CUBAAN MENUTUP SKANDAL 1MDB AKAN MEMBENAMKAN UMNO DALAM PRU14
Kebelakangan ini ada satu rancangan tersusun di pihak Umno untuk cuba menutup skandal 1MDB dengan taktik berikut:
1. Mengalih perhatian rakyat kepada kononnya bukti-bukti yang ditunjukkan terutamanya melalui media seperti Sarawak Report dan The Edge mengenai skandal 1MDB setakat ini adalah palsu dengan menyabitkannya dengan Xavier Justo, bekas eksekutif 1MDB
2. Memfitnah pimpinan pembangkang termasuk Dato' Seri Anwar Ibrahim, Saudara Tony Pua dan saya kononnya kami menjadi dalang yang mereka-reka skandal ini untuk menjatuhkan Dato' Seri Najib Tun Razak
Kedua-dua taktik ini dimainkan saban hari di media utama untuk meyakinkan anggota Umno sebenarnya skandal 1MDB ini tidak wujud dan hanya rekaan semata-mata.
Saya sedikit pun tidak rasa tergugat. Kalau pun ada lagi rakyat Malaysia yang percaya dengan dongeng bahawa skandal 1MDB ini rekaan pembangkang, ini hanyalah saki baki anggota Umno yang tidak akan bangun tersedar hatta sekiranya negara ini jatuh muflis sekali pun.
Sehingga sekarang, Dato' Seri Najib dan konco-konconya masih belum dapat menjelaskan beberapa isu besar:
1. Ke mana dana RM42 bilion yang diambil oleh 1MDB sehinggakan 1MDB tidak mampu membayar faedah ke atas hutang-hutangnya?
2. Kenapa wang 1MDB sebanyak USD1.83 bilion dipindahkan ke individu-individu tertentu berkaitan dengan PetroSaudi dan Jho Low seperti yang didedahkan oleh akhbar The Edge pada hari ini?
3. Kenapa dan bagaimana dana sebanyak yang dipercayai berasal dari 1MDB sebanyak RM2.6 bilion dipindahkan ke akaun peribadi Dato' Seri Najib Tun Razak?
Soalan-soalan mudah sebegini jika tidak dijawab akan menguatkan kepercayaan rakyat bahawa ada tangan yang menggunakan 1MDB untuk kesenangan peribadi.
Sebab itu taktik-taktik menghalang capaian ke laman web Sarawak Report, mengkambing hitamkan saya dan Tony Pua serta taktik-taktik lapuk sebenarnya akan membantu membenamkan Umno/Barisan Nasional dalam PRU14.
Saya sebenarnya berasa gembira dengan reaksi dan tingkah laku pimpinan Umno/Barisan Nasional yang masih cuba menutup skandal 1MDB dengan memfitnah saya, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Tony Pua, Sarawak Repor, The Edge dan lain-lain.
Reaksi sebeginilah yang menimbulkan kebencian rakyat terhadap Umno/Barisan Nasional yang akan membolehkan pembangkang menang dalam PRU14 kelak.
Jadi saya galakkan Dato' Seri Najib untuk terus menggunakan taktik ini kerana saban hari ia melunturkan keyakinan rakyat terhadap Umno/Barisan Nasional.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN