SharpShooter Followers

Thursday, July 02, 2015

Pertandingan Cipta Logo #BantahGST

Kenyataan Media: KEADILAN Melancarkan Pertandingan Cipta Logo #BantahGST

29 Jun 2015

Parti KEADILAN merasai kehempitan kos sara hidup rakyat akibat cukai GST. Terutamanya pada bulan Ramadan apabila semua kos makanan dan keperluan asas naik mendadak. Pada bulan April, Bank Negara Malaysia telah merekodkan kadar inflasi naik 0.9% akibat GST. Ini menunjukkan bahawa GST memang menaikkan harga barang bukan seperti yang dijanjikan oleh Timbalan Menteri Datuk Ahmad Maslan bahawa harga barangan akan turun selepas GST. Oleh sebab itu, Parti KEADILAN akan terus berjuang untuk membantah GST walaupun pada bulan Ramadan.

Berlainan dengan cara demo jalanan, sempena bulan Ramadan ini, kami ingin membantah GST dengan cara kreatif. Maka, parti KEADILAN ingin melancarkan satu kempen mencipta logo #BantahGST pada hari ini.

Melalui pertandingan ini, kami ingin memberi isyarat kepada kerajaan bahawa perjuangan Rakyat #BantahGST belum selesai. Kempen #BantahGST akan terus bersemarak selagi cukai ini masih berkuatkuasa.

Pertandingan mencipta logo #BantahGST ini bertujuan melibatkan golongan anak muda untuk meluahkan pendapat #BantahGST melalui kreativiti dan seni lukis. Kami berpendapat perjuangan demi rakyat melingkupi semua sektor masyarakat bukan setakat membuat demo jalanan sahaja. Maka, kami ingin menjemput semua anak muda menggunakan kreativiti masing-masing untuk mencipta logo #BantahGST

Pertandingan ini juga amat unik kerana pemilihan logo terbaik adalah daripada pengundian rakyat sendiri. Para peserta harus kempen masing-masing untuk mendapat seberapa "like" yang mungkin daripada para penyokong mereka. Logo yang mempunyai "like" yang terbanyak akan mendapat hadiah pertama. Semua peserta harus menghantar karya mereka mulai hari ini sehingga 12 Julai 2015. Selepas ini, logo-logo akan dipamerkan di laman facebook.com/demirakyat13 untuk pengundian oleh rakyat mulai Julai 13 hingga Ogos 4.

Logo yang terbaik akan mendapat hadiah setinggi RM1000. Hadiah kedua dan ketiga adalah RM500 dan RM200. Logo yang terbaik mungkin akan digunakan untuk kempen #BantahGST pada masa hadapan. Sila layar facebook.com/demirakyat13 untuk mendapat syarat-syarat pertandingan.

Kami menyeru semua anak muda yang berbakat menyertai pertandingan ini dan Bantah GST bersama-sama.

Sim Tze Tzin
Pengarah Strategi, Parti KEADILAN