SharpShooter Followers

Monday, November 14, 2011

5 Sebab Kenapa Pulau Pinang Tidak Akan Mengadakan Pilihanraya Tahun Ini

Sementara spekulasi bertiup kencang bahawa Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak akan membubarkan Parlimen pada tanggal bertuah 11 November 2011, terdapat 5 sebab kenapa Pulau Pinang tidak akan mengikutinya jika pilihanraya diadakan pada tahun ini.

Pertama, BN masih belum lagi menyempurnakan janji untuk memansuhkan Akta Dalam Negeri (ISA) dan pengagihan RM500 kepada semua isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Soalan sedang ditimbulkan sama ada janji pemansuhan ISA ini merupakan wayang semata-mata, kerana pada masa yang sama kita diberitahu bahawa ISA itu akan digantikan dengan dua lagi undang-undang yang serupa. Jika itu berlaku, Malaysia bukan sahaja akan mempunyai satu ISA, tetapi dua.

Bayaran RM100 kepada setiap pelajar yang dilakukan pada tahun ini menimbulkan soalan kesahihan, terutamanya apabila Belanjawan 2012 belum lagi diluluskan oleh Parlimen. Dan jika pembayaran RM100 akan diberi pada tahun ini memandangkan ia tidak diperuntukkan dalam Belanjawan 2011, dari manakah datangnya duit yang ingin dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan ini?

Jangan kita lupa bahawa Malaysia telah mencatatkan defisit belanjawan pada tahun ini, sepertimana defisit telah dicatatkan untuk 15 tahun berturut-turut. Defisit negara bagi tahun 2010 adalah RM43.27 bilion, dan untuk tahun 2011 pula RM45.51 bilion, manakala unjuran defisit untuk 2012 adalah RM43 bilion (atau 4.7% daripada unjuran nominal KDNK RM918 bilion).

Di manakah Kerajaan Persekutuan akan mendapat lebihan RM530 juta untuk pemberian RM100 kepada setiap pelajar sekolah tahun ini apabila ia tidak diperuntukkan dalam tahun 2011? Dan bukankah ini akan menambahkan defisit negara?

Kedua, adalah tidak adil untuk menafikan hak mengundi kepada jemaah Haji yang sedang menunaikan ibadah mereka jika pilihanraya umum diadakan sekarang. Kelompok terakhir jemaah Haji hanya dijangka kembali pada 11 Disember. Seramai 30,000 rakyat Malaysia telah ke Makkah untuk menunaikan ibadah Haji pada tahun ini.

Ketiga, kegagalan dan keengganan Kerajaan BN untuk menjelaskan penyelewengan dana, penyalahgunaan kuasa dan ketidakseimbangan yang nyata seperti yang telah digariskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Laporan tersebut telah mengingatkan rakyat Malaysia tentang segala kekurangan dan kesalahan dalam pentadbiran Kerajaan BN. Sepasang binokular marin 'visi malam' yang berharga RM1,940 telah dibeli pada harga RM56,350; set TV LCD dan pemain DVD telah dipesan dengan harga kontrak RM16,100 tetapi yang dibekalkan merupakan set jenama bermutu rendah yang berharga RM195; RM770,000 pula telah dibelanjakan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada satu rumah.

Laporan Ketua Audit telah menyatakan bahawa 9 buah kementerian atau jabatan telah terlebih membelanjakan peruntukan dengan jumlah sebanyak RM3.73 bilion. Menteri Datuk Shahrizat Abdul Jalil pula terlibat dengan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang bernilai RM73.6 juta, apabila projek itu telah diberikan kepada keluarganya. Suami Datuk Shahrizat merupakan Pengerusi Eksekutif manakala anaknya menyandang jawatan Ketua Eksekutif (CEO). Anak-anak lainnya pula berjawatan Pengarah Eksekutif.

Banyak soalan belum dijawab tentang projek Fidlot di Gemas, Negri Sembilan, seperti pengeluaran lembu yang tidak mencapai sasaran, di mana 3,289 ekor telah dikeluarkan dalam tahun 2010, atau 41.1 peratus daripada 8,000 ekor yang disasarkan).

Laporan Ketua Audit Negara juga telah menekankan pengurusan yang tidak cekap sebagai faktor utama untuk prestasi lemah yang dicapai, di samping mengemukakan kegagalan untuk melatih petani yang cukup, tanah 5,000 ekar yang bermensiang dan tidak terjaga serta penyenggaraan yang kurang memuaskan.

Oleh itu, rakyat Malaysia berasa bimbang dengan penggunaan wang rakyat, yang juga sekarang membabitkan pinjaman RM250 juta untuk membiayai "bisnes keluarga" ini, apatah lagi apabila projek ini nampaknya akan menjadi satu kegagalan yang besar. Tambahan pula, Shahrizat belum lagi menafikan laporan bahawa dana itu telah digunakan untuk tujuan lain seperti yang didakwa oleh PKR bahawa hampir RM10 juta telah digunakan untuk pembelian sebuah unit kondo mewah.

Keempat, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk reformasi pilihanraya masih belum lagi selesai dengan pendengaran awamnya untuk melakukan perubahan demi menzahirkan pilihanraya yang bebas, bersih dan adil.

Kegagalan untuk melaksanakan perubahan ini akan membolehkan pilihanraya yang paling kotor dalam sejarah dengan pengundi hantu dan juga pengundi asing yang diberi kerakyatan secara pantas dan ajaib. Adakah nasib dan takdir Malaysia akan ditentukan oleh rakyat kita sendiri ataupun pengundi hantu dan pengundi asing?

Kelima, agenda kebangsaan menjelang akhir tahun ini patut ditumpukan kepada tindakan mitigasi dan pencegahan banjir. Malaysia harus belajar daripada kengerian banjir di Thailand yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa yang tragis dan kerugian kewangan yang besar.

Jika pilihanraya umum diadakan semasa musim tengkujuh, ia bukan sahaja akan menafikan hak demokratik mangsa-mangsa banjir tetapi juga bersifat tidak berperikamanusiaan.
Jika Najib berkeras untuk mengadakan pilihanraya kilat pada akhir tahun ini, Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan menganjurkan sebuah konvensyen khas di mana cadangan akan disyorkan supaya pilihanraya negeri tidak akan diadakan bersama dengan pilihanraya umum.

Lim Guan Eng