PKR JOHOR MENOLAK BUDAYA POLITIK SAMSENG DI JOHOR
1. Merujuk kepada insiden kekecohan oleh samseng di Taman Megah Ria semalam, PKR Johor melahirkan perasaan kesal dan sekaligus menolak kelakuan dan kehadiran budaya samseng di Taman Megah Ria, Pasir Gudang dan Johor.
2. Sebagai sebuah Negara demokrasi yang kini berumur 58 tahun dan telah melalui 13 pilihanraya, adalah amat kesal budaya samseng dan politik tidak matang sebegini masih wujud di Malaysia khususnya di Johor.
3. Ini juga bukan insiden pertama dimana pernah ada gangguan sebegini, tetapi PKR Johor harap ini adalah insiden terakhir.
4. Kelakuan orang dalam video yang disebarkan dalam laman web media jelas menunjukkan sekumpulan lelaki dan perempuan sengaja menganggu satu sesi dialog aman di sebuah kedai swasta.
5. Jelas ini adalah satu tindakan yang mencabar undang-undang dan PKR Johor mengesa pihak Polis memulakan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang dengan segera kepada mereka yang bersalah atas prinsip – 'Rule of Law and not Rule of Mobs must prevail'.
6. Sebarang kelewatan PDRM mengambil tindakan hanya akan melemahkan keyakinan orang awam terhadap efisiensi dan kebebasan pihak Polis.
7. Juga telah dicamkan dan dinyatakan di media bahawa samseng yang melakukan kecohan semalam terdiri daripada ahli-ahli UMNO Pasir Gudang. Memandangkan keseriusan insiden ini, kami harap Menteri Besar Dato' Seri Khaled Nordin sebagai ADUN kawasan Permas dan juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang boleh memberi pendirian dan pandangan beliau berkenaan dengan isu ini.
8. Akhirnya, PKR Johor berpendapat kekecohan dan tindakan samseng semalam hanya membuktikan bahawa pihak lawan politik kami tidak lagi yakin untuk mempertahankan DUN Permas dan Parlimen Pasir Gudang pada pilihanraya yang akan datang dan sebaliknya PKR Johor akan memberi tumpuan sepenuh untuk menawan kerusi-kerusi di Pasir Gudang yang hanya kalah nipis pada pilihanraya yang lepas.
Hassan Abdul Karim
Pengerusi MPN Keadilan Johor
Jimmy Puah
Timbalan Pengerusi MPN Johor merangkap ADUN Bukit Batu