah itu) Allah berfirman lagi: 'Sesungguhnya Aku melantik mu menjadi Imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia'. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: '(Ya Tuhan ku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunan ku (pemimpin-pemimpin ikutan)'. Allah menjelaskan lagi: '(Permohonan mu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim". (Surah Al-Baqarah:124)

Mengambil iktibar daripada peristiwa Korban ini, kita harus memperkukuhkan muafakat rakyat untuk berhadapan dengan penguasa yang zalim, yang mempelopori politik perkauman untuk mengapi-apikan permusuhan, yang mengamalkan politik korupsi serta pincang dalam menjalankan amanah mentadbir ekonomi negara dengan baik.

Kesungguhan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat, melepaskan mereka dari belenggu kemelesetan ekonomi dan mengelakkan negara terjerumus ke jurang perkauman, harus menjadi keutamaan kita.

Justeru, kita harus menyelami erti pengorbanan sebenar, iaitu berjuang penuh keikhlasan dengan mengetepikan kepentingan peribadi, kelompok, puak dan sebagainya, dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam pencapaian perjuangan kita.

Aidiladha juga mengajar erti pengorbanan, kesungguhan dam kesetiaan kita, sama ada terhadap Pencipta kita, mahu pun kepada sahabat handai dan rakan seperjuangan kita.

Mudah-mudahan Allah merestui perjuangan kita.

Salam Aidiladha buat seluruh umat Islam Malaysia daripada kepimpinan dan akar umbi KEADILAN, moga
ibadah korban kita diterima.

Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Walillahilhamd.

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM
DATUK SERI DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
10 Zulhijjah 1436H

Sunday, September 06, 2015

Integriti PM Terhakis, Panggil Segera Sidang Tergempar Parlimen

Integriti PM Terhakis, Panggil Segera Sidang Tergempar Parlimen – Dr Wan Azizah

KENYATAAN MEDIA

INTEGRITI PM TERHAKIS AKIBAT SKANDAL RASUAH: PANGGIL SEGERA SIDANG TERGEMPAR PARLIMEN

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memandang serius kecaman masyarakat antarabangsa terhadap kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, berikutan kegagalan beliau memberikan penjelasan mengena 'derma' sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang diterima dalam akaun peribadi Presiden Umno itu.

Minggu ini, beberapa badan dunia yang terlibat dalam membanteras rasuah pada Persidangan Antarabangsa Pencegahan Rasuah (IACC) ke-16 di Putrajaya, mengkritik kegagalan PM dan Kerajaan Malaysia dalam menangani gejala rasuah.

KEADILAN berasa gusar apabila Pengerusi Transparency International (TI) Jose Ugaz menggambarkan sumbangan itu sebagai satu kes rasuah dahsyat, yang boleh memberi kesan kepada hak asasi manusia. Naib Pengerusi TI, Elena Panfilova menegaskan sokongan badan antarabangsa itu terhadap Perhimpunan Bersih4 yang turun ke jalanan bagi mendesak PM menjelaskan mengapa dana sebesar itu masuk ke dalam akaun peribadi beliau.

Manakala Cobus de Swardt daripada Transparency International-Afrika Selatan mendakwa Najib tidak boleh berdiam diri jika beliau mahu meyakinkan dunia, terutama pelabur, untuk membuat pelaburan di Malaysia. Turuk mengkritik PM juga adalah Setiausaha Agung TI, Salil Shetty dan anggota IACC, Michael Hershman.

Bagi KEADILAN, kenyataan-kenyataan ini adalah senada dengan pendirian kira-kira 500,000 rakyat Malaysia yang turun ke Dataran Merdeka pada 29 dan 30 Ogos lepas. Malah di kalangan anggota komponen BN dan dalam Umno sendiri, begitu sangsi dengan kredibiliti PM, termasuk dalam isu membabitkan 1MDB dan skandal-skandal lain.

Tindakan PM merombak Kabinet dengan memasukkan Pengerusi dan beberapa orang anggota PAC dalam kerajaan, jelas bertujuan menghalang siasatan menyeluruh dilakukan terhadap beliau.

Majoriti rakyat Malaysia, termasuk badan yang mewakili kumpulan anti-rasuah antarabangsa, mengkritik sikap berdiam diri PM terhadap dakwaan derma yang diterima beliau dalam akaun peribadinya.

KEADILAN turut sama mempersoalkan siapa yang memberikan AS$700 juta itu dan apakah tujuan derma itu?

KEADILAN mendesak supaya dipanggil suatu sidang tergempar Parlimen Malaysia dalam kadar segera, bagi membolehkan PM memberikan jawapan secara jujur kepada rakyat Malaysia apakah sebenarnya yang berlaku terhadap 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

SELAMATKAN MALAYSIA

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN

6 September 2015