SharpShooter Followers


Saturday, January 03, 2015

Lapan pembantu mantan MB diarah kembalikan RM2.6 juta

Lapan pembantu mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid, diarah menyerahkan kembali wang pembayaran gratuiti RM2.6 juta yang diterima mereka kepada Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).

Pembayaran perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari selepas penerimaan surat diutus pengurusan baharu MBI kepada lapan individu itu.

Dato' Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata MBI mendapati wujud beberapa perkara yang melanggar tatacara dan peraturan kewangan berhubung pembayaran berkenaan serta syarat kontrak yang dipersetujui.

"Setelah mendapat nasihat pihak peguam maka pengurusan baharu memutuskan menghantar surat kepada mereka bagi memberi peringatan supaya mengembalikan semula wang yang dibayar itu," katanya kepada media, selepas menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul 1436 hijrah peringkat Selangor di Stadium Malawati.

Katanya, tindakan akan diambil sekiranya pihak terbabit tidak mengembalikannya tetapi Kerajaan Negeri memberi peluang kepada mereka meneliti dahulu surat berkaitan dan berbuat seperti diarahkan.

"Sudah tentulah mereka kena kembalikan semula wang berkenaan kepada MBI dan MBI akan meneliti jumlah kelayakan yang akan dibayar kepada mereka," katanya.

Sebelum ini, lapan pegawai Abdul Khalid yang dilantik MBI dilaporkan menerima bayaran pampasan bernilai RM2.6 juta.

Pembayaran itu didakwa dibuat pada penghujung tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sebelum Azmin mengambil alih jawatan Menteri Besar.

Hasil semakan laporan audit ke atas bayaran pampasan itu dibentangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 3 Disember lalu mendapati wujud kesalahan dari segi tatacara dan prosedur pembayaran.

Ia membabitkan lebihan pembayaran kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin dan bekas Setiausaha Politik, Mustapha Mohd Talib.‎

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Laporan Ringkas Misi Prihatin (Banjir) Jingga 13 Malaysia -- 1 Jan 2015




TEAM Prihatin Jingga 13 tiba  di Kota Bharu Kelantan pada jam 6 pagi, 1 Januari 2015. Kami mula menurunkan barang-barang bantuan kira-kira jam 10 pagi selepas berehat di Bengkel Motorsikal milik salah seorang sukarelawan Jingga 13, Saudara Saiful yang dijadikan Pusat Operasi Misi Prihatin (Banjir) Jingga 13 di Negeri Kelantan. 

Sebelum proses pengagihan, ada sebahagian bantuan telah diberi kepada mangsa banjir yang datang sendiri ke Pusat Operasi secara 'walk in'.

Berlaku proses pembungkusan semula bantuan bagi tujuan pengagihan. Semua bantuan mula diagihkan pada kira-kira jam 2 petang melalui dua kumpulan menaiki pacuan 4 roda. 

Team 1 — Diketuai oleh Ketua Koordinator Jingga 13 Malaysia, Cikgu Fariz Musa, bergerak ke Kampung Pasir Ho, Kota Bharu manakala Team 2 — Diketuai oleh Raja Nazrin, bergerak ke Sungai Sok di Manik Urai dan Kg Pahi, Kuala Krai.

Suasana selepas banjir dilihat begitu menyedihkan, banyak kawasan yang tidak menerima bantuan, ditambah dengan kemusnahan harta benda yang begitu menginsafkan kami.


Laporan Ringkas: Misi Prihatin (Banjir) Jingga 13 Malaysia — 1 Januari 2015.


Friday, January 02, 2015

Misi Prihatin (Banjir 2014) Jingga 13 Malaysia




JINGGA 13 Malaysia diketuai oleh Ketua Koordinator, Cikgu Fariz Musa bersama 15 sukarelawan NGO itu, telah berlepas ke Kelantan dalam melaksanakan Misi Prihatin untuk menyampaikan  bantuan yang diterima daripada orang ramai kepada mangsa-mangsa banjir di negeri tersebut.

Lori 10 tan yang sarat dengan muatan bantuan kemanusiaan berlepas dari Shah Alam pada jam 8 malam. Difahamkan, semua bantuan kemanusiaan dikumpulkan melalui satu aktiviti pengumpulan bantuan daripada orang ramai yang dilaksanakan oleh NGO ini.

Difahamkan juga, selain sumbangan orang ramai, pihak kerabat diraja Selangor turut menghulurkan sebahagian besar bantuan kepada Jingga 13 untuk diagih-agihkan kepada mangsa banjir yang memerlukan.

Bantuan kemanusiaan tersebut terdiri daripada bahan makanan, pakaian serta ubat-ubatan dan barangan keperluan harian seperti lampin pakai buang, dan tuala wanita.

Team Prihatin Jingga 13, tiba di lokasi sebuah bengkel motorsikal di Kota Bharu Kelantan, yang dijadikan Pusat Operasi Misi Prihatin (Banjir) Jingga 13 Malaysia. Di sini barang-barang bantuan dipunggah dan diturunkan sebelum proses agihan dilakukan kepada golongan sasaran.



Laporan Misi Prihatin (Banjir) Jingga 13 Malaysia
— 31 Disember 2014.

Jingga 13 berharap semua mangsa terus bersabar menghadapi ujian ini, semoga dengan sedikit sumbangan ini dapat meringankan bebanan mangsa banjir. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya...‎