SharpShooter Followers

Wednesday, September 28, 2016

CUBAAN MELENYAPKAN SUARA RAKYAT MELALUI DASAR DAN UNDANG-UNDANG LAPUK AKTA HASUTAN


Hari ini mencatatkan satu lagi sejarah hitam buat negara apabila ahli dewan rakyat YB Tian Chua, Ahli Parlimen Batu disabitkan bersalah . Mengikut seksyen 4(1) (b) Akta Hasutan, hakim menyatakan bahawa Naib Presiden KEADILAN merujuk perkataan "bangkit" dan "turun ke jalan raya" adalah bersifat menghasut.

[1] Pada 11 Julai 2012, Najib mengumumkan kerajaan telah mengambil keputusan untuk menguatkuasakan secara serta-merta semua akta baru dan memansuhkan Akta Hasutan 1948 serta digantikan dengan suatu rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

[2] Saya juga pernah bangkitkan pada tahun 2013 berkenaan dimana janji PM untuk memansuhkan akta hasutan.

[3] Sehingga hari ini, terdapat lebih 30 ahli parlimen pembangkang yang didakwa di bawah Peaceful Assembly Act (PAA 2014) dan Akta Hasutan yang dibebankan kepada Ahli Parlimen, aktivis-aktivis politik dan kartunis.

Pada oktober 2015, saya telah menulis kepada IPU untuk mengeluarkan kenyataan berkenaan 8 orang ahli parlimen daripada Keadilan, 9 orang daripada DAP, 2 orang daripada Amanah, dan seorang daripada PSM.

[4] Data ini menunjukkan bahawa kerajaan BN tetap akan menggunakan dasar-dasar untuk menekan pembangkang dan sesiapa sahaja yang lantang bersuara mempersoalkan urus tadbir negara.

Minggu lalu Suruhanjaya Pilihan Raya,SPR yang mengeluarkan syor-syor untuk yang dikenalpasti memberikan impak negatif kepada kawasan yang dimenangi oleh pembangkang.

Minggu ini, kita dikejutkan dengan sabitan hukuman kepada YB Tian Chua yang kononnya menghasut 3 tahun yang lalu dalam satu forum.

Justeru, keseluruhan keputusan yang diambil oleh kerajaan ini jelas menunjukkan mereka terdesak untuk mengekang suara rakyat dan mana-mana pihak yang dilihat sebagai ancaman kepada mereka.

Ahli-ahli parlimen pembangkang akan disibukkan dengan isu dan kes mahkamah, dalam masa yang sama agensi-agensi kerajaan digunakan untuk menjadi tangan-tangan ghaib untuk menyelamatkan kerajaan.

Menghasut rakyat untuk menegakkan hak bersuara dan demokrasi dalam kes YB Tian Chua rupa-rupanya satu kesalahan. Tetapi menghasut rakyat dengan provokasi dan ancaman huru-hara dalam kes Jamal dan Ali Tinju bukan kesalahan? Atau saya silap.

Kes mereka masih dalam siasatan?

[5] Harus berapa tempang lagi sistem kehakiman dan keadilan negara sehingga melenyapkan suara rakyat.

Pada 26 September 2016 yang lalu, saya telah memfailkan satu surat pindaan usul di bawah akta 27 (1) menggantikan akta hasutan kepada akta keharmonian nasional.

Usul ini adalah juga merupakan satu unjuran peringatan kepada janji YAB PM untuk memansuhkan Akta Hasutan pada tahun 2012.

Kita nantikan pelunasan pemansuhan akta yang bakal memberi cek kosong kepada BN untuk terus menindas rakyat menerusi dasar-dasar menekan tanpa suara wakil rakyat pembangkang sebagai penimbang tara.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden Dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN

[1] http://www.malaysiakini.com/news/357159

[2]http://www.sinarharian.com.my/nasional/pm-mansuh-akta-hasutan-gubal-akta-keharmonian-nasional-1.65662

[3]http://www.sinarharian.com.my/politik/izzah-mahu-pm-tunai-janji-mansuh-akta-hasutan-1.177972

[4]http://www.thestartv.com/episode/opposition-highlights-malaysian-political-climate-to-ipu/

[5] http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/28/tian-chua-didapati-bersalah-menghasut/