SharpShooter Followers

Tuesday, November 01, 2011

Anak gadis Najib belanja RM195,000 dari sumber sahih

Berita mengenai anak gadis Perdana Menteri yang berbelanja sebanyak RM195,000 di sebuah gedung membeli belah terkemuka di Australia, adalah daripada sumber yang sahih.

Keratan akhbar West Australian bertajuk “Delegates go shopping and sightseeing‘ itu diperoleh menerusi satu kiriman email oleh satu sumber yang dipercayai kepada Keadilan Daily.

Sumber itu memperoleh keratan berkenaan daripada seorang ahli politik Australia, yang enggan dinamakan atas sebab-sebab politik.

Bagaimanapun, laporan berita dari akhbar bercetak West Australian itu tidak disiarkan di dalam akhbar dalam talian mereka.

Ekoran itu, keratan berita itu kini turut tersebar di internet dan dimuatkan di blog dan dalam laman sosial seperti Facebook.

Nilai wang yang dibelanjakan anak gadis Najib bagaimanapun dianggarkan sebanyak RM195,000 mengikut kadar tukaran semasa dan bukan RM180,000 seperti dilaporkan pada awalnya.

Semalam, Keadilan Daily menyiarkan berita anak perempuan Datuk Seri Najib Razak membelanjakan kira-kira RM180,000 atau A$60000 untuk barangan jenama di David Jones- sebuah gedung terkemuka di negara itu.

Memetik keratan akhbar Australia itu, seorang wanita Pertama yang tidak dinamakan turut membelanjakan A$150,000 (RM487,000) bagi membeli mutiara.

Kesempatan membeli belah itu diambil ketika Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berlepas ke Perth untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), minggu lalu.

Antara yang turut serta dalam delegasi berkenaan ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim dan Presiden PPP, Datuk M Kayveas.

Ekoran daripada itu, Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang sebelum ini dikatakan membeli cincin berlian berharga RM24 juta, terus menerima kritikan.

Ahli Jawatankuasa Pusat KEADILAN, Badrul Hisham Shaharin semalam menulis di blognya, berkata, ketika rakyat hidup dalam kesusahan, keluarga pemimpin negara itu terus mempamerkan gaya hidup mewah.

“Rakyat makin terhimpit dengan kos kehidupan yang makin menggila. Regim penguasa semakin gagal mengawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan malah dalam pada masa yang sama perbagai cukai diperkenalkan terus menjerut rakyat. rasuah dan pemborosan semakin menggila.

“Masih tidak mampu menjawab isu cincin RM 24.45 juta yang terkait dengan Rosmah Mansor kini muncul pula anaknya dengan imej begitu juga,?” tulisnya.



Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/