Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad mencabar Kementerian Pengangkutan membenarkan beliau sendiri menyemak dokumen pembelian 38 set Electric Multiple Unit (EMU) enam gerabak dari Zhuzhou Electric Locomotive Co. Ltd (ZELC) dengan kos RM1.9 bilion secara runding terus memandangkan siasatan pihak berkuasa menunjukkan tiada unsur penyelewengan.
Dakwaan sebelum ini menyebut pembelian itu untuk kegunaan KTM Berhad dari syarikat China itu dianggarkan RM500 juta lebih mahal berbanding harga ditawarkan melalui tender sebelumnya.
“Kalau benar tidak terdapat sebarang unsur penyelewangan, saya ingin mendapatkan butir-butir pembelian komponen-komponen utama yang digunakan dalam EMU, yang dibeli. Ini membolehkan saya untuk menyemak dengan mudah sama ada berlaku penokoktambahan harga yang tidak munasabah,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
“Saya memohon jasa baik YB Menteri Pengangkutan untuk saya dan juruperunding yang telah saya lantik untuk menyemak dokumen spesifikasi EMU yang telah dijadikan asas rundingan harga bagi pembelian 38 set EMU enam gerabak dari ZELC,” katanya.
Wakil rakyat PAS itu menambah, memandangkan tidak terdapat elemen penyelewengan seperti yang ditegaskan oleh Menteri Pengangkutan, “saya percaya tidak akan ada masalah untuk saya menyemak dokumen spesifikasi tersebut untuk saya bandingkan dengan dokumen spesifikasi EMU bagi tender terdahulu yang ada dalam simpanan saya.”
Katanya, melalui perbandingan kedua-dua dokumen spesifikasi tersebut, beliau percaya akan dapat merungkaikan isu ketirisan sehingga RM500 juta yang kini menyelubungi pembelian 38 set EMU enam gerabak terbabit.
Sehubungan itu, beliau yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat bertanya “apakah semua pegawai KTMB yang ditemu bual oleh SPRM bersetuju harga yang ditawar ZELC itu munasabah?”
“Apakah SPRM telah menyiasat secara menyeluruh mengenai cara pembayaran EMU yang dikatakan tidak dibayar terus kepada ZELC, selaku pengeluar EMU yang berpengkalan di Zhuzhou, China?” katanya lagi yang membangkitkan isu ini di Parlimen pada 29 Jun 2010.
Dzulkefly menambah, beliau difahamkan bahawa perjanjian pembelian berkemungkinan besar melibatkan ZELC yang berpejabat di Hong Kong memandangkan ZELC, yang berpangkalan di Zhuzhou dikawal selia secara ketat oleh kerajaan China berhubung transaksi melibatkan keluar masuk wang.
“SPRM (juga) dikatakan telah menghubungi rakan sejawat mereka di China. Apakah agensi antirasuah China itu tidak sedikit pun merasa sangsi mengenai harga tawaran yang terlalu mahal yang dikemukakan oleh ZELC,” katanya lagi.
Katanya, berdasarkan spesifikasi diberi oleh KTMB, semua pengeluar EMU milik negara China akan mengeluarkan set yang mempunyai harga tidak akan mempunyai jurang perbezaan besar.
“Hakikat ini terbukti melalui harga yang ditawarkan oleh tiga pengeluar China termasuk ZELC dalam tender membekal EMU tiga gerabak sebelum ini.
“Saya percaya harga yang amat tinggi yang ditawarkan oleh ZELC termasuk ‘elemen komisyen’ atau lebih tepat lagi ‘kickback’ ejen tempatan,” katanya.
Pada Julai 2010, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) mendesak SPRM menyiasat urusan pembelian 38 unit EMU terbabit kerana pembeliannya didakwa melebihi harga asal tender.
(1) Atas kriteria apakah MOT memilih untuk mengadakan rundingan terus dengan ZELC bagi pembelian 38 set EMU di atas?
Saya percaya pemilihan ZELC berdasarkan tawaran EMU mengikut spesifikasi KTMB pada harga yang munasabah dalam tender terdahulu, iaitu tender membekal lapan set EMU tiga gerabak.
Saya percaya rundingan harga dengan ZELC dibuat tidak mengikut spesifikasi asal KTMB memandangkan tender terdahulu telah dibatalkan pada 27 April 2010.
(2) Persoalannya, mengapakah rundingan harga dengan ZELC tidak dibuat mengikut spesifikasi tender asal dengan mengubahsuai klausa-klausa tertentu bagi mengambilkira perubahan keperluan dari set EMU tiga kepada enam gerabak?
Pohon semak dokumen
Mengapa perlu dibatal tender terdahulu sedangkan pemilihan ZELC dibuat berasaskan penilaian tender tersebut?
Saya percaya sekiranya rundingan harga dengan ZELC didasarkan kepada spesifikasi yang diberi KTMB, selain perubahan dari tiga kepada enam gerabak bagi setiap set EMU, harga setiap set EMU enam gerabak tidak akan meningkat sehingga RM48 juta setiap set seperti yang ditawarkan oleh ZELC.
Ironisnya, harga yang ditawarkan ZELC melalui rundingan terus melonjak kepada RM48 juta bagi setiap set EMU enam gerabak berbanding harga tender sebelumnya RM13.725 juta
bagi setiap set EMU tiga gerabak. Saya menganggarkan harga yang paling mahal bagi setiap set EMU enam gerabak ialah RM40 juta.
(3) Sehubungan itu, saya memohon jasa baik menteri pengangkutan untuk saya dan juruperunding yang saya lantik untuk menyemak dokumen spesifikasi EMU dijadikan asas rundingan harga bagi pembelian 38 set EMU enam gerabak dari ZELC.
Memandangkan tidak terdapat elemen penyelewengan seperti yang dinyatakan oleh menteri pengangkutan, saya percaya tidak akan ada masalah untuk saya menyemak dokumen spesifikasi tersebut untuk saya bandingkan dengan dokumen spesifikasi EMU bagi tender terdahulu yang ada dalam simpanan saya.
Melalui perbandingan kedua-dua dokumen spesifikasi tersebut, saya percaya akan dapat merungkaikan isu ketirisan sehingga RM500 juta yang kini menyelubungi pembelian 38 set EM enam gerabak dari ZELC.
Kawal ketat kerajaan China
(4) Apakah semua pegawai-pegawai KTMB yang ditemubual oleh SPRM bersetuju harga yang ditawar ZELC itu munasabah?
(5) Apakah SPRM menyiasat secara menyeluruh mengenai cara pembayaran EMU yang dikatakan tidak dibayar terus kepada ZELC, selaku pengeluar EMU yang berpengkalan di Zhuzhou, China.
Saya difahamkan bahawa perjanjian pembelian berkemungkinan besar melibatkan ZELC (Hong Kong) memandangkan ZELC yang berpengkalan di Zhuzhou, China, di kawalselia secara ketat oleh kerajaan China berhubung transaksi yang melibatkan keluar masuk wang dari negara itu.
SPRM dikatakan telah menghubungi rakan sejawat mereka di China. Apakah agensi antirasuah China itu tidak sedikit pun merasa sangsi mengenai harga tawaran yang terlalu mahal yang
dikemukakan oleh ZELC.
(6) Berdasarkan spesifikasi yang diberi oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), semua pengeluar EMU milik negara China akan mengeluarkan EMU yang mempunyai harga yang tidak akan mempunyai jurang perbezaan yang besar.
Hakikat ini terbukti melalui harga yang ditawarkan oleh tiga pengeluar China, termasuk ZELC, dalam tender membekal EMU tiga gerabak sebelum ini.
Saya percaya harga yang amat tinggi yang ditawarkan oleh ZELC termasuk ’elemen komisyen’ atau lebih tepat lagi ’kickback’ agen tempatan.
(7) Kalau benar tidak terdapat sebarang unsur penyelewangan, saya ingin mendapatkan butir-butir pembelian (cost breakdown) komponen-komponen utama yang digunakan dalam EMU yang dibeli. Ini membolehkan saya untuk menyemak dengan mudah sama ada berlaku tokok tambah harga yang tidak munasabah.
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/